Khamis, 9 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Projek MRT kini capai 33 peratus

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

PARA pekerja bergambar di hadapan mesin pengorek projek MRT di Stesen Pasar Rakyat, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI

KUALA LUMPUR 9 Jan. - MRT Corporation (MRT Corp.) mencatat sejarah apabila Mesin Pengorek Terowong (TBM) Pelbagai Ketumpatan yang direka khas untuk formasi geologi batu kapur di Kuala Lumpur berjaya membuat penembusan pertama di tapak projek Stesen Pasar Rakyat di sini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Haris Fadzilah Hassan berkata, kerja-kerja menggali menggunakan mesin khas dari Jerman itu telah dilaksanakan sejak 22 Julai tahun lalu dengan jarak sejauh satu kilometer dari Stesen Cochrane.

"Terowong bawah tanah dari Cochrane ke Pasar Rakyat ini melalui geologi jenis batu kapur yang mempunyai banyak graviti seperti lubang, gua bawah tanah dan sungai yang memerlukan mesin penggali terowong berlainan jenis.

"Jika kita lihat pengalaman menjalankan kerja-kerja galian di Terowong SMART, lebih kurang 100 insiden terjadi kerana menggunakan mesin pengorek biasa. Dengan menggunakan mesin khas, projek kali ini berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan berhubung kerja-kerja tersebut di tapak projek Stesen Pasar Rakyat di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Projek MRT Corp., Marcus Karakashian.

Menurut Haris, beliau yakin projek MRT mampu disiapkan mengikut jadual iaitu pada Julai 2017.

"Keseluruhan projek telah siap sebanyak 33 peratus manakala bagi kerja-kerja menggali terowong bawah tanah pula telah mencapai 50 peratus. Fasa pertama dijadual beroperasi pada Disember 2016 selain fasa kedua iaitu laluan dari Semantan ke Kajang akan beroperasi pada Julai 2017," jelasnya.

Projek MRT menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang dengan jajaran terowong bawah tanah sejauh 9.5 kilometer dan tujuh buah stesen perhentian bawah tanah.

Stesen-stesen bawah tanah itu termasuk KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri selain Semantan North Portal dan Maluri South Portal.

Buang sampah sesuka hati

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH
MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

DUA orang kanak-kanak terpaksa menutup hidung menahan bau busuk berhampiran timbunan sampah di Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/ MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

PETALING JAYA 9 Jan. - Penduduk di sekitar Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini kesal kerana tempat pembuangan sampah di kawasan itu tidak diurus dengan sempurna oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ekoran masalah itu, timbunan sampah berselerak sehingga mengotorkan kawasan tersebut dan menimbulkan bau busuk.

Seorang peniaga, Munirah Wahidah Husin, 30, memberitahu, walaupun mempunyai tiga tong sampah besar, hanya satu yang berfungsi kerana dua lagi tong terbiar dan dalam keadaan terbalik.

Katanya, ini menyebabkan beberapa penduduk mengambil jalan mudah dengan melonggokkan sampah di sekitar kawasan tersebut.

"Lama-kelamaan timbunan sampah semakin banyak dan pihak berkuasa tempatan pula tidak membersihkannya dengan sempurna," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Pihak MBPJ pernah menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan pada 16 September tahun lalu, namun masalah timbunan sampah itu berulang kembali.

Sementara itu, seorang suri rumah, Natalia Natasya Amirrudin, 31, mendakwa, masalah itu diburukkan lagi dengan sikap beberapa penduduk yang membakar timbunan sampah sehingga menyebabkan pencemaran.

Katanya, asap dari kawasan itu menjejaskan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan.

"Saya bimbang kerana anak saya kerap batuk dan mengadu gatal-gatal di bahagian tangan dipercayai ekoran terhidu asap dari tempat pembuangan sampah itu," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Nazri Osman, 43, mendakwa, pekerja hanya datang untuk mengutip sampah dari rumah sampah itu pada waktu malam.

"Lebih menyedihkan, pihak tersebut hanya mengambil sebahagian sampah dan tidak membersihkan keseluruhan kawasan tersebut," katanya.

Ketika tinjauan dibuat, terdapat seorang penunggang motosikal dengan selamba melemparkan plastik sampah di sekitar kawasan berkenaan dan kemudian memecut laju meninggalkan lokasi tersebut.

RM17 juta bangunkan industri seni kreatif

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Kerajaan memberi penekanan terhadap industri seni kreatif tempatan melalui Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang merangkumi peruntukan melebihi RM17 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohamad Razy Mohamad Nor berkata, langkah itu diambil kerana industri seni kreatif mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi negara.

"Industri tersebut mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan negara terutama dalam sektor pelancongan selain menyediakan banyak peluang pekerjaan.

"Terdapat enam pelan tindakan DIKN berkaitan seni persembahan termasuk mewujudkan panggung Black Box yang melibatkan peruntukan melebihi RM17 juta," katanya dalam majlis pelancaran Panggung Beringin Emas di sini baru-baru ini.

Tambahnya, aktiviti persembahan merupakan antara tumpuan utama kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Sementara itu, Pengarah Urusan Beringin Emas Enterprise, Ezdwan Razak Zainal Abidin berkata, panggung yang dilancarkan itu berkonsepkan persembahan kecil atau Black Box yang menjadi platform kepada penggiat seni tradisi tanah air.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved