Jumaat, 10 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perak catat bajet lebihan 2013

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 9 Jan. - Kerajaan negeri mencatatkan bajet lebihan bagi tahun 2013 apabila memperoleh hasil kutipan cukai sebanyak RM897.5 juta sepanjang tahun lalu, melebihi sasaran RM857.6 juta yang ditetapkan sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan (gambar) berkata, jumlah kutipan hasil bagi tahun lalu juga melepasi tahun-tahun sebelumnya iaitu 2012 dengan RM867 juta dan 2011 sebanyak RM820 juta.

Katanya, prestasi perbelanjaan pembangunan juga meningkat melebihi 90 peratus setakat semalam apabila kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM289 juta daripada RM322 juta yang diperuntukkan.

"Begitu juga dengan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM609 juta atau 97 peratus daripada RM626 juta yang diperuntukkan telah dibelanjakan.

"Kami menjangkakan peratusan itu akan terus meningkat apabila akaun ditutup pada hujung minggu ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2014 Menteri Besar di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, berucap tentang aspek pengurusan kewangan, Abdul Puhat memberitahu bahawa jabatan serta agensi kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi membanggakan pada awal Disember lalu.

Selain itu, kata Abdul Puhat, pembayaran bil-bil di negeri ini juga mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila menjadi antara tujuh negeri yang berjaya menyelesaikan pembayaran bil dalam tempoh 14 hari.

"Sebanyak RM220.2 juta atau 96.66 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada tujuh hari dan bakinya iaitu RM13.4 juta (3.34 peratus) antara lapan hingga 14 hari," jelas beliau.

Pengusaha stesen minyak diingat tidak subahat jual barang subsidi

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

KANGAR 9 Jan. - Kerajaan negeri mengingatkan 30 pengusaha stesen minyak di seluruh negeri supaya tidak bersubahat dengan aktiviti penjualan barangan subsidi yang semakin berleluasa diseludup ke negara jiran.

Sehubungan itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Sabry Ahmad berkata, pengusaha stesen minyak perlu memberikan kerjasama supaya kes penyeludupan minyak dapat dibanteras.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk menyita mana-mana stesen minyak yang disyaki menjual minyak subsidi supaya dihadapkan dengan tindakan undang-undang.

"Kita juga sedang memantau beberapa buah stesen minyak yang disyaki terlibat dalam kes penjualan minyak subsidi ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha stesen minyak negeri ini di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perlis (PPDNKKP), Khairul Amin Talib.

Beliau berkata, pada tahun ini, sebanyak dua kes stesen minyak disita dan pengusahanya akan dihadapkan ke mahkamah berhubung penjualan minyak subsidi.

"Pada awal tahun ini sahaja, kes penjualan minyak subsidi oleh stesen minyak telah meningkat 100 peratus berbanding tahun lalu hanya melibatkan satu kes sahaja," katanya.

Berikutan itu, katanya, pengusaha stesen minyak diingatkan jangan hanya mementingkan keuntungan sehingga sanggup menjual minyak subsidi kepada penyeludup minyak.

Sabry berkata, antara langkah kerajaan termasuk memastikan setiap stesen minyak menghantar laporan jualan minyak setiap hari bagi mengesan jika berlaku peningkatan jualan secara luar biasa.

Katanya, pihak stesen minyak juga boleh mengesan jika mendapati ada pengguna membeli minyak melebihi had yang sepatutnya bagi kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, ini kerana ada taktik penyeludup yang tidak mahu kegiatan mereka dikesan dengan mengisi minyak pada had yang dibenarkan sahaja.

Bagaimanapun katanya, penyeludup biasanya akan mengisi minyak di setiap stesen minyak bagi mengumpulnya sehingga memenuhi tangki kereta atau lori yang telah diubahsuai.

Tambahnya, tempoh masa untuk mengisi minyak juga lebih lama kerana tangki kenderaan penyeludup biasanya telah diubah suai bagi menampung jumlah lebih besar.

Beliau berkata, tugas membanteras penyeludupan minyak bukan kepada pihak tertentu, malah orang ramai juga diminta untuk membantu.

Maritim Malaysia rampas 457 slot rokok cuba diseludup

Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST

Tan Kok Kwee (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas dalam sidang akhbar di Kuala Perlis, Kangar, semalam.

KANGAR 9 Jan. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan seludup 457 slot rokok putih pelbagai jenama yang disorokkan di dalam sebuah sampan fiber di Kampung Tandiap, Seberang Ramai, Kuala Perlis dekat sini pada kira-kira pukul 11 pagi pada 7 Januari lalu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama, Tan Kok Kwee berkata, rokok itu yang bernilai lebih kurang RM10,000 dengan cukai dianggarkan RM35,000 dipercayai telah diseludup keluar dari Langkawi.

Beliau berkata, hasil maklumat awam pihaknya telah mengadakan rondaan di perairan Kuala Perlis bagi menjejak sebuah sampan fiber yang tidak bernombor.

"Sebaik sampai ke lokasi tersebut kami mendapati pemilik sampan telah pun lari untuk mengelak ditahan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Kuala Perlis di sini hari ini.

Katanya, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan rapi sehingga menemui rokok yang disimpan di dalam sampan berkenaan.

Kok Kwee berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 128 Akta Kastam 1967.

Beliau percaya kegiatan menyeludup rokok semakin berleluasa ekoran kenaikan harga rokok yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, rokok ini yang jauh lebih murah dari yang terdapat di pasaran di negara ini mula menjadi pilihan kepada perokok.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pemantauan lebih serius bagi memastikan penyeludupan rokok dapat dibanteras.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved