Sabtu, 11 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ringan beban ibu bapa

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

ABDUL Kassim Abdul Rahman (belakang, tiga dari kanan) bersama sebahagian ibu bapa dan murid yang menerima sumbangan di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, semalam. - MINGGUAN/M.RIZAL NOR

JERANTUT 11 Jan. - Seramai 52 murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Yayasan Felda di sini semalam.

Pengurus tanah rancangan berkenaan, Abdul Kassim Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut merupakan program tahunan Yayasan Felda bagi membantu meringankan beban ibu bapa.

"Setiap murid menerima beg sekolah, sepasang kasut, dua pasang uniform sekolah, sepasang pakaian sukan dan satu set alat tulis.

"Sumbangan ini diberikan kepada semua murid tahun satu tanpa mengenakan syarat serta latar belakang ibu bapa atau penjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdul Rahman Ghani.

Menurutnya, biar pun sumbangan tersebut diberikan setelah sesi persekolahan 2014 bermula namun setidak-tidaknya mampu mengurangkan beban ibu bapa.

"Saya yakin sumbangan ini sudah mampu membuat ibu bapa tersenyum kerana mereka boleh menjimatkan wang perbelanjaan," katanya.

Bagi seorang bapa, Rosli Mat Nawi, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Yayasan Felda kerana sumbangan tersebut boleh mengurangkan bebanannya untuk menguruskan persekolahan anak-anak.

"Bantuan ini pastinya melegakan kami ibu bapa. Apatah lagi ketika ini kos yang perlu ditanggung setiap kali sesi baru persekolahan agak tinggi terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak," katanya.

13 PIBG terima agihan bantuan RM40,000

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

KUALA LIPIS 11 Jan. - Pejabat Ahli Parlimen Cameron Highlands memperuntukkan RM40,000 untuk diagihkan kepada 13 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Sungai Koyan, dekat sini.

Agihan itu melibatkan bantuan RM3,000 kepada 12 buah PIBG sekolah rendah manakala PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan menerima sebanyak RM4,000.

Penyampaian cek bantuan PIBG itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel kepada Pengerusi PIBG berkenaan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Pegawai Pendidikan Lipis, Misnan Mohd. Damin.

Menurut Palanivel, bantuan berkenaan antara strategi pejabat Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk memantapkan pengurusan PIBG sekolah kampung tradisional kawasan Jelai termasuk di pos Orang Asli pedalaman tahun ini.

"Kita mahu pengurusan PIBG bekerjasama dengan pentadbir sekolah untuk memfokuskan program akademik, kokurikulum dan bina insan antara misi transformasi bidang pembangunan modal insan," katanya di Sungai Koyan dekat sini kelmarin.

Menurut Palanivel, bantuan dana berkenaan untuk mengurangkan beban kewangan pengurusan PIBG sekali gus merangsang lebih banyak program ke arah kecemerlangan akademik pelajar di DUN Jelai.

Sementara itu, Wan Rosdy meminta pengurusan PIBG menggunakan wang berkenaan untuk program yang lebih signifikan memajukan para pelajar serta membantu pentadbir sekolah melonjak kecemerlangan akademik, kokurikulum dan bina insan.

22 keluarga mangsa banjir di Padang Tengku dipindahkan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

KUALA LIPIS 11 Jan. - Sebanyak 22 keluarga membabitkan 107 penduduk di lima buah kampung di dalam Dewan Undangan Negeri Padang Tengku dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan banjir melanda kawasan itu hari ini.

Kampung-kampung terlibat adalah Kampung Beralas, Kampung Seberang Jelai, Kampung Dusun, Kampung Aur Gading dan Kampung Chegar Perah.

Jalan Jerantut ke Kuala Lipis juga terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan berikutan air naik di laluan itu setinggi kira-kira satu meter.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, kenderaan yang mahu menuju ke daerah ini diminta menggunakan laluan alternatif dari bandar Jerantut ke Benta atau dari Kampung Jerangsang, Atong ke pekan Kerambit.

Dalam pada itu, sebanyak 30 sukarelawan UMNO Bahagian Lipis diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long melakukan misi menyelamat dengan membantu pasukan penyelamat memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat selamat.

Sementara itu Mustapa berkata, banjir berpunca akibat air Sungai Jelai, Sungai Tanum dan Sungai Kechau melimpahi tebing dan memasuki kawasan rumah penduduk sehingga setinggi dua meter.

"Sehingga kini, mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan dan ada yang menumpang di rumah saudara-mara. Dijangkakan lebih ramai penduduk akan dipindahkan berikutan paras air di ketiga-tiga sungai tersebut semakin naik," katanya selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Seberang Jelai di sini.

Mustapa dalam pada itu meminta ketua kampung melaporkan segera kejadian banjir kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lipis dan pihak-pihak berkuasa yang lain bagi memudahkan bantuan dapat dihantar kepada mangsa banjir.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved