Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bertindak selamatkan etnik Rohingya

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

AZRIL MOHD. AMIN ialah seorang peguam, dan Pengerusi Muslimupro, Delegasi Pertubuhan-Pertubuhan Islam di dalam proses semakan berkala sejagat (UPR) ke Geneva, Switzerland

Puteri Mahkota Mary dari Denmark bersalaman dengan kanak-kanak beragama Islam di kem pelarian Say Tha Mar Gyi di wilayah Rakhine, Myanmar pada 12 Januari lalu. - AP

SUMBER terbaru media antarabangsa telah melaporkan pembunuhan tidak kurang 30 orang Rohingya beragama Islam. Menurut laporan BBC pada 23 Januari lalu, Ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos menuntut kerajaan Myanmar agar segera membenarkan pekerja bantuan kemanusiaan memasuki kawasan-kawasan krisis dan menggesa penyiasatan bebas dibuat untuk mengetahui sebab pembunuhan tersebut.

Pada hakikatnya, pembunuhan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil tindakan penghapusan etnik Rohingya beragama Islam yang dilakukan dengan sengaja oleh rejim Myanmar.

Pada 2012, lebih 200 orang terbunuh di dalam pertempuran sengit di pelbagai lokasi di wilayah Rakhine, malah lebih ramai mangsa yang telah meninggalkan kampung halaman dan menjadi pelarian termasuk ke negara jiran Bangladesh. Beribu-ribu lagi pelarian berada di merata negara sebagai pelarian yang tidak diketahui untung nasib mereka.

Di Malaysia sahaja, jumlah tidak rasmi merekodkan tidak kurang 8, 000 pelarian yang berada di merata tempat di negara ini, tidak terbela dan tidak mampu untuk menjalankan kehidupan dengan sempurna.

Sehingga saat ini, tindakan pembersihan etnik telah terus berlaku secara serius dan melibatkan beribu-ribu nyawa umat Islam.

Etnik Rohingya adalah seumpama rakyat Palestin bagi umat Islam di rantau Asia Tenggara ini. Banyak pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini yang sangat prihatin, malah telah menubuhkan pelbagai inisiatif untuk menangani konflik di Palestin.

Jika kita masih boleh tidur lena setelah berhari-hari membaca khabar di dalam media mengenai pembunuhan etnik Rohingya daripada kalangan pemuda Muslim yang dibakar hidup-hidup dan disembelih, pemerkosaan wanita dan anak-anak serta penghapusan kampung halaman mereka, sebagaimana yang juga berlaku di negara Palestin, maka kita perlu memikirkan kembali tahap keimanan kita dan bertanya sama ada masih ada sifat kemanusiaan yang tinggal di dalam diri kita.

Hanya kira-kira seminggu lalu, para pemimpin negara-negara anggota ASEAN selesai mengadakan pertemuan di peringkat menteri luar di bandar Bagan, Myanmar. Mesyuarat tersebut dipengerusikan Myanmar sebagai anggota terbaru ASEAN yang keanggotaannya diterima pada 1997, dan diserahkan mandat sebagai pengerusi pada 2006.

Menurut Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, mesyuarat tersebut telah membincangkan hal ehwal kepentingan serantau termasuk pertikaian sempadan wilayah maritim antara China dan negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Filipina.

Walaubagaimanapun, agak malang apabila Lwin menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan telah mengelak daripada membincangkan krisis-krisis dalaman negara-negara anggota ASEAN.

Malah, pada hemat penulis, perkembangan ini merupakan suatu lagi bentuk hipokrasi, khususnya bagi sebuah negara seperti Myanmar yang mahu bersaing dengan Malaysia di dalam menandatangani pelbagai instrumen Hak Asasi Manusia (HAM).

Amat memalukan bagi sebuah negara yang ingin meratifikasi pelbagai konvensyen HAM antarabangsa tetapi dengan penuh helah dan penipuan melakukan pembersihan etnik di dalam negaranya sendiri.

Pada hakikatnya, sebagai pengerusi ASEAN, Myanmar sewajarnya ditekan untuk segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai Rohingya di negara tersebut.

Penulis tidak terfikir bagaimana para pemimpin dan wakil diplomatik anggota-anggota negara ASEAN boleh bermesyuarat dengan tenang dan selesa sambil dipengerusikan negara yang pada masa sama sedang menjalankan pembersihan etnik di dalam negaranya sendiri?

Apakah keangkuhan Myanmar ini boleh dibiarkan berleluasa? Dalam situasi ini, negara-negara anggota ASEAN perlu memikirkan semula prinsip tidak campur tangan (non-interference principle) yang diamalkan ASEAN demi menzahirkan semula sifat kemanusiaan di kalangan mereka.

Lebih malang lagi, Myanmar kononnya telah melahirkan ikon pejuang demokrasi dan kebebasan seperti Aung San Suu Kyi, tetapi menutup mata terhadap penderitaan Muslim Rohingya yang dengan sengaja tidak diiktiraf kewarganegaraan mereka, dibunuh dan diusir atas tujuan penghapusan etnik.

Negara-negara anggota ASEAN mungkin tidak boleh menentukan perubahan undang-undang domestik untuk Myanmar. Tetapi mereka perlu membuat keputusan untuk menggesa PBB agar mengambil tindakan berkesan terhadap isu pembersihan etnik tersebut , kerana tindakan Myanmar seterusnya akan menyebabkan berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide) masyarakat awam, yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.

Myanmar sebagai negara anggota PBB tidak boleh dibiarkan melakukan jenayah. Di sini kita mempunyai kes yang jelas pembersihan etnik (diakui oleh kerajaan Myanmar) yang hampir dengan pembunuhan beramai-ramai.

Sekiranya ASEAN sendiri gagal menyelesaikan konflik pembunuhan ini, maka siapakah bertanggungjawab untuk pembunuhan beramai-ramai itu jika tidak umat Islam sendiri. Jika kita tidak membantu dan melindungi Rohingya, siapakah lagi akan menyuarakan penderitaan mereka dan mengambil kisah penderitaan berpanjangan umat ini?

Dalam ketiadaan tekanan serta tindakan berkesan PBB, umat Islam sendiri perlu dipertanggungjawabkan menyelesaikan penderitaan yang besar ini.

PBB telah mengeluarkan statistik bahawa 80% daripada pelarian di dunia adalah orang Islam. Ramai yang tidak bernegara, seperti Rohingya, tanpa kewarganegaraan atau hak kewarganegaraan. Malah dalam negara-negara Islam, kita sendiri menanggapi mereka sebagai pelarian dan dilayan sebagai penduduk kelas ketiga. Apakah ini sikap kita sebagai umat Islam?

Walaupun mungkin Malaysia tidak mahu campur tangan sekalipun, kita harus proaktif menggesa negara-negara anggota besar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seperti Turki dan Arab Saudi untuk berada di barisan hadapan memberikan tekanan ke atas rejim Myanmar untuk berhenti daripada melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik Rohingya.

Sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk menyuarakan nasib umat Islam Rohingya dengan lebih serius dan mengambil tindakan proaktif membantu mereka. Jika tidak, kita tidak boleh berbangga mendabik dada bahawa kita adalah umat Islam.

Landasan PPPM sudah tepat - penilai antarabangsa

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh Sadatul Mahiran Rosli

KESEJUKAN yang menusuk hingga ke tulang ketika berada di ibu kota Inggeris ini dihangatkan dengan keyakinan yang diluahkan oleh pakar-pakar pendidikan dunia tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Mereka sungguh positif dengan langkah kerajaan Malaysia dalam mentransformasikan sistem pendidikan menerusi Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.

Pada pendapat mereka, Malaysia mengambil langkah tepat dengan melaksanakan PPPM dalam usaha untuk bersaing dengan negara termaju di dunia kerana sistem pendidikan berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Walaupun ada segelintir rakyat di Malaysia kurang senang dengan pelaksanaan PPPM, namun bagi pihak luar dan yang pakar dalam bidang pendidikan, pelan ini adalah keperluan yang harus dibuat oleh negara yang ingin maju, bersaing dan mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia.

Berpeluang menemubual dua Panel Penilai Bebas Antarabangsa PPPM 2013-2025 di kota London sempena mengikuti lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri menghadiri Forum Pendidikan Sedunia (EWF) dari 19 hingga 22 Januari lalu membuka lembaran yang cukup menakjubkan tentang pendapat mereka tentang sistem pendidikan di negara ini terutamanya pelaksanaan PPPM.

Bertemu di lobi The Tower Park Hotel , Dr. Andreas Schleicher menyatakan bahawa pendekatan yang diambil dalam menghasilkan PPPM adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan.

Katanya, Malaysia sememangnya mempunyai beberapa sekolah bertaraf dunia, ini suatu yang boleh dibanggakan, namun masih terdapat jurang prestasi antara sekolah, guru dan pelajar yang masih boleh ditingkatkan.

Maka, katanya, pelaksanaan PPPM akan membantu merapatkan jurang tersebut, sekali gus menaikkan prestasi pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang kini hanya meletakkan negara dalam kumpulan sepertiga bawah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Beliau yang juga Penasihat Khas Polisi Pendidikan kepada Setiausaha Agung OECD dan bertanggungjawab dalam menjalankan PISA yakin PPPM bakal melakar visi sistem pendidikan dan aspirasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kenaikan prestasi PISA.

Namun, yang penting adalah untuk merealisasikan semuanya bergantung kepada pelaksanaan yang sistematik.

PPPM ialah sebuah buku , realitinya bagaimana pelan ini akan diterjemah dan dilaksanakan. Pelaksanaan bukan sahaja bergantung kepada kementerian, pengetua atau guru, namun turut melibatkan ibu bapa dan komuniti. Pendidikan adalah urusan semua orang dan bukannya hanya berserah kepada pihak sekolah, katanya.

Sementara, seorang lagi panel penilai, Michael Fullan memberitahu beliau yakin dalam masa lima tahun, Malaysia akan melihat hasil yang menakjubkan terhadap prestasi pelajar menerusi pelaksanaan PPPM.

Bagaimanapun untuk impian menjadi realiti memerlukan kegigihan dua tonggak utama dalam sektor persekolahan.

Pertama ialah guru, kedua pengetua. Jika kedua-duanya saling membantu dalam menjayakannya, maka saya yakin PPPM dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus Malaysia menjadi negara yang disegani dalam bidang pendidikan, tegasnya.

Menurutnya, tidak dilupakan dalam menjayakan sesuatu pelan, wujudnya cabaran dan dalam konteks ini dilihat komunikasi antara pengetua dengan guru dan kesediaan dua tonggak ini dalam merealisasikan pelan yang disediakan.

Tambahnya, walaupun pelan pembangunan pendidikan ini baru dilaksanakan, namun kesan awal seperti kadar literasi, keupayaan dalam penguasaan Matematik dan pelajar berjaya menamatkan alam persekolahan telah meningkat.

Ini petanda bahawa pelan yang dirancang untuk 12 tahun itu telah menunjukkan peningkatan yang positif walaupun baru sahaja dilaksanakan, ujarnya.

Sempena lawatan tiga hari Timbalan Perdana Menteri ke London, beliau turut diberi taklimat oleh Cambridge English, badan pakar dalam menilai penguasaan sesuatu bahasa tentang laporan awal Projek Kajian Asas untuk Ditanda Aras Standard Antarabangsa Bahasa Inggeris untuk Sekolah di Malaysia mengikut Common European Framework of References (CEFR).

Daripada laporan awal tersebut, didapati kadar penguasaan dan kefasihan pelajar Malaysia dalam bahasa Inggeris di sekolah ketika ini berada pada tahap positif.

Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terkandung dalam langkah keempat dalam PPPM iaitu pembelajaran murid untuk membentuk murid dan pelajar mempunyai kecekapan pelbagai bahasa dan sekurang-kurangnya dapat bertutur dengan cekap dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Cambridge English dipertanggungjawabkan untuk mengkaji kecekapan pelajar Malaysia dalam Bahasa Inggeris supaya menjadi panduan kepada pelaksanaan PPPM.

Taklimat dapatan awal kajian disampaikan Penolong Pengarah Operasi dan Penilaian Cambridge English, Martin Robinson dan Ketua Penyelidik dan Pembangunan Antarabangsanya, Dr. Hanan Khalifa.

Menurut Hanan, dalam kajian yang bakal disiapkan pada Mac nanti, Cambridge English menggunakan Mix Method Design Medotologi untuk mendapatkan sampel pelajar dari prasekolah hingga prauniversiti.

Metodologi ini mengumpulkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif , merangkumi ujian untuk pelajar dan guru, soalan untuk pelajar dan guru, temubual secara bersemuka dan pemerhatian di dalam kelas.

Kita juga pecahkan kepada berdasarkan negeri, lokasi, sama ada bandar dan luar bandar, jantina, medium sekolah, dengan tujuan data ini boleh membantu kementerian melaksanakan visi yang ada dalam PPPM, katanya.

Sebanyak lima pasukan dan setiapnya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk melaksanakan kajian tersebut yang diadakan di setiap negeri .

Pasukan terdiri daripada pemeriksa pertuturan, pemerhati terlatih, wakil dari Kementerian Pendidikan dan wakil dari pejabat daerah.

Sementara itu, kata Robinson, pengalaman mereka ketika menjalankan kajian terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia sungguh menarik.

Pertama, katanya, daripada pemerhatian perlakuan pelajar dan guru dan situasi secara keseluruhannya kelas Bahasa Inggeris di Malaysia sungguh harmoni, hubungan guru dan pelajar terjalin baik.

Harmoni bermakna hubungan pelajar dan guru sangat rapat, di beberapa negara hubungan antara pelajar dengan guru agak renggang, mempunyai jurang yang jauh . Mereka saling menghormati.

Guru juga mengetahui setiap nama pelajar, ini bermakna guru menguasai data kelas tersebut . Ada sekolah di beberapa negara lain tidak mengetahui nama pelajar. Keadaan ini penting dalam mewujudkan suatu keadaan yang harmoni, sekali gus pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas akan lebih hidup dan senang berinteraksi," katanya.

Tambahnya, semasa menjalankan ujian ke atas pelajar dan guru, empat skil komprehensif dijalankan iaitu berinteraksi secara bersemuka , membaca untuk 45-50 minit, ujian menulis (30 hingga 45 minit) bergantung kepada tahap pelajar dan bercakap (15 minit).

Guru turut diuji dengan empat skil tersebut ditambah dengan pengetahuan mengajar. Kami juga menganalisis amalan pengajaran.

``Kita memerhati berapa banyak guru bercakap, berapa banyak pelajar bercakap, bagaimana guru menguruskan kelas jika pelajar membuat bising dan interaksi antara guru dengan pelajar, katanya.

Pengalaman melaksanakan PPPM turut dipromosikan kepada peserta yang menghadiri EWF oleh Muhyiddin k etika berucap dalam sidang pleno peringkat menteri yang bertajuk `Dekad akan datang.

Menurut beliau, Malaysia, sejak merdeka mencatat kemajuan besar dalam pelbagai aspek pembangunan termasuk pendidikan.

Selaras dengan perkembangan di peringkat global selepas 2015 yang memerlukan cara berfikir, budaya kerja, sikap dan pengurusan organisasi yang berbeza, maka Malaysia telah membangunkan PPPM 2013-2025 yang menyediakan pelan komprehensif bagi memastikan transformasi sistem pendidikan bersifat mapan untuk dekad akan datang, katanya.

Dengan keyakinan pakar-pakar pendidikan tentang pelaksanaan PPPM, tidak mustahil suatu hari nanti aspirasi Malaysia untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas dari segi prestasi berdasarkan penilaian antarabangsa seperti Jawatankuasa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun akan menjadi realiti.">

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved