Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Telefon pintar pantau kesihatan

Posted: 26 Jan 2014 06:54 AM PST

Tidak lama lagi ujian diabetes tidak memerlukan jarum.

MENGAPA perlu ke klinik jika anda mempunyai gajet pintar yang boleh memantau tahap kesihatan sepanjang masa?

Tapi persoalannya, bolehkah telefon pintar memantau paras gula, tekanan darah dan kolestrol?

Jawapannya YA! Dan ini akan menjadi lebih relevan dalam masa beberapa tahun akan datang apabila syarikat pengeluar teknologi berlumba-lumba membangunkan penyelesaian yang boleh mengesan dan mengukur tahap kesihatan seseorang.

Penyelesaian yang ada sekarang (masih belum digunakan secara meluas) bermula dengan mengukur denyutan jantung hingga menganalisis tahap stres, memantau tekanan darah dan tahap pengambilan oksigen.

Pesakit diabetes dikatakan golongan pertama yang bakal mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi berkenaan kerana beberapa penyelesaian dilihat dapat membantu memantau paras gula di dalam darah mereka.

Syarikat teknologi Google mengumumkan sedang menjalankan kajian menguji kanta lekap pintar yang dibina untuk mengukur paras glukosa di dalam air mata manusia.

Menurut syarikat berkenaan, prototaip yang diuji menggunakan cip kecil tanpa wayar dan penderia glukosa kecil yang ditanam di antara dua lapisan kanta lekap lembut dan membolehkan bacaan gula di dalam darah tertera dalam beberapa saat.

Syarikat berkenaan juga mengkaji potensi untuk memberikan amaran awal kepada pemakai dalam bentuk cahaya LED jika paras glukosa melepasi paras yang dibenarkan (terlalu tinggi atau rendah).

Walaupun teknologi berkenaan masih baru tetapi syarikat berkenaan telah pun menghabiskan beberapa kajian penyelidikan klinikal yang dapat membantu dalam membina prototaip.

Produk ini diharapkan dapat membantu pesakit diabetes dalam menguruskan penyakit mereka.

PENDERIA SAIZ KECIL

Sementara itu syarikat teknologi gergasi Apple Inc juga bekerja keras bagi memastikan pepatah Inggeris 'Sebiji epal sehari menjauhkan doktor' menepati nama syarikat mereka 'Apple'.

Apple dikatakan sedang menjalankan kajian mengenai beberapa penyelesaian yang boleh menjadikan iPhone atau gajet pelbagai guna dilengkapi dengan peralatan untuk mengukur ECG, tekanan darah, glukosa, denyutan jantung malah 'mood' seseorang.

Ini menjadikan gajet Apple bertindak sebagai makmal mini bagi menganalisis darah serta tahap pernafasan seseorang.

Apple juga dikatakan sedang membangunkan pelekat penderia bersaiz kecil yang boleh dipakai atau dilekatkan di pergelangan tangan seperti jam dan berupaya membaca dan memindahkan data yang diperlukan.

Ini dapat meninggalkan amalan mengambil sampel darah menggunakan tusukan jarum.

Buat masa ini iPhone mempunyai tujuh penderia binaan dalaman sementara Android Samsung S4 mempunyai sembilan.

Telefon pintar yang dilengkapi dengan kuasa pemprosesan lebih berkuasa mempunyai keupayaan membaca data daripada pelbagai penderia.

Berdasarkan laporan, terdapat kira-kira 43,000 aplikasi berkaitan kesihatan dalam senarai Apple App Store.

Adakah satu masa nanti, doktor dan kakitangan klinik hanya menganalisis data yang terdapat dalam telefon mudah alih dan bukannya pesakit?

Cuba bayangkan, apabila Apple menambahkan ciri berkenaan dalam iWatch atau iPhone. Tentu saja pemakai kelihatan hebat!

Pada masa ini iPhone 5S telah mempunyai tujuh penderia binaan dalaman termasuk penderia cap jari.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan menjelang tahun 2020, gajet baru Apple akan mempunyai beberapa penderia yang boleh mengukur ECG, tekanan darah, glukosa, denyutan jantung, keletihan malah 'mood' seseorang.

Dengan adanya gajet memantau kesihatan diharap tahap kesihatan penduduk dunia juga bertambah meningkat.

Uniknya kamera filem bawah air

Posted: 26 Jan 2014 06:54 AM PST

Bersama MOHD. HAZLI HASSAN

Tiada beza mencari komposisi ketika menggunakan kamera filem berbanding kamera digital, namun ketika itu, tiada skrin LCD yang akan menunjukkan apa yang akan dirakamkan.

BAGI jurufoto bawah air generasi baharu, pastinya tidak mengetahui bagaimana susahnya mereka yang berkecimpung dalam genre ini ketika zaman menggunakan filem dahulu.

Saya bertuah kerana ketika transisi ke era digital sekitar tahun 2000 memberi saya peluang seketika menggunakan filem pada waktu mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini. Ketika itu, kamera Nikonos V menjadi pilihan kerana ia merupakan antara kamera bawah air paling popular selain Nikonos RS.

Beza antara kedua-dua model ini ialah Nikonos V mempunyai tetapan manual sepenuhnya dan memerlukan jurufoto menetapkan jarak fokus, bukaan, kelajuan pengatup dan ISO secara manual.

Sebarang kesilapan hanya boleh dilakukan dalam 36 dedahan sahaja. Jadi, kami banyak belajar untuk melakukan rakaman dengan berhati-hati dan tidak Trigger Happy seperti pengguna kamera digital pada zaman sekarang.

Di sini saya paparkan antara imej rakaman Nikonos V saya ketika di Pulau Payar, Langkawi sekitar tahun 2001. Ikan alu-alu besar atau tenok ini dikenali sebagai nama 'Mustafa'.

Jika ada sebarang pertanyaan, e-mel dengan subjek 'Dasar Laut' ke klik.mingguan@gmail.com. Sebahagian karya saya boleh dilihat di Flickr - http://bit.ly/fotobobo

RAKAMKAN apa sahaja subjek atau suasana. Tujuh gambar terbaik akan dipilih untuk diterbitkan dalam ruangan ini. Sila sertakan nama, alamat, tajuk gambar, keterangan ringkas gambar, jenis kamera, jenis lensa, bukaan (aperture), kelajuan pengatup (shutter), ISO. Sila hantar ke klik.mingguan@gmail.com.

klik.mingguan@gmail.com

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved