Jumaat, 10 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua pegawai kanan didakwa

Posted: 10 Jan 2014 12:09 PM PST

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

Shahril Effendi Abd. Ghany (kiri) dan Mohd. Hadtamizi Abu Bakar ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Dua pegawai kanan Kementerian Luar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dengan membuat tuntutan palsu berjumlah AS$126,681 (RM378,000), tiga tahun lalu.

Shahril Effendi Abd. Ghany, 48, yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan penolongnya, Mohd. Hadtamizi Abu Bakar, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka secara berasingan.

Shahril Effendi, yang merupakan Timbalan Ketua Perwakilan Besar Malaysia di Washington DC ketika kejadian, didakwa telah memperdayakan Duta Besar Malaysia ke AS dengan mengemukakan dua dokumen palsu.

Dua dokumen itu adalah penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii bertarikh 2 hingga 16 November 2011 dan resit rasmi kepada syarikat pengangkutan, Aloha Way Transportation bertarikh 3 November 2011 berjumlah AS$126,681 (RM378,000).

Mengikut pertuduhan, kedua-dua dokumen itu mengandungi butiran palsu yang mengesahkan pembayaran untuk deposit sewaan kereta kepada syarikat pengangkutan itu semasa persidangan tersebut, sedangkan jumlah sebenar yang dibayar hanya AS$88,500 (RM289,217).

Pertuduhan terhadap Shahril Effendi itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sementara, Mohd. Hadtamizi didakwa bersubahat dengan Shahril Effendi melakukan perbuatan itu.

Pertuduhan terhadap Mohd. Hadtamizi dikemukakan mengikut Seksyen 18 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta tersebut.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, 3516 International Court N.W., Washington DC, AS pada 8 Disember 2011.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Hanipah manakala Shahril Effendi diwakili peguam Shamsul Sulaiman sementara Mohd. Hadtamizi diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari ini.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan akhbar di sini hari ini memberitahu, kementerian itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

Bagaimanapun kementerian terbabit tidak berhasrat untuk membuat sebarang ulasan berhubung perkara itu memandang kes tersebut telah dibawa ke mahkamah.

Tak sempat kumpul maklumat

Posted: 10 Jan 2014 12:09 PM PST

KOTA KINABALU 10 Jan. — Satu daripada lima pasukan VAT69 yang ditempatkan di beberapa kawasan bagi mengepung Kampung Tanduo belum mengumpul maklumat yang mencukupi berkaitan kumpulan penceroboh Sulu ketika mereka diserang pada 1 Mac.

''Ketika itu, kami belum mengumpul maklumat yang cukup berhubung lokasi penceroboh bersenjata itu kerana ia perlu dilakukan secara taktikal," kata Supritendan Mancha Anak Laga di Mahkamah Tinggi di sini yang bersidang di Penjara Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lalu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ram Singh, Mancha berkata, sebahagian tugasan beliau dalam operasi tinjau rapat di kampung itu ialah menilai kekuatan penceroboh, lokasi kubu dan pondok sentri mereka.

Ketika ditanya apa maksud "Tiger! Keluar Kau dari sini. Ini bumi kami" yang dilaungkan penceroboh ketika berdepan pasukan VAT69, Mancha berkata, ia membawa maksud mereka mencabar pasukannya agar meninggalkan kawasan itu.

''Adakah kesemua penceroboh berlari ke arah kamu dan pasukan kamu ketika mereka melaungkan perkataan itu?" tanya Ram dan Mancha menjawab: "Ya." Mancha berkata, tujuan penceroboh berkenaan berlari ke arah pasukannya ialah untuk menyerang kerana beliau nampak pihak musuh mengacukan senjata masing-masing ke arah mereka.

Terdahulu, ketika disoal balas peguam, Datuk N. Sivananthan, Mancha berkata, beliau nampak beberapa penceroboh lari ke arah Kampung Tanduo apabila kejadian berbalas tembakan berakhir, namun pasukannya tidak mengejar mereka.

''Saya sudah berkhidmat dalam pasukan VAT69 selama 28 tahun dan seorang yang berpengalaman.

''Jika saya mengejar penceroboh berkenaan, ada kemungkinan saya akan diserang hendap oleh penceroboh yang bersenjata," katanya.

Mancha berkata, selain senjata dan parang yang ditemui di lokasi kejadian berbalas tembakan selepas itu, turut ditemui ialah sebuah beg namun beliau tidak membuka untuk melihat isi kandungannya.

Kesemua 30 individu terbabit berdepan pertuduhan melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.

Tertuduh terdiri 27 rakyat Filipina dan tiga rakyat tempatan.

Antara pertuduhan yang mereka hadapi ialah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Bagi kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala bagi pertuduhan menganggotai dan melindungi anggota kumpulan pengganas, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup serta denda.

Bagi kesalahan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas pula boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung bersambung 15 Januari ini. - Bernama

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved