Sabtu, 11 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


2 premis curi air digempur SAINS

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Kakitangan SAINS memotong saluran paip haram di sebuah rumah yang sedang diubahsuai ketika mengadakan operasi di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 10 Jan. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) kelmarin melakukan serbuan ke atas dua premis di sini dan Jelebu yang melakukan penyambungan bekalan air secara haram.

Pengurus Besar Sains, Zulkifli Ibrahim memberitahu, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Penguatkuasaan Sains serta anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Serbuan di sebuah premis di sini pada kira-kira pukul 11.30 pagi mendapati bekalan air daripada penyambungan digunakan bagi membancuh simen dan kegunaan harian penghuni premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Tambahnya, dalam serbuan kedua pada pukul 2.45 petang yang melibatkan sebuah pusat hiburan di Jelebu mendapati pemilik premis itu melakukan penyambungan iaitu menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter.

Jelasnya, para pegawai penguat kuasa telah menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains sebelum bertindak menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti.

"Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN dan Ketua Operasi, Mohadir Hid telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan kepada pemilik premis berkenaan," katanya

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Malah, katanya, tindakan tegas itu merupakan salah satu langkah berterusan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kes kecurian air sekitar negeri ini diharap menghubungi talian bebas tol Sains iaitu 1-800-88-6982," katanya.

Tapem beri amaran kepada 430 peminjam

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

Nordin Ali menunjukkan dokumen yang merekodkan jumlah pinjaman hutang Tapem pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 10 Jan. - Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 430 peminjam kerana tidak menjelaskan sebarang pembayaran balik pinjaman yang keseluruhan berjumlah RM5.5 juta.

Pengurus Besarnya, Nordin Ali berkata, Tapem sedang mengesan peminjam-peminjam berkenaan berikutan kegagalan mereka tampil memberi maklum balas setelah panggilan telefon dan notis amaran dikeluarkan.

Menurutnya, usaha menjejaki peminjam terus dilakukan dengan mengenal pasti kesemua peminjam berkenaan supaya mereka dapat hadir ke pejabat Tapem bagi melakukan perbincangan bersama.

"Selain itu, kita cuba menyelesaikan secara rundingan terhadap 816 peminjam yang telah tamat tempoh 10 tahun pembayaran balik kerana mereka masih gagal membayar habis pinjaman berjumlah RM2.4 juta.

"Bagi peminjam ini, Tapem minta mereka datang untuk berunding bagi penjadualan semula pembayaran agar tidak timbul sebarang masalah," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini semalam.

Nordin berkata, setakat ini hanya 4,542 peminjam melibatkan nilai hutang RM52.2 juta masih meneruskan pembayaran balik pinjaman.

Justeru katanya, Tapem sedia berbincang dengan mana-mana peminjam bagi penjadualan semula pembayaran bagi meringankan beban mereka.

Beliau menambah, Tapem menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan peminjam melunaskan bayaran balik termasuk pengecualian bayaran bagi pelajar cemerlang dan diskaun sebanyak 25 peratus bagi pemegang ijazah kelas kedua atas.

"Sebagai contoh, sebanyak 78 peminjam ijazah kelas pertama telah dikecualikan pembayaran balik dengan jumlah RM983.060 dan 647 orang pula diberi potongan 25 peratus dengan jumlah RM2.6 juta antara tahun 2000 hingga 2013," katanya.

Nordin berkata, Tapem turut menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada semua peminjam sekiranya mereka membuat bayaran penuh pinjaman sehingga Julai ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, Tapem menyasarkan pungutan sebanyak 15 peratus tahun ini berbanding RM7.4 juta tahun lepas bagi bayaran balik.

Tambahnya, pada tahun lalu Tapem juga berjaya mencatatkan peningkatan pungutan pinjaman sebanyak 5.11 peratus dengan jumlah RM7.4 juta berbanding RM7.1 juta pada 2012.

Pesakit teruja terima kunjungan Tunku Ampuan Besar NS

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (kiri) diiringi Lily Mushahar (dua dari kiri) berbual dengan seorang pesakit yang menjalani rawatan dialisis di HTAN, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kelmarin.

KUALA PILAH 10 Jan. - Sebanyak 30 pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis dikejutkan dengan kehadiran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini semalam.

Turut berangkat dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin.

Baginda turut berkenan menyumbang lima buah kerusi dialisis melalui Yayasan Munarah untuk kegunaan pesakit buah pinggang bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Pakar Perunding Nefrologi HTAN, Dr. Lily Mushahar berkata, perkhidmatan rawatan di unit berkenaan telah bermula sejak 20 April 1998 dengan kapasiti 10 buah mesin dialisis.

Katanya, sebanyak 30 pesakit tetap yang menerima rawatan di situ setiap bulan melalui tiga sesi waktu rawatan dari pukul 7 pagi hingga 8 malam, di samping mesin diselenggarakan oleh Syarikat Medivest.

Kemudahan rawatan ini diberi kepada pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang selepas disahkan oleh doktor," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan dan Pengarah HTAN, Dr Harlina Abdul Rashid.

Ujar Lily, di peringkat negeri pula, sebanyak 235 pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan ini dan hampir setiap tahun jumlah pesakit akan meningkat.

Statistik ini menimbulkan kegusaran ekoran kebanyakan pesakit yang mengalami masalah buah pinggang adalah mereka yang juga menghidap diabetis dan 57 peratus pesakit diabetis memerlukan rawatan dialisis di sini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved