Sabtu, 11 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bekalan ikan dijamin pulih

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

ALOR SETAR 10 Jan. - Harga ikan yang sebelum ini melambung di sekitar negeri ini dijangka stabil ekoran jumlah bekalan bekalan tersebut kembali pulih.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd. Sakri Saleh berkata, pemantauan dilakukan pihaknya mendapati harga 'ikan rakyat' seperti kembung dan selayang dilihat kembali pada paras normal iaitu sekitar RM4 sekilogram.

"Saya akui sebelum ini memang berlaku kenaikan sehingga ikan kembung dijual RM13 sekilogram. Begitu juga dengan barangan segar lain seperti ikan selar putih, udang dan sayuran yang mengalami kenaikan sehingga 20 peratus.

"Bagaimanapun, tinjauan kami kelmarin mendapati keadaan sudah 80 peratus pulih disebabkan nelayan sudah kembali ke laut.

"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga sudah memberi jaminan bahawa bekalan ikan akan pulih sepenuhnya menjelang Mac apabila keadaan laut akibat perubahan iklim pulih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, beliau mengakui terdapat khabar angin kononnya harga daging akan meningkat sehingga RM30 sekilogram akibat kekurangan bekalan.

"Sebenarnya perkara itu tidak berlaku. Apa pun, ada kemungkinan khabar angin itu berpunca daripada peniaga juga kerana mereka bimbang dengan cakap-cakap kononnya Thailand selaku pembekal lembu hidup terbesar ke negara ini dikatakan mula beralih arah ke China ekoran harga ditawarkan lebih tinggi," katanya.

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

PEGAWAI Operasi Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt. Madya Meor Hamzah Badrishah (dua dari kiri) memeriksa pukat tunda yang digunakan secara haram di Pangkalan Maritim Malaysia Kuala Kedah, kelmarin. - BERNAMA

ALOR SETAR 10 Jan. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara berjaya menahan sebuah bot nelayan pukat tunda berhampiran pantai Kuala Sala di sini semalam kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Ketua Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia mula mengesan bot tersebut kira-kira pukul 8.35 pagi ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Beliau berkata, bot itu berjaya ditahan kira-kira pukul 8.45 pagi pada jarak 1.2 kilometer dari pantai Kuala Sala di sini dan turut ditahan semasa operasi tersebut ialah seorang warga tempatan yang berumur sekitar 30-an dan telah di bebaskan dengan jaminan polis.

"Aktiviti penggunaan pukat tunda di kawasan penangkapan di Zon A tidak di benarkan kerana banyak memberi kesan terhadap kemusnahan ekosistem di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mempunyai lesen, tiada nombor pendaftaran dan menggunakan peralatan yang tidak di benarkan (pukat tunda kecil)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Khairi, bot yang di tahan dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan serta pendakwaan dan kes itu akan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia memandang serius aktiviti -aktiviti nelayan yang menyalahi undang-undang Maritim dan akan terus meningkatkan rondaan di sekitar kawasan perairan negeri ini,"jelasnya.

Selain itu, katanya, pihak Maritim Malaysia juga memerlukan bantuan daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Geng Lombok pecah rumah tumpas di Parit

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

MOHAMAD Fakri Che Sulaiman (dua dari kanan) menunjukkan antara barang kes yang turut dijumpai ekoran penahanan enam suspek kes samun dan pecah IPD di Perak Tengah, Perak, kelmarin.

PARIT 10 Jan. - Polis percaya dapat menyelesaikan kes samun dan pecah rumah di sekitar daerah Perak Tengah dengan tertangkapnya enam warga Indonesia, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam serbuan pukul 3 pagi itu, kesemua suspek berasal dari Lombok, Indonesia yang berselindung sebagai pekerja ladang sawit, dipercayai aktif menyamun di sekitar daerah ini sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, polis bagaimanapun masih memburu tiga lagi suspek melibatkan dua warga Indonesia bersama seorang rakyat tempatan yang dipercayai menjadi dalang dalam Geng Lombok berkenaan.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 20-an hingga 30-an. Dengan penangkapan enam individu ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes samun dan pecah rumah di sekitar Bota dan Seberang Perak.

"Kita juga percaya suspek turut terlibat dalam tiga kes lagi melibatkan samun sehingga membawa kepada kematian serta cubaan rogol di kawasan Seberang Perak berdasarkan barang kes yang ditemui serta pengecaman oleh mangsa," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Fakri berkata, hasil serbuan berkenaan, polis telah menemui beberapa barang kemas termasuk wang tunai bernilai RM2,260, telefon bimbit, komputer riba serta peralatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah.

Katanya, semua suspek direman selama 14 hari bermula 3 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved