Khamis, 9 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ilham bunga Pastelicious

Posted: 08 Jan 2014 08:57 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Pelbagai rekaan menarik bunga untuk hiasan di majlis perkahwinan.

PADA mulanya, Fatma Nursaada Abd Sukor, 28, hanya membuat bunga pegang untuk diri sendiri semasa perkahwinannya pada tahun 2012 kerana mahu menjimatkan bajet.

Selain itu, dia sendiri tidak tahu di mana hendak mendapatkan bunga pegang yang murah tetapi cantik. Kebanyakan bunga pegang dibuat oleh kaum Cina dan cita rasa mereka juga berbeza dengan kehendak pengantin Melayu.

Jadi, Fatma Nursaada atau Shada mencuba membuat sendiri. Bunga pegang yang dibuatnya itu lain daripada yang pernah dilihatnya, iaitu dengan menggunakan manik mutiara.

Setelah siap, ternyata bunga pegang manik mutiara tampak begitu cantik pada matanya juga pada pandangan orang lain.

Gambar bunga pegang itu kemudian dimuat naik di dalam facebooknya dan kawan-kawan yang melihat menunjukkan minat.

Mereka kemudian mula menempah dan sejak itu percubaan membuat bunga pegang menjadi perniagaan pula.

Menurut penolong pengarah di sebuah badan berkanun itu lagi, dia mula membuat bunga pegang secara serius sejak bulan Ogos tahun lalu.

Setakat ini, Shada telah menghasilkan lebih 100 jambangan bunga pegang yang ditempah oleh pelanggan dari seluruh Malaysia yang mengetahui melalui facebooknya.

Kata Shada, antara bunga pegang yang pernah dibuatnya ialah menggunakan manik mutiara, pelbagai jenis kerongsang, bunga reben, butang, bunga mulberry dan sebagainya.

"Kebiasaannya pelanggan sukakan bunga pegang Sakura, manik mutiara bersama bunga mulberry dan manik warna-warna lain mengikut warna baju mereka. Ada juga pelanggan yang sukakan bunga pegang daripada reben yang dibentuk menjadi bunga ros dengan satu atau dua warna.

"Bunga pegang yang saya buat ini adalah hasil ilham saya sendiri namun jika pelanggan mempunyai idea sendiri amat saya alu-alukan.

"Permintaan pelanggan ini pelbagai kerana ada yang sukakan rekaan lama dan terdapat juga yang masih mahukan bunga hidup seperti ros dan sebagainya," kata Shada yang boleh menghasilkan satu jambangan bunga pegang dalam sehari yang dijual pada harga antara RM100 hingga RM200.

Shada yang memiliki Ijazah Seni Reka Grafik dari Universiti Selangor (Unisel) menambah, trend sekarang lebih kepada warna-warna yang lembut seperti merah samar dan pic untuk bunga pegang sementara bunga pegang manik mutiara ada yang berwarna emas, biru muda, putih dan kelabu.

Bunga pegang yang dibuat daripada pelbagai bentuk kerongsang juga tidak kurang menariknya di mana kerongsang-kerongsang tersebut dilekatkan pada sekeliling jambangan dengan diselitkan rantai mutiara.

Bunga pegang ini memang nampak begitu unik, eksklusif dan mampu memikat sesiapa sahaja yang melihat. Ini merupakan salah satu daripada ilham tersendiri Shada yang tidak dibuat oleh orang lain.

Shada yang mendapat sepenuh galakan daripada suaminya, Wan Mohd. Rukhairul Wan Abd Wahab berkata, selain membuat bunga pegang, dia turut membuat bunga pahar, korsaj dan cekak untuk kanak-kanak pengiring pengantin.

Shada turut menganjurkan bengkel membuat bunga pegang dan bengkelnya yang pertama akan diadakan di Singapura pada awal Januari 2014 ini atas pemintaan pelanggannya di negara tersebut.

Malah bunga pegang Shada turut dibeli oleh pelanggan dari Australia dan mereka juga ada meminta dia mengadakan bengkel bunga pegang di sana.

Bagi memperkenalkan bunga pegang Pastelicious ini, dia bercadang untuk membuka kedai sendiri yang menyediakan pelbagai rupa dan bentuk bunga pegang dengan rekaan moden yang menarik serta sebuah pusat latihan di mana dia boleh mengajar lebih ramai orang yang turut berminat membuat bunga pegang.

Koleksi bunga pegang PASTELICIOUS HAND BOUQUET (017-2064100, FB: Pastellicious Hand Bouquet, Instagram pastelicious_handbouquet)

Anak meraung di sekolah

Posted: 08 Jan 2014 08:57 PM PST

Bersama Dr. Rozieta Shaary
www.facebook.com/familyguru atau rozietashaary.com

Tanamkan minda positif pada anak-anak tentang sekolah, rakan-rakan dan apa yang boleh dipelajari di sekolah agar hilang perasaan takut. - Gambar hiasan

Anak kecil meraung tidak mahu ditinggalkan. Ibu atau bapa yang menghantar nampak serba salah. Para guru cuba menenangkan anak-anak kecil yang baru hendak belajar erti pergi ke sekolah.

Namun, ada juga yang tidak berjaya ditenangkan, maka ibu atau bapa terpaksa menunggu di luar bilik sekolah supaya mata anak akan sentiasa nampak bahawa dia tidak ditinggalkan.

Mengapakah ini masih berlaku dalam pendidikan negara yang semakin moden dan bakal mencapai status negara maju?

Ingatan saya dibawa balik ke zaman saya memasuki sekolah. Pada masa itu darjah satu. Namun, saya sudah dua tahun mengikut ayah mengajar di sekolah.

Pada zaman itu, tadika masih belum wujud lagi. Oleh itu anak-anak guru, berpeluang mengikut ayah atau ibu ke sekolah. 'Sekolah ikut-ikut' namanya.

Sebenarnya, saya sudah melihat kakak saya yang setahun tua daripada saya pergi ke 'sekolah Ikut-ikut' ini, namun, semasa giliran saya pula, saya masih keliru mengapa saya pergi juga ke sekolah.

Saya lagi suka bermain di rumah dengan emak saya. Saya juga sudah pandai membaca, menulis dan melukis.

Mengapa pula hendak ke sekolah juga. Pergi ke sekolah perlu bangun pagi dan mandi air sejuk. Sangat-sangat tidak mengembirakan. Begitulah pemikiran saya semasa itu.

Apabila masuk ke darjah satu, saya sudah biasa ke sekolah, oleh itu isu itu tidak timbul lagi. Namun ada pula isu lain iaitu isu hairan melihat mengapa ada kawan-kawan yang menangis meraung-raung dan berpaut pada kaki emak atau ayah mereka.

Hairan. Semuanya sangat berlainan dengan 'sekolah ikut-ikut'. Ayah saya tidak ada di situ. Guru-guru pun semuanya besar-besar , suasana pun pelik dan tidak menenangkan. Ramainya orang, bisingnya bunyi, kena duduk diam dan banyak lagi.

Mengapa saya membawa cerita itu? Ya, kerana inilah apa yang ramai anak-anak kita lalui pada minggu pertama persekolahan. Mereka merasakan pelbagai perasaan.

Banyak ruang selesa (comfort zone )yang perlu dipecahkan dan bila ini berlaku, maka keselesaan emosi dan mental tercabar. Walaupun dunia telah maju, fenomena ini masih wujud kerana keperluan asas utama manusia itu masih sama. Manusia perlukan rasa selamat. Apatah lagi manusia yang kecil itu.

Mengamuk

Apabila rasa selamat mereka terganggu, mereka akan melakukan tindakan 'lari' atau 'lawan'. Lari di sini itulah yang kita lihat mereka tidak mahu ke sekolah dan meraung-raung agar tidak ditinggalkan. Lawan pula, mereka akan mengamuk dan membuat hal seperti memukul adik, memukul kawan atau mengadu domba akan perkara buruk di sekolah.

Ini semua adalah kerana mereka belum cukup persediaan mental dan emosi untuk berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga atau adik-adik mereka.

Jalan penyelesainya ialah menyediakan anak-anak ini dari segi fizikal, mental, emosi dan jiwa mengenai bersekolah.

Persediaan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga, iaitu:

Daripada segi fizikal: Keperluan fizikal ialah untuk dapat hidup dengan baik dan selesa. Oleh itu pastikan mereka sihat, bersih, ada makanan dan minuman.

Baju dan kasut yang bersih. Kerana ini memberi mereka rasa selesa dari segi fizikal. Alat tulis yang mencukupi dan peralatan sekolah yang mencukupi. Tidak perlu berlebih-lebih membeli yang mahal-mahal terutamanya zaman ekonomi yang mencabar sekarang ini.

Daripada segi minda: Keperluan minda ialah untuk berfikir positif, belajar dan berfikir dengan cara menanamkan rasa positif mengenai sekolah dan apa yang akan dipelajari di sekolah.

Bina dan terus bina akan pemikiran yang bagus, positif mengenai guru-guru mereka, kawan-kawan mereka dan apa yang diajar di sekolah.

Mungkin ada anak-anak yang sudah biasa ke tadika, minggu pertama ini mungkin mereka merasa bosan sedikit mengenai pelajaran mereka kerana mereka sudah belajar di tadika.

Di sinilah peranan ibu bapa untuk memberitahu anak-anak bahawa bila kita sudah tahu semuanya menjadi senang.

Apa yang sangat penting ditanamkan pada anak-anak ini ialah semangat suka belajar dan mendalami ilmu.

Daripada segi emosi: Memerlukan rasa dikasihi dan selamat. Anak-anak perlu disediakan dengan perasaan berasa selamat untuk berpisah dan berasa selamat untuk berada di sekolah.

Oleh itu semasa hari suai kenal, kenalkanlah anak-anak dengan rakan-rakan baru, guru-guru, tempat-tempat penting seperti tandas, bilik guru dan sebagainya. Kenalkan dengan pak cik driver van atau bas sebelum hari dia perlu ambil pengangkutan itu.

Malah ibu bapa juga perlu membuat kaji selidik mengenai sekolah, guru-guru dan pemandu kenderaan yang bakal anak-anak gunakan.

Daripada segi perasaan seorang anak: Apabila masuk ke sekolah atau tadika, itu adalah dunia baru baginya. Ada anak-anak yang suka untuk meneroka. Ada juga yang takut. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi mereka berasa selamat. Contoh, jika berjanji akan datang mengambilnya pada pukul 12.30 petang, pastikan anda ada di situ sebelum itu. Ini akan memberi rasa selamat pada anak itu.

Selain itu, anak juga perlu diberitahu, tempat untuk dia pergi sekiranya dia mendapati orang yang mengambilnya lambat. Ibu bapa mungkin boleh menyarankan anak itu pergi menunggu di kantin atau di bilik guru.

Berilah jangka masa untuk anak itu tahu, bila maksud lambat. Supaya, sekira ada perkara berbangkit yang menyebabkan ibu atau bapa atau yang ditugaskan mengambil dia lambat, dia tidak berasa takut yang berlebihan.

Selain itu, anak juga sedang melalui banyak tekanan emosi. Kerana banyak perkara yang perlu dia menyesuaikan diri. Oleh itu berilah ruang untuk anak merasai dirinya dijaga dan dilindung.

Paling penting, ibu bapa sendiri perlu tahu bahawa anda sendiri sedang melalui perubahan yang penting dan boleh memberi tekanan emosi. Contohnya, berpisah dengan anak dan meninggalnya di dalam jagaan orang lain.

Alam baru

Maksud tersirat yang telah difahamkan bila anak masuk sekolah. Contohnya, ada ibu atau bapa yang merasai 'kehilangan' anak kerana anak kini sudah memasuki suatu alam baru iaitu alam persekolahan yang membawa maksud anak sudah besar dan tidak lagi memerlukan ibu bapa.

Emosi yang melekat kepada fahaman tersirat ini boleh memberikan tekanan emosi pada ibu atau bapa. Oleh itu, anda perlu memahami perasaan anda dan mengiktiraf perasaan itu. Bila perasaan itu diiktiraf, anda akan dapat menggunakannya dengan baik.

Daripada segi jiwa: Jiwa perlu untuk berbakti dan berbuat baik. Di sinilah ramai ibu bapa terlepas pandang. Anak-anak perlu disedia dan faham tujuan utama mereka ke sekolah. Bila mereka sudah mempunyai tujuan yang logik, jelas, mengikuti zaman dan sealiran dengan keperluan jiwa, maka anak-anak akan menggunakan persekolahan dengan paling positif untuk mereka dan dunia.

Jika ibu bapa mengenal sekolah itu sebagai tempat untuk mereka belajar, mendapat A supaya mereka mendapat kerja yang baik, gaji yang lumayan, hidup yang mewah, ini tidak lagi bersesuaian dengan zaman sekarang kerana anak-anak sudah terdedah kepada fenomena mereka yang tidak bersekolah tinggi tapi berjaya dalam hidup, hidup mewah dan sebagainya.

Maka Ibu bapa perlu lebih bijak memberikan pengisian jiwa mengapa anak itu perlu ke sekolah. Sekadar meraih A, tidak akan menyebab anak itu terdorong untuk mahu melakukannya.

Melainkan disebalik erti meraih itu, disematkan kefahaman bahawa, bila dia berusaha menimba ilmu dia akan dapat membantu ramai orang. Dia akan menjadikan hidupnya bermakna. Jangan ingat anak kecil tidak akan faham.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved