Khamis, 9 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Amaran kepada pengusaha kantin

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 8 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini bertegas akan mengarahkan pihak sekolah menamatkan kontrak pengusaha kantin yang didapati menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya kepada pelajar.

Katanya, kerajaan memandang serius perbuatan tersebut dan tidak mahu pelajar terbeban dengan harga yang tidak berpatutan apabila mahu membeli makanan pada waktu rehat.

''Pengusaha kantin tidak boleh menaikkan harga jualan makanan dengan sewenang-wenangnya. Setahu saya, pengusaha kantin perlu mengemukakan senarai harga makanan kepada pihak sekolah sebelum kantin beroperasi.

''Jika saya dapati ada kantin-kantin sekolah di negeri ini menaikkan harga makanan sesuka hati, saya akan arahkan pihak sekolah menutup kantin itu," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan, beliau tidak menerima sebarang laporan kenaikan harga makanan di kantin sekolah dalam negeri ini dan jika ada, kerajaan akan bertindak segera.

Sebelum ini, Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid menegaskan, pihaknya telah melakukan pemantauan harga makanan di kantin sekolah dan mendapati tiada berlaku kenaikan, sebaliknya saiz makanan yang dijual lebih besar daripada sebelumnya.

Katanya, pegawainya telah meninjau banyak sekolah dalam negeri ini dan harganya masih kekal seperti sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, pejabat pendidikan negeri amat serius dalam isu ini dan jika ada laporan dan bukti selepas ini, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pengusaha.

Cadang tubuh JPP pantau masalah penduduk

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

SEREMBAN 8 Jan. - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Penduduk (JPP) yang bakal bertindak sebagai ejen dalam memantau serta membantu menyelesaikan sebarang permasalahan penduduk, khusus di bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam terus memperkasa serta memberi tumpuan dalam mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

''JPP ini akan berfungsi dan memainkan peranannya sama seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Disebabkan proses urbanisasi dan arus pemodenan yang pesat, ramai penduduk kini tinggal di bandar berbanding kawasan kampung.

''Jika di kampung, JKKK boleh uruskan permasalahan mereka tetapi di bandar dan pekan tiada pihak yang boleh memantau masalah rakyat, malah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, hampir 90 peratus soalan dan permasalahan terletak di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad menjelaskan, cadangan itu wajar dilaksanakan bagi memastikan penduduk di kawasan bandar atau pekan di negeri ini tidak tercicir daripada menerima bantuan, sekali gus hal ehwal masyarakat diuruskan secara cekap serta efisien.

Berhubung pelaksanaannya, kerajaan negeri sedang mengadakan rundingan di peringkat akhir antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab dalam menguruskan soal tersebut.

''JPP memiliki struktur organisasi yang sama seperti JKKK, yang mana bakal mempunyai pengerusi, setiausaha dan ahli-ahlinya yang dilantik.

''Namun, JPP di negeri ini akan diwujudkan tidak sebanyak JKKK yang mewakili setiap kampung, sebaliknya kita mencadangkan setiap JPP akan mewakili lima hingga enam taman perumahan bagi sesebuah kawasan," ujarnya.

Tambahnya lagi, JPP akan menjadi mata dan telinga serta jentera kepada kerajaan dalam usaha memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat terutamanya di bandar terpelihara.

Sedia pusat pengumpulan sampah berkelompok

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Ismail (tiga dari kanan) melihat keadaan longkang di hadapan rumah seorang penduduk di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 8 Jan. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah menyediakan pusat pengumpulan sampah berkelompok terutamanya di kawasan kampung bagi mengekang budaya meletak dan membuang sampah di tepi jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, budaya melonggok sampah di tepi jalan masih menjadi amalan segelintir penduduk negeri ini dengan alasan tiada tempat yang sesuai.

Menurutnya, dengan adanya pusat pengumpulan sampah berkenaan, pengurusan sisa pepejal dan sampah domestik dapat dilakukan oleh pihak PBT melalui kontraktor yang dilantik atau Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dengan lebih efisien.

"Pusat pengumpulan sampah berkelompok itu akan memudahkan orang ramai membuang sampah dan kutipan oleh pihak berkaitan juga lebih efisien berbanding sebelum ini yang terpaksa mengutip di tepi-tepi jalan.

"Membuang dan meletakkan sampah di tepi jalan bukan sahaja menjejaskan pemandangan, malah turut mengundang penyakit dan haiwan perosak," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja pembersihan sekitar Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Zainuddin Abdul Samad.

Ismail berkata, beliau juga telah meminta PBT untuk turut menyediakan kemudahan bekalan air di setiap pusat pengumpulan sampah, selain memasang lantai dan dinding jubin bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

"Pusat pengumpulan sampah ini atau di kampung-kampung dipanggil rumah sampah perlu dibina dengan elok, lantai dan dinding berjubin serta ada bekalan air supaya orang selesa dan tidak jijik," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mencari kawasan yang sesuai untuk dibina pusat pengumpulan sampah berkenaan bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat dan menyeru agar digunakan dengan sebaik mungkin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved