Jumaat, 10 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rintangan Faizal sebelum miliki Norazlina

Posted: 10 Jan 2014 12:09 PM PST

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

SALING percaya mempercayai dan hormat menghormati antara satu sama lain menjadi kunci kebahagiaan rumah tangga.

PERANGAI yang 'gila-gila' dan gemar berjenaka cukup sinonim dengan penyampai radio dan pengacara televisyen popular ini. Sememangnya dia berperangai sedemikian sejak di bangku sekolah lagi, FBI atau nama sebenarnya Faizal Ismail, 38, selesa sedemikian baik ketika bekerja mahupun sewaktu berada di rumah.

Walaupun mudah dan cukup disenangi semua orang yang berada di kelilingnya, tetapi menurut FBI, dalam soal jodoh dia tidaklah begitu bernasib baik kerana sebelum bergelar suami kepada Norazlina Ahmad Din, 38, dia terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk memikat hati isterinya itu.

Mengakui terpaksa melakukan pelbagai perkara untuk menawan hati isterinya, FBI turut menjelaskan terpaksa melalui banyak peringkat lamaran sebelum akhirnya diterima.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman manisnya kira-kira 13 tahun yang lalu, FBI memberitahu dia dan Norazlina merupakan rakan sekelas dan rakan satu kursus semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pada awalnya, dia tidak begitu perasan akan kehadiran Norazlina dalam kelas memandangkan isterinya itu seorang yang pendiam jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawan perempuan yang lain.

Namun itulah yang dinamakan jodoh kerana mereka dipertemukan ketika sama-sama ditempatkan di dalam satu kumpulan untuk melakukan tugasan luar.

Daripada situlah, segala-galanya mula berputik apabila mereka sering bersama untuk berbincang dan menyiapkan tugasan yang diberikan.

"Apa yang berlaku semua adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun kami dalam satu kumpulan tetapi kami tidak rapat kerana saya jenis orang yang banyak bercakap, manakala isteri pula seorang yang pendiam.

"Pada waktu itu, saya kenal isteri hanya sebagai rakan sekelas sehinggalah apabila masuk semester lima, kami digandingkan bersama untuk tugasan luar. Perhubungan menjadi bertambah rapat kerana selalu sangat berjumpa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan, sehinggalah timbul perasaan sayang," ujarnya sambil ketawa.

Begitupun, kepayahan FBI untuk memikat hati Norazlina tidak sama sekali melunturkan hasratnya, malah dia tambah bersemangat untuk terus mencuba.

Apabila soalan diajukan kepada Norazlina pula, dia memberitahu bahawa dia merupakan antara wanita yang sukar untuk mempercayai lelaki.

Disebabkan itulah, dia tidak mudah menerima lamaran FBI, apatah lagi ketika itu mereka masih belajar.

Bagaimanapun, Norazlina amat terharu dengan usaha yang tidak putus-putus dilakukan FBI dalam usaha memikat hatinya.

Akhirnya setelah pelbagai perkara dilakukan FBI, tanpa disangka-sangka hanya dengan mendendangkan lagu Datuk M. Nasir, Suatu Masa telah membuka pintu hati Norazlina untuk menerima lamaran jejaka berasal dari Pulau Pinang itu.

"Sebenarnya, sebelum lamaran diterima, pernah suatu ketika FBI memberi kata dua mengenai perkara (lamaran) ini, kononya nak tengok sejauh mana perasaan saya terhadapnya.

"Tetapi nampaknya apabila tiada maklum balas, FBI tetap meneruskan agendanya (perancangan) untuk memikat hati saya dan tanpa diduga hanya dengan menyanyikan lagi M. Nasir, Suatu Masa, melalui telefon awam ketika itu berjaya membuka pintu hati saya.

"Bayangkan apa yang tidak dilakukan FBI termasuklah memberi sejambak bunga ros dan juga menulis surat yang dilihat tidak berjaya akhirnya hanya mendengar nyanyian melalui telefon, terus masuk ke hati," tutur Norazlina sambil tersenyum.

Selepas berjaya menawan hati isterinya, FBI menjelaskan tugasnya tidak habis setakat itu sahaja kerana dia perlu meneruskan perancangan untuk memikat hati bakal ibu dan bapa mertuanya pula.

Apa yang menariknya mengenai perjalanan cinta FBI ini, dia terlebih dahulu berjumpa dengan bapa Norazlina untuk menyuarakan hasrat hati (merisik) secara bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa.

Ketika itu, FBI memberitahu hanya tuhan sahaja yang mengetahui akan getaran di jiwanya, takut hajatnya tidak diterima.

Apa yang pasti, kehadirannya menyuarakan hasrat hati diterima tetapi dinasihatkan agar membawa orang tuanya untuk berjumpa mengikut adat.

"Saya sememangnya tidak pernah lupa kenangan ini kerana saya pergi merisik isteri berseorangan tanpa kehadiran orang tua.

"Nasib baik tak kena marah tapi dinasihatkan bapa mertua agar beritahu orang tua dan buat secara beradat.

"Akhirnya pada 4 Ogos 2001 kami telah disatukan dan bahagia dengan kehadiran tiga orang cahaya mata iaitu Nurkhairina Iman, Muhammad Khalish Iman, dan Khayla Nur Iman," tambahnya lagi.

Selama melayari bahtera rumah tangga, FBI berkata apa yang penting ialah saling percaya mempercayai dan juga saling hormat menghormati antara satu sama lain.

FBI juga tidak menafikan kadang kala rumah tangganya turut disulami dengan pergaduhan, malah dia suami isteri berkata ia adalah lumrah hidup berumah tangga.

Cuma apa yang mereka berdua amalkan ialah tidak terlalu memanjangkan pergaduhan sehingga tidak bertegur sapa selama beberapa hari tetapi mencari jalan penyelesaian agar kehidupan menjadi kembali seperti biasa.

Anak lelaki lepas tanggungjawab

Posted: 10 Jan 2014 12:09 PM PST

BUKAN mudah untuk mengurus atau menjaga ibu bapa yang telah berusia emas disebabkan mereka terlalu sensitif dan ada kalanya membuatkan kita hilang sabar.

Namun ia satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan dan jangan sekali-kali mengambil sikap lepas tangan kerana di akhirat esok anda akan ditanya tentang perkara ini.

Minggu ini, saya memilih kisah yang dikirim oleh Elina (bukan nama sebenar) tentang sikap adik beradiknya dalam menangani isu menjaga orang tua mereka. Ikuti kisahnya seperti dikirimkan Elina kepada saya.

"Saya berusia awal 30-an, sudah bekerja dan telah berkahwin serta mempunyai dua orang anak perempuan berusia lapan dan 11 tahun. Saya mempunyai enam orang adik-beradik, saya anak perempuan yang sulung, seorang adik perempuan, seorang adik lelaki dan tiga orang abang. Kesemua mereka telah mempunyai keluarga sendiri, hidup senang dan berjawatan tinggi.

"Tujuan saya menulis di ruangan ini bukan untuk membuka pekung di dada tetapi kerana mahu berkongsi pengalaman saya menjaga kedua-dua ibu bapa saya yang telah tua setelah adik lelaki dan abang tidak mengambil berat tentang kebajikan mereka.

"Saya tahu, semua perkara dalam hidup ini perlukan pengorbanan dan perhatian. Tanpa kedua-dua elemen ini, pasti tidak akan mencapai apa yang diinginkan. Saya ingin bertanya, adakah adil bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak tetapi hanya seorang sahaja yang mengambil berat tentang mereka?

"Saya telah melalui pengalaman ini, sikap menuding jari sesama adik-beradik tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya akan menjadi punca pergaduhan dan bermasam muka.

"Sikap mementingkan diri sendiri juga saya rasa menjadi punca kenapa dalam kalangan adik-beradik tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik terhadap ibu bapa. Bayangkan, sewaktu kecil kita ditimang mereka tetapi setelah dewasa kita mengabaikan mereka.

"Bukan kerana kita sibuk dengan urusan akhirat tetapi sibuk dengan urusan duniawi yang tiada kesudahan selagi daya. Bila sudah kaya, hendak kaya lagi, bila sudah berjawatan tinggi, hendak tinggi lagi. Sampai bila?

"Saya sedih bila memikirkan hal ini kerana adik lelaki dan abang-abang tidak langsung menghiraukan nasib ibu bapa kami yang terbiar walaupun mereka tinggal di rumah yang cukup selesa, mewah dan lengkap dengan segala kemudahan.

"Tiada seorang pun abang saya yang mahu tinggal bersama ibu dan bapa kami, apatah lagi membawa mereka tinggal bersama walaupun untuk sekejap. Puncanya, sebab semuanya takut isteri dan mengikut kemahuan isteri masing-masing yang kononnya mahukan privasi atau hak untuk bersendiri.

"Semua beban diletakkan di atas bahu saya, hanya kerana saya anak perempuan sulung walaupun telah berkeluarga. Entah di mana silapnya sehingga ada juga yang langsung tidak menghulurkan perbelanjaan bulanan untuk kedua-dua orang tua kami.

"Semua perbelanjaan saya yang dahulukan. Itu tidak menjadi masalah buat saya kerana saya merasakan ia tanggungjawab saya. Tetapi adakah wajar adik dan abang-abang saya yang lain melepaskan tanggungjawab mereka?

"Terkadang bila memikirkan perkara ini, saya ingin mencadangkan kepada pihak berwajib supaya mengadakan peraturan membayar elaun kepada ibu dan bapa melalui potongan gaji.

"Ini belum lagi bab menjaga hati dan perasaan ibu bapa. Contohnya, pada hari raya, sepatutnya semua akan berkumpul di kampung dan bersama-sama menyediakan juadah untuk menyambut hari raya tetapi mereka sibuk membeli-belah yang kononnya harga runtuh.

"Pada malam hari raya apabila semua kerja memasak juadah telah siap untuk dijamah barulah kelibat mereka kelihatan. Beg-beg jualan murah penuh di kedua-dua belah tangan.

"Anak-anak tidak malu pada ibu dan bapa yang melihat gelagat mereka dengan air mata bergenang sementara menantu pula macam hantu yang tidak ada perasaan belas kasihan pada mentua. Inikah anak menantu yang boleh dibanggakan oleh anak-anak mereka kelak?

"Banyak lagi perkara yang ibu dan bapa saya pendamkan tetapi mereka tidak bersuara sebab tidak mahu anak-anak tersinggung dan susah. Tetapi di dalam hati mereka yang selalu menangis, siapa yang tahu?

"Saya bukan hendak berkira wang ringgit dan kudrat saya yang dicurahkan untuk mak dan bapa kami tetapi salahkah jika seorang daripada anak-anak lelaki tinggal bersama ibu bapa?

"Terlalu banyak kisah yang tersebar mengenai kisah menantu yang tidak serasi tinggal bersama mentua, mungkin ada juga yang betul tetapi jika ibu dan bapa tidak lagi mampu untuk menguruskan diri sendiri, wajarkah dibiarkan tanpa perhatian dan belas kasihan daripada anak-anak?

"Kalau anak-anak susah, saya boleh faham tetapi ini semuanya hidup mewah, terbang ke sana sini dengan keluarga bercuti tetapi hendak bagi wang seringgit dua untuk ibu bapa pun susah.

"Hak milik rumah pusaka telah bertukar nama kepada anak lelaki tetapi di mana perginya tanggungjawab mereka sebagai waris. Duit gaji semua diberikan kepada isteri yang menguruskan segalanya sehingga bajet untuk ibu dan bapa terpaksa dicatu kerana tidak pernah cukup kononnya disebabkan kos hidup yang semakin tinggi.

"Mereka tidak tahu, wang gaji dan rezeki itu Allah yang tentukan dan ia akan menjadi berkat jika dihulurkan kepada mereka yang berhak terutama kepada ibu bapa. Bertuah ibu bapa yang mempunyai anak dan menantu yang prihatin tidak seperti adik dan abang-abang saya.

"Takdir Allah tiada siapa yang boleh menghalang, sehebat mana pun kita, satu hari Allah akan tunjukkan kelemahan dan kekurangan diri. Salah seorang daripada mereka akhirnya kesempitan wang untuk menampung perbelanjaan anak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Baru ingat ibu bapa, sanggup pula tebalkan muka berjumpa ibu dan bapa meminta pinjamkan wang.

"Setelah dipujuk rayu, akhirnya ibu dan bapa saya cair, sebab kasihankan cucu yang hendak belajar. Wang simpanan pun dikeluarkan, hendak membayarnya mengambil masa bertahun-tahun. Kenapa tidak ada langsung simpanan untuk masa hadapan anak-anak, sedangkan perbelanjaan untuk harga runtuh boleh disediakan pada setiap tahun. Itu yang saya pelik!

"Adakah ini anak-anak yang boleh dijadikan tempat untuk menumpang kasih dan mengharapkan bantuan? Kenapa bila susah ingatkan ibu bapa, bila senang mereka dilupakan?

"Saya tidak ada niat untuk menyinggung perasaan mereka tetapi setiap hari saya berdoa agar adik dan abang-abang saya akan sedar dengan perbuatan mereka terhadap orang tua kami. Saya sangat berharap mereka akan insaf dan kembali menjadi anak-anak yang bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya sebelum kedua-dua orang tua kami pergi menghadap Ilahi.

"Saya tidak mahu kata apa-apa lagi. Jika saya terus berleter mereka akan kata saya berkira. Tapi saya bersyukur kerana suami dan anak-anak faham dengan apa yang saya lalui.

"Anak-anak tidak banyak kisah sementara suami sentiasa ada di sisi setiap saat apabila saya perlukan dia untuk membantu ibu dan bapa saya jika mereka sakit dan perlu ke mana-mana. Seboleh-bolehnya kami anak-beranak akan selalu menggembirakan mereka.

"Selama ini, ibu dan bapa saya juga tidak pernah merungut tetapi saya tahu mereka rindukan anak-anak yang lain. Jumpa setahun sekali apabila hari raya tidak sama dengan dapat berbual dan bercerita dengan anak menantu dan cucu sambil makan-makan dan gelak ketawa. Saat itu yang mereka rindukan.

"Tetapi saya tahu, ibu bapa saya selalu mendoakan suasana itu akan kembali setiap kali mereka selesai mengerjakan solat. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa mereka dan kembalikan keceriaan keluarga kami seperti ketika kami masih kecil, disayang, dimanja dan dibelai oleh kedua-dua ibu bapa .

"Semoga adik lelaki dan abang-abang saya akan berubah sebelum terlambat. Itu harapan dan doa saya yang tidak pernah putus," Elina menamatkan ceritanya.

Saya faham dan bersimpati dengan apa yang Elina lalui. Memang saya terharu dengan kisah Elina dan berharap mendung yang ada akan segera berlalu pergi.

Saya harap Elina akan terus bersabar dan menjalankan tanggungjawabnya terhadap ibu bapa tersayang. Besar pahalanya menjaga dan memberi kasih sayang kepada ibu bapa.

Apa yang Elina lakukan perlu dicontohi oleh anak-anak lain terutama anak lelaki yang sepatutnya memikul tanggungjawab tersebut.

Seperti Elina, saya juga berharap adik lelaki dan abang-abang Elina akan sedar dengan perbuatan mereka dan kembali memikul tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa yang merindui kasih sayang mereka.

Memang dalam era sekarang kisah menantu tidak serasi dengan mentua tetap ada tetapi masih ada jalan penyelesaiannya dengan suami boleh memainkan peranan membimbing isteri menghormati ibu bapa mentua sama seperti ibu bapa kandung.

Saya sedih apabila membaca kisah Elina tentang ipar duainya yang tidak membantunya ketika hari raya. Sabar ya Elina, insya-Allah ada hikmah di sebalik segala kejadian, mudah-mudahan tahun ini mereka akan berubah.

Menutup catatan, sambil mengingatkan diri saya dan anda juga, segala perbuatan kita terhadap ibu bapa di dunia akan dihitung di akhirat kelak. Jangan sekali-kali menyakiti mereka kerana akan ada azabnya daripada Allah SWT sebagai pembalasan. Renung-renungkanlah!

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved