Ahad, 26 Januari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Taufek bidas kenyataan Subahan

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Drama baru bagaikan wujud dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak, yang ditegur oleh Naib Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, tampil mempertahankan apa yang dilakukannya adalah satu prosedur biasa semenjak dahulu lagi.

Di samping itu, Taufek mengatakan kepada Subahan yang beliau tahu sejauh mana bidang kuasanya di dalam FAM sambil mengingatkan bukanlah menjadi satu kesalahan Jabatan Undang-undang untuk mengkaji kenyataan jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan dan Sime Darby, Ismail Zakaria yang menegur kelemahan pengadil.

Tambahnya, tidak wajar Subahan memberikan kenyataan seolah-olah pihaknya telah menjatuhkan hukuman dan memberikan penaksiran tersendiri sedangkan pihak Jawatankuasa Tatatertib belum berkata apa-apa lagi dalam soal tersebut.

"Siapalah saya di dalam FAM, saya ini cuma daun sahaja di pokok... cuma menyentuh apa yang saya lakukan seperti mana diperkatakan Datuk Seri, saya hanya meminta Jabatan Undang-undang mengkaji sahaja kenyataan dua jurulatih terbabit, ada kes atau tidak. Ini adalah amalan biasa.

"Jika ada kes, terpulang kepada Setiausaha Agung FAM untuk mengeluarkan surat pertuduhan atau tidak, mana ada sampai tahap saya masuk campur dalam segala urusan, saya tahu bidang tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

"Namun, apabila Datuk Seri Subahan bercakap begitu dan begini, saya ingin ingatkan beliau saya tahu batas saya (sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib) dan saya ingin memperjelaskan perkara-perkara ini yang bukan melibatkan insiden semasa perlawanan iaitu seperti kenyataan akhbar akan termasuk dalam kod tatatertib.

"Jika beginilah apa yang disampaikan oleh Datuk Seri Subahan, maknanya kalau saya mahu menjatuhkan sebarang hukuman selepas ini, saya terpaksa merujuk kepada Exco terlebih dahulu sedangkan Jawatankuasa Tatatertib adalah badan bebas.

"Dalam masa sama, kenyataan Datuk Seri Subahan juga seperti telah memberi kata putus terhadap perkara ini yang mahu disiasat, sepatutnya tidak boleh begitu," katanya ketika dihubungi semalam.

Subahan dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia pada Ahad lalu memberi jaminan Sathianathan dan Ismail tidak akan dikenakan apa-apa hukuman sambil mempertahankan FAM kini bersikap lebih terbuka dalam menerima sebarang pandangan.

Selain itu, beliau menganggap Taufek tiada kuasa untuk mengarahkan Jabatan Undang-undang kerana hanya Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM mempunyai hak memberikan arahan.

Sebelum ini, Taufek pernah mengatakan Jabatan Undang-undang akan menyemak segala yang diperkatakan oleh Sathianathan dan Ismail. Sekiranya didapati ada kesalahan dalam kata-kata mereka, kedua-duanya boleh dirujuk di bawah Perkara 18 Kod Tatatertib, iaitu penggantungan sekurang-kurangnya empat perlawanan dan paling maksimum, selama dua tahun.

Azraai gembira taktikal menjadi

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my

Pemain JDT, Pablo Aimar (kanan) berebut bola tinggi dengan pemain T-Team, Fabio Flor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin yang berkesudahan T-Team menang 1-0.

KUALA TERENGGANU - Sekalipun membiarkan Johor Darul Takzim (JDT) lebih banyak menguasai bola dalam pertemuan pengendali T-Team, Mohd. Azraai Khor Abdullah gembira kerana percaturan taktikalnya menjadi apabila pasukannya berjaya menumpaskan pasukan yang dianggap pilihan itu.

Katanya, T-Team berjaya membuatkan pasukan lawan leka dengan penguasaan bola sebelum memberikan kejutan ke atas anak-anak buah Cesar Fernando Giminez itu dengan kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri kelmarin.

Menurut Azraai, anak-anak buahnya begitu berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan biarpun diasak bertali-arus oleh pasukan dari selatan tanah air itu.

"Sebenarnya, pada separuh masa pertama lagi kita ada kemampuan untuk menjaringkan gol tapi peluang itu disia-siakan oleh para pemain.

"Tapi inilah bola sepak. Kita rancang dengan rapi dan inilah resipi kejayaan kita iaitu semangat kerjasama berpasukan walaupun menentang pasukan yang kuat (JDT).

"Secara keseluruhannya, saya memang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya (kelmarin). Rata-ratanya mempamerkan permainan yang cemerlang," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh pemain dari Indonesia, Patrich Steve Wanggai menerusi tandukan pada minit ke-70.

Dalam pada itu, Azraai memberitahu, perlawanan tersebut boleh dijadikan kayu pengukur untuk menguji keupayaan pasukannya sebelum bertemu lawan yang sama dalam pusingan kedua Piala FA yang dijadual bermula 4 Februari ini.

Sementara itu, kapten JDT, Mohd. Aidil Zafuan menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik apabila tewas selepas bertungkus-lumus untuk mencari gol sepanjang 90 minit perlawanan.

"Sememangnya sukar untuk mencapai kemenangan di tempat lawan tapi kami telah melakukan yang terbaik malam ini. Nasib memang tidak berpihak kepada kami," ujar pemain pertahanan skuad kebangsaan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved