Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Operasi pantau harga barang

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusanktn@gmail.com

Shahiruddin Ab. Moin menunjukkan harga ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Bentong, Pahang, semalam.

BENTONG 26 Jan. - Operasi bersepadu melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi memantau harga barangan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, operasi itu yang turut melibatkan polis dan agensi penguatkuasaan lain akan dilaksanakan secara berterusan, tidak terhad semasa sambutan perayaan sahaja.

"Bagi kerajaan negeri, kita akan melaksanakan operasi melibatkan pelbagai pihak termasuklah parti politik, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), persatuan pengguna, polis dan sebagainya yang akan memakai uniform masing-masing, tidak terhad kepada anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK).

"Cara ini lebih berkesan dan rakyat lebih seronok melihat seluruh agensi berada di merata-rata tempat bagi memantau harga barangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan hari pertama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Bentong dan pasar raya di sini hari ini.

Sebanyak 13 barangan ditetapkan sebagai barangan kawalan sempena perayaan Tahun Baharu Cina berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Februari ini.

Menurut Shahiruddin, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berusaha memastikan harga barangan terkawal serta tidak membebankan pengguna.

Sehubungan itu beliau berharap pengguna juga turut memainkan peranan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat peniaga yang ingkar dengan peraturan ditetapkan.

"Kita tidak akan memberi ruang kepada peniaga dan pemborong supaya mereka tahu bahawa pengguna perlu diberi pembelaan secara berterusan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bermula 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 14,325 premis perniagaan diperiksa oleh penguat kuasa PPDNKK di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 61 premis perniagaan dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan melibatkan rampasan barangan bernilai RM30,000.

"Sebanyak RM5,500 kompaun dikenakan terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," ujarnya.

Yayasan Pintar sumbang RM150,000

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Norzalina Masom (berdiri sembilan dari kiri) dan dan Amran Huri (berdiri lapan dari kiri) serta guru bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan sekolah daripada Yayasan Pintar di SK Kuala Bera, Pahang, semalam.

BERA 26 Jan. - Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Yayasan Pintar menyumbangkan barangan keperluan sekolah bernilai RM150,000 kepada murid yang terjejas akibat banjir bulan lalu melibatkan empat sekolah di negeri ini.

Sekolah yang menerima bantuan julung-julung kali disampaikan melalui yayasan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Bera dan SK Kuala Triang di sini; SK Temai, Pekan serta SK Batu 3, Kuantan.

Sumbangan berupa kasut, uniform sekolah dan alat tulis itu disampaikan oleh Ketua Program Pembangunan dan Pengurusan Yayasan Pintar, Norzalina Masom kepada guru besar di sekolah masing-masing.

Menurut Norzalina, program itu melibatkan 844 murid dari sekolah terbabit berikutan kelengkapan persekolahan mereka rosak teruk akibat bencana banjir sebelum sesi persekolahan bermula.

"Sumbangan ini adalah hasil tanggungjawab sosial korporat syarikat milik kerajaan (GLC) khususnya di bawah Khazanah Nasional bagi menyahut seruan kerajaan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Selain mempunyai sekolah angkat dan melaksanakan pelbagai program, kita akan terus melakukan sumbangan seperti ini secara berterusan dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di SK Kuala Bera di sini hari ini.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Guru Besar SK Kuala Bera, Amran Huri.

Menurut Norzalina, sumbangan kali ini melibatkan 82 murid dari SK Kuala Bera diikuti SK Temai, Pekan (145 murid); SK Kuala Teriang Bera (189 murid) dan SK Batu 3 Kuantan (428 murid).

Katanya, setiap murid menerima sepasang kasut, sepasang uniform dan juga kelengkapan alat tulis.

Dalam pada itu, Amran Huri berkata, sumbangan itu amat bermakna dalam membantu murid terbabit yang kebanyakannya daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Selain meringankan beban keluarga mereka, langkah itu memberi semangat kepada murid terbabit untuk belajar bersungguh-sungguh," ujarnya.

Permohonan 200 koperasi kariah masjid dilulus

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Abdul Fattah Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan replika cek zakat perniagaan bernilai RM6,720 kepada Mazlan Jali (tengah) di Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 26 Jan. - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan sebanyak 200 Koperasi Kariah Masjid (KKM) di seluruh negara pada bulan ini bagi membolehkan pertubuhan itu bergerak dalam bidang tertentu untuk menjana pendapatan masing-masing.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, selepas kelulusan ini pihaknya akan meneliti permohonan 400 buah masjid lagi yang kini di peringkat penajaan.

"Angkasa juga menyasarkan sebanyak 1,000 masjid menubuhkan KKM tahun ini untuk menggerakkan mereka menceburi dalam pelbagai jenis perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat perniagaan bernilai RM6,720 kepada 20 orang golongan asnaf sebagai bantuan saham untuk menyertai ahli KKM di Kampung Lubuk Kulit di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Angkasa Zon 3 Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdullah dan Imam Masjid Kampung Lubuk Kulit, Musa Mat Jidin.

Beliau berkata, pihaknya terpanggil membantu golongan asnaf di Lubuk Kulit bagi memudahkan mereka menjadi ahli koperasi menerusi saham berkenaan serta terbabit menjalankan kegiatan perniagaan dan pertanian.

"Kumpulan asnaf ini akan menerima faedah keuntungan hasil kegiatan KKM Lubuk Kulit yang kini melaksanakan perniagaan dalam sektor pertanian, penyediaan makanan, pengurusan umrah, pemborong dan kegiatan lain dengan membabitkan 100 orang ahli," katanya.

Katanya, jawatankuasa KKM Lubuk Kulit sedang menyasarkan penyertaan sebanyak 300 ahli baharu bagi memantapkan pengumpulan saham serta memudahkan pelaksanaan pelbagai kegiatan koperasi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved