Sabtu, 11 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Syarikat khidmat sokongan disiasat

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas syarikat konsesi yang menyediakan khidmat sokongan bukan klinikal kepada hospital berhubung beberapa masalah yang timbul di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini bagi memastikan syarikat itu memenuhi syarat kontrak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat terbabit jika didapati tidak memenuhi syarat kontrak sejurus siasatan penuh berhubung kejadian itu selesai.

"Pihak kami sudah menerima maklumat berkaitan insiden ini dan akan mengadakan siasatan terperinci berdasarkan bukti dan laporan yang diterima.

"Jika syarikat konsesi itu didapati bersalah, maka mereka akan dikenakan tindakan tegas di bawah klausa kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena sambutan Pesta Ponggal anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Setia Selangor di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Way dekat sini malam ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sebanyak 12 daripada 22 bilik pembedahan am di Hospital Sungai Buloh terpaksa ditutup akibat kerosakan pendingin hawa yang disebabkan oleh kebakaran Khamis lalu.

Ekoran itu hospital terbabit telah menangguhkan semua pembedahan elektif dan kini menggunakan enam bilik pembedahan am hariannya bagi merawat kes-kes kecemasan.

Menurut laporan itu, kejadian itu berlaku hanya selepas beberapa hari isu sampah tidak dikutip dan masalah kebersihan tandas timbul di hospital berkenaan.

Tahira, suami terpilih daki Greenland

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

TUJUH peserta yang berjaya mengikuti ekspedisi KE7B Greenland Felda dari kiri: Mohd. Akasyah Jamaludin, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, Abdul Rahman Abu Hasan, Tahira Najmunisaa Mohd. Zaid, Yanizam Mohd. Supiah, Mohd. Fakhrul Munir Mohd Isa dan Mohd. Shaiful Hisyam Abd Aziz selepas pengumuman di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor, kelmarin.

SHAH ALAM 11 Jan. - Tiada ucapan yang dapat menggambarkan perasaan gembira dan bangga seorang isteri kerana dapat menyertai suami tersayang untuk mendaki puncak tertinggi di Greenland, April ini.

Menurut Tahira Najmunisaa Mohd. Zaid, 24, memang menjadi impian beliau untuk menyertai ekspedisi menjelajah dan mendaki ke benua asing itu, namun tidak menyangka akan terpilih bersama suami, Abdul Rahman Abu Hassan, 31, untuk menjayakan misi tersebut.

"Saya dan suami memang berkongsi minat yang sama dalam aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung dan saya sendiri aktif dalam sukan tahan lasak seperti triathlon dan aktiviti kembara lain.

"Suami dan saya sama-sama bersaing untuk menempatkan diri sebagai peserta Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 dan alhamdullillah, kami berdua terpilih mengikuti ekspedisi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman peserta ekspedisi tersebut di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden KE7B, Muhamad Muqharrabin Mohktaruddin berkata, kesemua tujuh peserta yang terpilih sebagai pendaki utama dan empat pembantu pendaki akan menjalani latihan selama lebih kurang dua minggu di New Zealand bagi menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Greenland.

"Tujuh orang peserta utama dan empat pembantu yang terpilih ini adalah yang terbaik dari 117 calon yang mencuba nasib untuk menjadi peserta ekspedisi ini," katanya.

Lima lagi peserta utama yang terpilih adalah Mohd. Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25 (ketua pasukan), Yanizam Mohd. Supiah, 26, Mohd. Akasyah Jamaludin, 24, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 33, dan Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 32.

Ops Buku: Mari Membaca mula digerakkan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

SHAH ALAM 11 Jan. — Pembudayaan amalan membaca semasa menunggu dan menaiki pengangkutan awam menjadi sasaran program Ops Buku: Mari Membaca anjuran Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) yang mula digerakkan hari ini.

Sebagai pembuka tirai aktiviti yang dijadual berlangsung dua kali sebulan sepanjang 2014, sekumpulan 20 penuntut institusi pengajian tinggi melakukan flash mob dengan membaca buku dan novel di Stesen KTM Komuter Seksyen 19 di sini.

Pengurus Bahagian Acara dan Integrasi 1M4U, Shaffique Ahmad Zehnun berkata, program itu bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat, terutama pelajar, agar masa terluang dapat dimanfaat sepenuhnya.

"Masyarakat, terutama golongan muda hari ini, masih kurang menerapkan budaya membaca ketika ada masa terluang seperti itu sedangkan ia masa terbaik yang boleh dimanfaat untuk menambah ilmu pengetahuan kita," katanya.

Beliau berkata program itu akan diteruskan di stesen komuter atau LRT terpilih.

Shaffique juga berkata, pihaknya menggalakkan lebih ramai golongan muda, terutama pelajar, menyertai acara itu agar objektif pembudayaan amalan membaca lebih meluas dalam kalangan masyarakat dapat dicapai. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved