Jumaat, 10 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Geng Mat Obert tumpas

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

MOHD . Zakaria Ahmad (kanan) memeriksa kenderaan yang dirampas setelah melumpuhkan geng Mat Obert di IPD Maran, Pahang, semalam.

MARAN 10 Jan. - Polis menumpaskan kumpulan curi kenderaan dan pecah rumah bergelar Geng Mat Obert ekoran tertangkapnya 11 individu termasuk seorang wanita di tiga buah daerah di negeri ini.

Suspek yang berumur lingkungan 18 dan 21 tahun itu telah ditahan di Bera, Maran dan Jerantut dalam operasi yang diadakan sejak pertengahan bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis Pahang telah membuat Ops Cantas Lejang dan Ops Cantas Pintu untuk mengesan kejadian jenayah melibatkan kes curi kenderaan dan pecah rumah.

"Hasilnya seramai 11 orang berjaya ditahan pada 28 Disember lalu termasuklah ketua mereka yang dikenali sebagai Mat Obert berumur 21 tahun.

"Kita juga berjaya merampas 10 buah motosikal, dua unit casis motosikal, dua unit enjin motosikal dan lima buah kereta. Kesemuanya adalah dicuri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Sulaiman A. Hamid.

Kata Mohd. Zakaria lagi, siasatan mendapati, geng ini dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu.

"Polis percaya dengan tertumpasnya geng ini dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 18 kes curi kenderaan dan lapan kes pecah rumah melibatkan daerah Bera, Temerloh, Maran dan Kuantan.

"Selain itu, kita juga dapati kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes ragut di daerah Maran dan Jerantut. Kumpulan ini dipercayai menggunakan sebahagian motosikal yang dicuri untuk kegiatan ragut," katanya.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek yang ditahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Pada masa ini kesemua suspek masih lagi ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Dalam pada itu, pihak polis menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kegiatan jenayah di tempat masing-masing.

Kerusi roda bantu pelajar KPM

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

HALIMAHTUN Saadiah Mohd. Taib (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Che Nuranis Syahira Che Lukeman (kanan) sambil diperhatikan oleh Fadzilah Awang Ibrahim di KPM Indera Mahkota di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 10 Jan. - Kepayahan seorang pelajar cemerlang Kolej Profesional Mara (KPM) Indera Mahkota di sini untuk bergerak akibat penyakit tulang belakang bengkok atau scoliosis mendapat perhatian pihak kolejnya yang menyumbangkan sebuah kerusi roda elektronik hari ini.

Che Nuranis Syahira Che Lukeman, 19, pelajar semester dua Diploma Perakaunan itu menghidap penyakit tersebut sejak berumur 12 tahun sehingga menyukarkan pergerakannya.

Menurut anak kedua daripada lima beradik dari Tumpat, Kelantan itu, beliau pernah dirujuk kepada pakar tulang dan saraf di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan doktor menyarankan agar melakukan pembedahan.

Bagaimanapun, ibu bapa saya menolak kerana peluang yang diberikan doktor amat tipis dan berisiko tinggi. Jika gagal, saya langsung tidak boleh berjalan.

Sejak dilahirkan saya dimaklumkan mengalami saraf dan otot yang lemah sehingga memberi kesan kepada tulang belakang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di KPM Indera Mahkota di sini.

Yang turut hadir Pengarah KPM Indera Mahkota, Halimahtun Saadiah Mohd. Taib dan Pengerusi Badan Muafakat KPM Indera Mahkota, Fadzilah Awang Ibrahim.

Beliau yang memperoleh 7A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2012 amat berterima kasih kepada KPM, terutama Badan Muafakat atas sumbangan kerusi roda elektronik itu.

Saya harap dengan kerusi roda ini memudahkan pergerakan ke kelas kerana sebelum ini mengambil masa 15 minit berjalan kaki.

Terima kasih kepada pihak kolej kerana amat prihatin terutama dalam menjaga kebajikan saya," jelasnya yang turut mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.71 pada semester pertama.

Mesyuarat UMNO bahagian di cawangan ikut giliran

Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST

AHMAD Nazlan Idris melawat Ahmad Nazar Osman yang terlantar sakit di rumahnya di Taman Perumahan LKNP di Jerantut, Pahang, semalam.

JERANTUT 10 Jan. - Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut akan diadakan di cawangan-cawangan bagi memberi peluang kepada ketua cawangan hadir dan menyuarakan keluhan mereka.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, langkah itu juga dapat memberi gambaran sebenar kepada ketua cawangan bagaimana perjalanan mesyuarat bahagian.

Menurutnya, UMNO Bahagian juga akan menjemput ketua cawangan untuk hadir sama dalam mesyuarat yang diadakan.

''Ini satu perubahan yang kita lakukan. Mulai sekarang mesyuarat bahagian akan diadakan di cawangan-cawangan mengikut giliran.

''Langkah ini dapat memberi peluang ketua cawangan dan pemimpin sayap UMNO untuk hadir sama selain menyuarakan keperluan mereka,'' katanya.

Ahmad Nazlan berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menziarah dan menghulurkan sumbangan kepada dua beranak yang mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus di Taman Perumahan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) di sini.

Dua beranak berkenaan, Osman Idrus, 78, seorang pesara guru manakala anaknya, Ahmad Nazar, 48, sebelum ini bertugas sebagai jurutera sivil.

Akibat jangkitan kencing tikus sejak lapan tahun lalu itu, Osman hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, manakala anaknya tidak dapat banyak bergerak atau bercakap dan hanya terlantar di atas katil.

Mengenai nasib dua beranak itu, Ahmad Nazlan menggesa orang ramai terus membantu dan menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit.

Menurutnya, UMNO Bahagian itu juga dari semasa ke semasa akan berusaha mengurangkan beban ditanggung ahli keluarga berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved