Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Banteras penjaja haram di sekolah

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

Tindakan penjaja tanpa lesen yang menjual makanan ringan tidak berkhasiat di perkarangan luar sekolah perlu dibanteras kerana boleh menjejaskan kesihatan murid.

Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Abdul Aziz Mohamed (gambar) berkata, kandungan makanan ringan terutama yang diimport dari luar negara meragukan.

Beberapa kes bahan makanan dan susu formula bayi yang tercemar di luar negara khususnya di China yang ditarik balik dari pasaran wajar dijadikan teladan.

Jika berlaku sesuatu kepada murid, pihak sekolah yang akan dipertanggungjawabkan, walaupun jualan makanan atau minuman tidak berkhasiat itu dilakukan oleh mereka yang tidak mendapat kebenaran daripada kami," katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Shah Alam, Selangor baru- baru ini.

Penjaja tanpa lesen ini lazimnya beroperasi di kawasan pintu masuk sekolah dengan menggunakan kenderaan persendirian.

Walaupun ada tanda larangan berniaga di kawasan luar premis sekolah namun tidak diendahkan oleh penjaja yang berurus niaga dengan membuka but kereta.

Menurut Abdul Aziz, pihak sekolah tiada kuasa undang- undang untuk mengambil tindakan kepada penjaja terbabit kecuali memberi nasihat kepada murid- murid agar menjauhi makanan tidak berkhasiat.

Tindakan undang- undang hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) namun apabila ada operasi penguatkuasaan, penjaja ini akan menikus seketika sebelum kembali aktif berniaga," terang beliau.

Selain makanan ringan, penjaja terbabit turut menjual air minuman yang tidak diketahui puncanya dan dimasak pada suhu yang sepatutnya atau tidak.

Hal ini perlu ditegah dan dicegah untuk mengelakkan kejadian keracunan makanan di kalangan murid.

Paling utama, pencegahan ini penting untuk menghindarkan murid daripada membazir dan berbelanja untuk membeli barangan yang tidak perlu.

Ada di kalangan penjaja yang menjual pistol mainan serta aksesori perhiasan diri seperti rantai, gelang dan cekak rambut.

Pembelian barangan tidak perlu ini kadang kala menyebabkan sesetengah murid sanggup mengikat perut dengan tidak membeli makanan semasa waktu rehat," ujar Abdul Aziz.

Menurut beliau, keadaan itu tentunya tidak baik untuk perkembangan minda dan tumbesaran murid.

Malah, pistol mainan yang dijual juga boleh membahayakan keselamatan murid-murid.

Oleh itu, satu tindakan pembanterasan perlu dilakukan kerana masalah penjaja tanpa lesen yang berniaga di perkarangan luar kawasan sekolah ini berlaku di seluruh negara.

Jika perlu, gubal satu akta yang membenarkan pihak sekolah mengambil tindakan perundangan kepada penjaja yang berniaga dalam radius lima kilometer dari kawasan sekolah.

Mungkin melalui penggubalan akta itu akan lebih menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah daripada risiko penyakit berbahaya untuk jangka masa panjang.

Cambridge English tingkat penguasaan bahasa Inggeris

Posted: 26 Jan 2014 11:01 AM PST

Cambridge English bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap pembelajaran, pengajaran dan penilaian bahasa Inggeris daripada peringkat prasekolah hingga universiti di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) kementerian, Datuk Dr. Amin Senin (gambar) berkata, Cambridge English yang beroperasi di United Kingdom (UK) diamanahkan untuk menjalankan kajian tersebut pada Mei tahun lalu dan dijangka menyiapkan kajian itu pada akhir bulan ini.

Cambridge English akan mengemukakan hasil kajian menyeluruh sebelum mencadangkan kepada kerajaan pada April depan.

Kementerian Pendidikan bersetuju menerima cadangan penilaian Cambridge English pada 8 Mei tahun lalu.

Objektif kajian itu meliputi usaha memperkasa, menggalak dan membangunkan kerjasama dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris bagi memastikan setiap kanak-kanak mahir dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," katanya.

Dr Amin berkata, hasil kajian itu membolehkan kementerian meletakkan sasaran pembelajaran dan pengajaran masa depan.

Kajian itu meliputi data asas untuk memantau dan menilai sama ada sasaran masa depan mampu dicapai dalam rancangan pembaharuan pendidikan.

Selain itu, Dr. Amin berkata kajian itu akan mengukur kemampuan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid tahun satu hingga enam

Kajian itu melibatkan amalan penilaian semasa dengan menganalisis peperiksaan semasa, ujian spesifikasi, skim pemarkahan dan keputusan peperiksaan akhir persekolahan, penghujung sekolah rendah (tahun 6), sekolah menengah rendah (tingkatan 3), tingkatan 5 dan 6," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved