Isnin, 20 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Longgarkan syarat lesen penjaja

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 19 Jan. - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta majlis daerah seluruh negeri ini diarah melonggarkan syarat bagi penjaja dan peniaga kecil mendapatkan lesen perniagaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta bagi memboleh golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini memperoleh pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan yang kian meningkat.

''Bermula tahun ini semua PBT di negeri ini hendaklah melonggarkan syarat pemberian lesen penjaja serta-merta kerana mereka ini hanya ingin mendapatkan wang sampingan serta tambahan sementara suami mereka mencari rezeki di bandar.

''Kalau ada pun mereka buka awal pagi sehingga 8 pagi selepas itu petang mereka meniaga kuih-muih jadi apa salahnya mereka berniaga secara kecil-kecilan. Dapatlah mereka peroleh RM20 hingga RM30 sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang dekat sini semalam.

Pada masa sama Mohamad turut mengumumkan insentif pengecualian terhadap pembayaran permit kepada penjaja dan peniaga kecil berkuat kuasa serta-merta.

Justeru beliau berharap semua penjaja memanfaatkan insentif itu sebaik mungkin sekali gus membolehkan mereka meraih pendapatan daripada perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.

Cadangan lebih kerap anjur pasar tani

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Idris Haron (tengah) bersama Hasan Rahman (tiga dari kanan) dan Latiff Tamby Chik (kiri) menunjukkan sayur yang dijual dengan harga berpatutan semasa melakukan lawatan kerja di Pasar Tani Merlimau, Jasin, Melaka, semalam.

MELAKA 19 Jan. - Kerajaan negeri bercadang meningkatkan kekerapan penganjuran pasar tani di kawasan yang ditetapkan bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barang keperluan harian dengan harga lebih rendah berbanding di tempat lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, perkara yang dicadangkan sendiri oleh pengguna itu akan dibincangkan secara lebih terperinci di peringkat portfolio berkaitan sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, kebanyakan pasar tani di semua 11 kawasan di negeri ini hanya diadakan satu hingga dua kali dalam seminggu dan jumlah berkenaan mungkin akan ditambah kepada dua hingga empat kali seminggu.

"Kerajaan negeri akan memikirkan cara terbaik untuk mengatur jadual pasar tani di seluruh negeri dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Md. Nawi Othman dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Muhabir Ibrahim.

Idris memberitahu, beliau juga berharap kekerapan penganjuran pasar tani di kawasan tumpuan pengunjung ini akan memberi peringatan kepada pihak yang mengambil keuntungan berlebihan supaya dapat mengawal harga serta tidak membebankan pengguna.

Sementara itu katanya, sehingga kini pasar tani masih kekal sebagai faktor utama pengimbang harga pasaran barang harian.

"Saya melihat pengunjung masih lega dengan harga barang yang ditawarkan di pasar tani malah ia berada di tahap yang tidak membebankan pengguna.

"Malah program FAMA Jimat Belanja Dapur yang diperkenalkan kerajaan juga merupakan faktor harga barang keperluan harian di pasar tani masih rendah berbanding tempat lain.

"Pengguna juga mampu berjimat sehingga RM6 bagi sekilogram barang yang ditawarkan di pasar tani," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pemilik dan penganjur pasar tani supaya sentiasa berhemah bukan sahaja dalam memperkenalkan harga barang harian tetapi juga dalam penganjuran keseluruhannya termasuk kebersihan.

"Kebersihan ini perlu diberi perhatian serius terutamanya bagi premis yang menjual barang makanan dan minuman di pasar tani," tambahnya.

Tuanku Muhriz saksi perlawanan bola sepak

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersalaman dengan pemain Barisan Artis Nasional sebelum perlawanan bola sepak persahabatan di Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah, kelmarin.

KUALA PILAH 19 Jan. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencemar duli berangkat menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pilihan Kerabat Diraja Negeri Sembilan menentang pasukan Barisan Artis Nasional di Padang Awam Seri Menanti, dekat sini semalam.

Pasukan pilihan Kerabat Diraja Negeri Sembilan diketuai oleh anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin bersama kerabat diraja yang lain.

Pasukan Barisan Artis Nasional pula disertai antaranya Dwan Olan, Fahrin Ahmad, Fiq Mentor, Blank Gamma, Roy Azman, Danny X-Factor dan Syed Aiman.

Tunku Ali Redhauddin berkata, perlawanan itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang menarik dan berusaha untuk mencapai kemenangan.

"Setiap tahun, perlawanan persahabatan seperti ini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

"Pada separuh masa pertama, kami mendahului pasukan artis, namun selepas habis perlawanan kami akhirnya ditewaskan," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Barisan Artis Nasional berjaya menewaskan pasukan pilihan Kerabat Diraja Negeri Sembilan dengan jaringan 5-2.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved