Khamis, 9 Januari 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kahwin hujung tahun

Posted: 08 Jan 2014 08:57 PM PST

Oleh Ifqdar Rahman
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar Ghazali Basri

NISHA dan Edi bersama ibu bapa masing-masing pada hari pertunangan mereka yang berlangsung di Mont Kiara, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

BIBIT perkenalan bermula di set penggambaran tiga tahun lalu akhirnya dimeterai dengan tali pertunangan yang diikat selama setahun antara dramatis Nisha Dirr, 31, dan pasangannya, Edi Khushairy Ab. Kadir, 34.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, majlis pertunangan tersebut diadakan dalam suasana serba sederhana tetapi meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan sanak-saudara dari kedua-dua belah pihak serta warga media.

Mengenakan busana anggun berona biru firus rekaan Butik Fesyen Mida'R, Nisha atau nama sebenarnya, Nik Shahriah Nik Dir, disarungkan cincin oleh bakal mentua, Datin Norizan Abdul Manaf, selain menerima lima dulang hantaran yang terdiri daripada, manisan, telekung, sejadah, biskut dan juga sepasang kain.

Manakala Nisha pula membalas sebanyak tujuh dulang hantaran buat Edi yang berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, sepasang kain, kek, buah-buahan, sekotak kurma dan sirih junjung.

Mengulas lanjut mengenai pilihan hatinya, Edi yang merupakan ahli perniagaan itu dikenalinya sejak tiga tahun lalu ketika jejaka itu singgah di lokasi penggambaran drama lakonannya untuk berjumpa dengan pengarah yang juga rakannya.

"Masa itu dia datang di set penggambaran untuk bertemu dengan rakannya yang juga pengarah sebuah drama yang saya bintangi. Kemudian, pengarah tersebut memperkenalkan dia kepada saya dan sejak itu, kami saling berhubungan.

"Dalam tak sedar, tiga bulan berlalu dan hubungan kami semakin rapat. Pada ketika itulah saya dapat rasakan yang Edi adalah pilihan tepat untuk dijadikan calon suami," katanya kepada Hits.

Jika tiada aral melintang, menurut Nisha, mahligai perkahwinannya akan dibina lebih awal dari masa yang ditetapkan atas alasan, perkara yang baik tidak perlu ditangguh lama-lama.

Bukan materialistik

Sementelah tunangannya yang berstatus seorang usahawaan dan juga anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar datuk, ia sedikit sebanyak menjadi topik perbualan sinis. Pastinya segelintir pihak melontar persepsi negatif terhadap Nisha yang menyifatkan wanita itu sebagai materialistik.

Menepis dakwaan tersebut, Nisha memberitahu, kekayaan dan status Edi bukanlah penyebab utama untuk dia jatuh hati kepada lelaki itu. Sebaliknya budi bicara yang ditunjukkan Edi ketika bergaul dengan kedua-dua orang tuanya, membuatkan dia terpikat.

Tingkah laku Edi yang budiman dan bijak dalam pergaulannya terutama apabila berhadapan dengan ibu bapa Nisha, amat memikat hati wanitanya.

"Edi seorang yang sangat merendah diri ketika berbicara tidak kira dengan sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Sikapnya yang budiman merupakan salah satu daya tarikan untuk saya mengenalinya dengan lebih mendalam ketika mula-mula berkenalan tiga tahun lalu.

"Setiap kali berjumpa, Edi melayan saya seperti mana selayaknya seorang perempuan dilayan oleh seorang lelaki. Salah faham memang ada, tetapi sekali pun dia tidak pernah meninggi suara jika bergaduh.

"Itulah antara daya tarikan yang ada pada Edi yang membuatkan saya bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dan bersedia menjadi isterinya bila tiba masanya nanti," puji Nisha mengenai sikap Edi.

Pada masa yang sama, Nisha juga tidak menafikan bahawa seorang lelaki yang mempunyai kerjaya dan kewangan yang stabil juga adalah faktor dia memilih Edi kerana itu demi kebaikan rumah tangga mereka yang bakal dibina.

Selebriti meriahkan TMM 2014

Posted: 08 Jan 2014 08:57 PM PST

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza yang memukau penonton.

TAHUN 2014 membawa bersama satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul di bahu seluruh rakyat Malaysia. Semua rakyat tidak kira umur, bangsa dan latar belakang perlu berusaha untuk melaksanakan misi nasional, Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Sasaran 28 juta dan RM76 bilion pendapatan pelancongan tahun ini perlu dicapai memandangkan Malaysia sememangnya begitu indah dan istimewa di mata pelancong luar.

Apa yang pasti setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan sebagai duta pelancongan negara dengan bersedia menyambut kedatangan pelancong asing ke negara kita.

Tidak ketinggalan golongan selebriti adalah antara yang akan bekerja keras bagi menjayakan agenda Tahun Melawat Malaysia 2014 seterusnya memahat nama negara di peta pelancongan terkemuka dunia.

Memulakan kemeriahan sambutan kempen TMM 2014 di Dataran Merdeka Sabtu lalu, perasmiannya disambut meriah oleh ribuan pengunjung yang hadir.

Menggunakan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia, barisan penyanyi popular tanah air antara yang hadir memeriahkan majlis pelancaran edisi keempat kempen itu.

Antara artis yang menghangatkan sambutan TMM 2014 adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Najwa Latif, Hafiz Suip, Azlan & The Typewriter, Nash dan Awie.

Tetamu kenamaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, menteri-menteri Kabinet dan wakil-wakil kedutaan asing di negara ini turut menghadiri acara tersebut.

Konsert yang berlangsung dengan kehebatan dan aura tersendiri artis popular tempatan membuatkan kira-kira 5,000 pengunjung tidak berganjak walaupun konsert hanya bermula sekitar pukul 11 malam, selepas acara perasmian tamat.

Tirai persembahan dimulakan oleh persembahan kumpulan Azlan & The Typewriter dengan lagu berjudul Lara Hati dan Bukan Ugutan. Tampil dengan kelainan, kumpulan ini turut hebat dengan mendendangkan lagu dipopularkan Amy Search iaitu Fantasia Bukan Madu secara akustik menggunakan gitar.

Acara diteruskan dengan kemunculan Najwa Latif yang mempersembahkan lagu Adamu, Sahabat serta I Love You. Bagi Najwa, kempen TMM 2014 bukan saja memberi kenangan serta pengalaman bermakna kepada pelancong tetapi turut mengeratkan ikatan persahabatan.

"Saya sebagai artis akan membantu dalam mempromosikan TMM 2014 selari dengan populariti yang saya ada sekarang," katanya sebelum memulakan persembahan.

Di samping Najwa, persembahan Awie antara yang dinanti-nantikan pengunjung dengan mendendangkan lagu Sejati dan Terima Kasih. Tamat dua lagu itu, Awie bersama Hafiz, Azlan Typewriter dan Nash duet bersama Amy Search menyanyikan lagu Isabella.

Siti Nurhaliza yang penuh kesantunan hadir di pentas melambangkan keperibadian rakyat Malaysia. Sikap itu menunjukkan betapa pentingnya berkelakuan sedemikian untuk menjayakan TMM 2014. Siti menyanyikan lagu Lebih Indah, diikuti duet bersama Hafiz Suip menerusi lagu Muara Hati.

Hafiz sebelum persembahan sempat ditemu bual dan berjanji akan memikul tanggungjawabnya sebagai artis memperkenalkan Malaysia ke mata dunia.

"Kempen ini menggalakkan pemahaman lebih baik mengenai budaya dan warisan kita. Sebab itu saya akan cuba memperkenalkan budaya dan kaum Malaysia yang pelbagai, serta makanan yang banyak kepada pelancong," katanya.

Peranan menjaga kebersihan persekitaran, menjaga kemudahan awam, mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia kepada rakan taulan antara yang dinginkan oleh Nash yang memukau dengan lagu Tiada Lagi Kidungmu, Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi dan Debunga Wangi.

Perkara sama disuarakan oleh Jamal Abdillah yang menyanyikan lagu Gadis Melayu sambil diiringi gadis jelita memperagakan pakaian daripada Kraftangan Malaysia sebelum itu.

Gabungan Siti dan Khadijah Ibrahim pula menerusi lagu tema Cuti-cuti Malaysia dipercayai mampu menggalakkan lagi kempen bercuti di dalam negara terutamanya bersama keluarga.

Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi pelancaran majlis gilang-gemilang TMM2014 kerana nilai sejarahnya serta aspek persekitaran yang berlatarkan bangunan Sultan Abdul Samad.

Selain itu, monyet spesies Proboscis dipilih sebagai maskot rasmi bagi kempen TMM2014.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved