Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


200 keluarga hidup tak selesa

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

Muhammad Yusof Mohd. Noor berbual dengan Eng Chong Guan (kanan) semasa melakukan tinjauan di kandang penternakan babi di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

TASEK GELUGOR 25 Jan.- Lebih 200 keluarga di Kampung Pajak Song dan Kampung Paya bersempadan dengan pekan Kepala Batas hidup dalam keadaan tidak selesa berikutan masalah pencemaran bau busuk dari ladang ternakan babi.

Bau busuk dan meloyakan itu datangnya daripada sebuah pusat penternakan babi di Pongsu Seribu yang beroperasi hanya kira-kira 150 meter dari kediaman mereka.

Pencemaran bau sejak 40 tahun itu menyebabkan ada segelintir penduduk dua kampung terbabit berpindah ke tempat lain.

Kesan pencemaran bau juga menyebabkan sebuah sekolah menengah yang terletak di taman perumahan berkenaan tidak dapat menjalankan aktiviti luar bilik darjah dengan sempurna.

Seorang penduduk Kampung Pajak Song, Mohd Nazri Fadzil, 46, berkata, penduduk merayu supaya ladang babi itu dipindahkan ke kawasan lain kerana mereka tidak tahan dengan pencemaran bau busuk.

Katanya, sejak puluhan tahun lalu, setiap hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk yang datang daripada pusat itu terutamannya waktu awal pagi dan menjelang senja.

"Kami tak tahan lagi, kadang-kadang hendak makan nasi pun hilang selera selain tidak selesa beriadah di luar rumah kerana bau terlampau busuk dari ladang itu," katanya di sini kelmarin.

Pengerusi Surau Kampung Paya, Abbas Abdul berkata, penduduk kampung dan taman perumahan di sini mempunyai masalah untuk menganjurkan majlis keramaian kerana bimbang tidak mendapat sambutan.

"Ladang ini terlalu hampir dengan kawasan kediaman kami dan kami malu apabila ahli keluarga datang bertandang terhidu bau busuk yang tidak menyenangkan selama ini," katanya.

Bertindak atas laporan penduduk itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Yusof Mohd. Noor melakukan lawatan ke pusat berkenaan pagi ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Veterinar serta pemimpin masyarakat.

Mohammad Yusof berkata, pihaknya berbincang dengan penternak berkenaan dan bersetuju untuk berpindah ke kawasan lain.

"Penternak ini bersetuju pada dasarnya untuk berpindah dan sekarang dalam proses mencari lokasi sesuai selepas menyedari kerumitan dialami penduduk," katanya.

"Tinjauan bersama agensi penguatkuasaan mendapati penternak ini telah mengambil semua langkah perlu untuk mengawal pembuangan najis ternakan melalui penyediaan beberapa buah kolam dan melalui proses tertentu," katanya.

Sementara itu, penternak babi terbabit, Eng Chong Guan, 63, berkata, dia menyedari bau busuk terutama selepas hujan dan tidak sepanjang masa.

"Saya tidak dapat mengawal bau busuk merebak kerana ternakan ini melibatkan jumlah agak banyak, tetapi saya mengikut dan membuat semua keperluan seperti dikehendaki," katanya.

Dua kampung bakal dijadikan kawasan IKS

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

KULIM 25 Jan. - Dua kampung di sini iaitu Kampung Sungai Ular dan Batu Lintang bakal dimajukan untuk dijadikan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk kawasan itu.

Ahli Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, dua kampung tersebut didapati sesuai untuk dijadikan kawasan IKS memandangkan ramai penduduknya mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.

"Dengan kewujudan IKS di kampung ini, kita dapat mengelakkan belia berhijrah ke bandar untuk cari kerja.

"Kita ingin memastikan mereka yang mempunyai asas pekerjaan dalam bidang IKS terus berbakti kepada kampung dengan bekerja di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kulim, di sini semalam.

Sebanyak 40 kontinjen menyertai perarakan yang diketuai Pegawai Daerah Kulim, Mohd. Dhozir Mohd. Zain.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan wang RM100 kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam perarakan terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Johan kategori NGO dimenangi oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kulim, tempat kedua, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lembu dan ketiga, Masjid Taman Kenari.

Promosi kraf sasar 200,000 pengunjung

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

KANGAR 25 Jan. - Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis menyasarkan seramai 200,000 pengunjung akan menghadiri Promosi Kraf Malaysia di Batu Lima, Jalan Kuala Perlis dekat sini yang diadakan selama sembilan hari bermula hari ini.

Pengarahnya, Awang Ismail Othman berkata, pihaknya yakin jumlah itu akan tercapai memandangkan tahun ini juga merupakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

"Selain itu kita yakin jumlah pengunjung ini dapat dicapai kerana Kraftangan Perlis menjadi negeri pertama sebagai pembuka tirai promosi kraf yang melibatkan 58 usahawan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Promosi kraf kali ini bukan sahaja tertumpu kepada jualan produk sahaja malah juga diadakan pameran kraf, tekstil dan perhiasan diri.

Menurut Awang Ismail, pihaknya juga berharap dapat mencapai sasaran jualan RM500,000 pada promosi kali ini.

Selain pameran dan jualan kata beliau, turut diadakan adalah demonstrasi kraf melibatkan empat produk iaitu tenunan pua, anyaman lekar, batik cop dan anyaman kelarai.

Tambahnya, untuk kanak- kanak pula diadakan permainan supa doopa dan pertandingan mewarna.

Beliau berkata, pada sebelah malam diadakan persembahan kebudayaan seperti Hadrah dan artis Adira, Aweera dan Hafiz.

"Pada setiap kali promosi kita juga memastikan setiap usahawan akan mempamerkan produk kraf yang berbeza daripada sebelum ini," katanya.

Awang Ismail berkata, perbezaaan itu termasuk lampu hiasan yang diperbuat daripada tempurung kelapa merupakan produk lama tetapi dengan idea baharu, ia dijangka menarik perhatian ramai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved