Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Hyundai Tucson

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
ekonomi@utusan.com.my

Versi terbaharu Hyundai Tucson didatangkan dengan warna oren bernyala atau Atomic Orange.

ANTARA segmen kenderaan yang terus mencatat rekod pertumbuhan ialah kenderaan utiliti sports (SUV). Diiktiraf sebagai praktikal dengan keadaan jalan raya di Malaysia, hampir setiap jenama kenderaan memperkenalkan SUV masing-masing.

Atas faktor serupa jugalah, Hyundai-Sime Darby Motors adalah antara sebilangan kecil syarikat yang memperkenalkan dua SUV sekali gus di negara ini iaitu Hyundai Santa Fe dan Hyundai Tucson.

Kedua-dua model ini dipisahkan oleh harga dengan Santa Fe dipasarkan sebagai SUV premium.

Hyundai Tucson (sebut Tu-son seperti nama bandar di Amerika Syarikat) diperkenalkan semasa Pameran Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIM) 2013 pada November lalu.

Tucson pertama kali dilancarkan di pasaran Malaysia pada 2010 dan menerima sambutan menggalakkan. Setakat Oktober 2013, lebih 6,000 buah Tucson telah terjual.

Varian ini didatangkan dengan enjin baharu dinamakan Nu 2.0 MPI (Multi Point Injection) sementara versi 2.4L Executive Plus diberikan penambahbaikan daripada segi ciri-ciri.

Diperkenalkan semula dengan spesifikasi Hyundai yang dijual di Eropah, merangkumi lampu hadapan jenis projektor dengan lampu kedudukan LED sementara 2.4L dipasang dengan lampu belakang LED.

Enjin baharu Nu 2.0 membawa penambahbaikan daripada segi kecekapan bahan api. Menggunakan blok aluminium dan konfigurasi atas menjadikannya 30 peratus lebih ringan iaitu penurunan sebanyak 33.6 kilogram daripada keseluruhan berat enjin, tetapi tetap mengekalkan kekuatan enjin,

Enjin empat silinder Nu juga memiliki reka bentuk crankshaft baharu yang mengurangkan geseran antara omboh dan dinding silinder bagi penambahbaikan satu peratus dalam penjimatan bahan api.

Keupayaan enjin ini diperkasakan lagi dengan transmisi automatik enam kelajuan dengan varian Nu 2.0 adalah secara pacuan dua roda manakala 2.4L dalam pacuan empat roda.

Kedua-dua versi Tucson didatangkan dengan enam beg udara dan dipasang dengan plat gelincir depan dan belakang keluaran MS Design selain Sistem Navigasi Audio Visual (AVN) yang merangkumi HPS, sistem hiburan, sambungan Bluetooth dan kamera mengundur sebagai ciri standard.

Ciri-ciri di atas adalah jarang kedapatan pada SUV lain dalam pasaran. Kedua-dua versi menerima anugerah keselamatan maksimum lima bintang oleh Euro NCAP.

SUV Tucson ini didatangkan dengan dua warna baharu iaitu Atomic Orange dan Colbalt Coast sebagai tambahan kepada enam warna sedia ada iaitu Hyper Metallic, Phantom Black, Pure White, Remington Red, Sleek Silver dan Titanium Grey.

Harga model ini ialah RM132,888 (Nu 2.0 Elegance), RM145,888 (Nu 2.0 Executive Plus) dan RM158,888 (Theta II 2.4 MPI Executive Plus).

Proton lancar dua varian baharu Satria dan Inspira

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

Lukman Ibrahim memberi penerangan mengenai kelebihan Proton Satria Neo Standard 4AT di Juru Bukit Mertajam, Pulau Pinang di sini, kelmarin.

BUKIT MERTAJAM 26 Jan. - Proton Holdings Bhd. (Proton) melancarkan varian terbaharu Proton Satria Neo Standard 4AT dan Inspira Super Premium yang lebih sporty dengan tawaran harga istimewa untuk pelanggannya.

Timbalan Ketua Pegawai Ekskutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim berkata, kedua-dua model baharu itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini dan menjanjikan pemanduan lebih mantap.

Katanya, diskaun sebanyak RM1,388 daripada harga asal RM54,963.50 ditawarkan kepada pelanggan yang menempah Proton Satria Neo Standard 4AT sepanjang tiga hari Karnival Jualan Proton yang berlangsung di Auto City, Juru bermula pada hari ini.

"Model ini boleh dikatakan sebagai penambahbaikan bagi model Satria Neo Standard kerana dilengkapi dengan dengan rim sport 17 inci, kit badan R3, skirt sisi dan spoiler.

"Terdapat empat pilihan warna yang dikeluarkan iaitu merah, putih, hitam dan kelabu. Orang ramai dijemput hadir sendiri ke tapak jualan bagi memandu uji model kereta yang diminati selain turut ditawarkan pelan pinjaman pembiayaan dengan kaedah faedah serendah 2.5 peratus," katanya pada majlis pelancaran varian terbaharu kereta berkenaan di sini hari ini.

Bagi varian Inspira Super Premium pula katanya, dijual pada harga RM102 000 dan diskaun sebanyak RM1,888 diberikan sepanjang karnival berkenaan.

Lukman berkata, varian berkenaan dilengkapi dengan rim sport 18 inci, R3 kit badan dengan splitter hadapan, skirt sisi, dan spoiler belakang serta dilengkapi dengan ciri keselamatan dan didatangkan dalam satu warna sahaja.

Lukman berkata, Proton menyasarkan untuk menjual sebanyak 727 unit model tersebut sepanjang tiga hari karnival berlangsung iaitu sama seperti ketika penganjuran di Melaka pada minggu lepas.

Sepanjang tiga hari karnival berlangsung pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan seperti skimpinjaman kereta istimewa dinamakan Ambil Sekarang Bayar Kemudian dengan kaedah faedah berpatutan dengan kerjasama Bank Muamalat, pelbagai permainan menarik dan aktiviti kekeluargaan, pandu uji kereta, persembahan artis tempatan dan penampilan pasukan bola sepak Kedah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved