Sabtu, 11 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah Persekutuan lupus 127 kes tahun lalu

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

ARIFIN Zakaria (depan) mengetuai perarakan Hakim-Hakim dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014 di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 11 Jan. - Mahkamah Persekutuan telah melupuskan sebanyak 127 daripada 270 kes yang tertunggak sepanjang tahun lepas.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria berkata, untuk kes jenayah, sebanyak 145 daripada 616 kes tertunggak berjaya dilupuskan.

"Bagi permohonan kebenaran merayu, Mahkamah Persekutuan telah melupuskan sejumlah 839 daripada 1,443 kes yang tertunggak pada 2013.

"Berlaku peningkatan kes berdaftar sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya, ini dijangka disebabkan berlakunya peningkatan ketara dalam pelupusan kes rayuan di Mahkamah Rayuan," katanya ketika berucap merasmikan majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Sementara itu, Arifin berkata, Mahkamah Rayuan pula telah melupuskan sebanyak 5,054 daripada 8,395 kes tertunggak sepanjang tahun lalu.

"Bagi kes jenayah, Mahkamah Rayuan telah melupuskan sebanyak 893 daripada 1,773 kes tertunggak," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, badan kehakiman telah mengambil pelbagai langkah bagi menambah baik prestasi dan kualiti perkhidmatan pada tahun lalu untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi tersebut.

"Antaranya dengan menganjurkan latihan dalaman untuk hakim dan pegawai kehakiman, serta menghantar mereka menghadiri seminar sama ada di dalam atau luar negara.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha pendidikan perundangan secara berterusan untuk meningkatkan pengetahuan undang-undang dan kemahiran kehakiman," katanya.

Peguam Negara sedang teliti kes Andrew

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Abdul Gani Patail (kiri) bersama Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014 yang disempurnakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 11 Jan. - Jabatan Peguam Negara sedang meneliti kertas siasatan berhubung kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew supaya semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan menggunakan bahasa Melayu oleh penganut agama tersebut.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, setakat ini pihaknya belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan kes tersebut ke mahkamah atau sebaliknya.

"Beri saya masa untuk meneliti kertas siasatan tersebut memandangkan saya baru sahaja pulang dari Kota Kinabalu tengah malam tadi," katanya ketika ditemui selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai status kertas siasatan kenyataan Andrew mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang telah dihantar oleh pihak polis setelah 99 individu dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan dijalankan.

Kelmarin Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, Pejabat Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan tersebut dan meminta siasatan lanjut dilakukan.

Ketika ditanya mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula, Abdul Ghani berkata, perkara tersebut perlu diserahkan kepada kerajaan.

Menurut beliau, pihaknya hanya akan mengambil tindakan sekiranya kerajaan memutuskan untuk menguatkuasa semula akta tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Gani berkata, Jabatan Peguam Negara sedang bekerjasama dengan Majlis Peguam, badan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji semula beberapa peruntukan undang-undang keganasan terhadap kaum wanita.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar badan guaman melatih lebih ramai peguam yang mempunyai kemahiran dalam bidang undang-undang keluarga untuk mentransformasikan akta tersebut.

"Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengenalpasti punca keganasan kaum wanita dan kita akan membuat tindakan susulan menerusi perbincangan tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved