Isnin, 20 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kehebatan Tenun Pahang Diraja

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KOLEKSI Tenun Pahang Diraja terus mendapat perhatian ramai sejak Galeri Tekstil, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang dibuka mulai 15 Januari lalu.

PEKAN 20 Jan. - Sebanyak 44 pasang koleksi Tenun Pahang Diraja milik Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dipamerkan di Galeri Tekstil, Muzium Sultan Abu Bakar di sini.

Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP) diadakan bermula 15 Januari sehingga 31 Mac ini sempena mempromosikan pakaian berkenaan dan muzium tersebut khususnya.

Menariknya, pelancaran pameran tersebut disempurnakan oleh Puteri Benedikte dari Denmark baru-baru ini dalam acara yang cukup santai dan meriah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin, kehadiran Puteri Benedikte diharap dapat menarik minat lebih ramai pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke muzium berkenaan bagi melihat sendiri pelbagai koleksi menarik yang dipamerkan.

"Muzium Sultan Abu Bakar bukan sahaja mempamerkan koleksi Tenun Pahang Diraja tetapi pelbagai jenis kesenian, kebudayaan, kesultanan dan adat resam negeri ini.

"Puteri Benedikte sendiri begitu kagum dengan keunikan dan keaslian Tenun Diraja Pahang dalam lawatan kira-kira satu jam itu. Pameran ini diadakan sebagai salah satu daripada cabang kesenian busana tradisional yang harus dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman," katanya ketika ditemui selepas pelancaran majlis itu di sini.

Sementara itu Pengarah LMNP, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal berkata, pameran tersebut menampilkan koleksi persalinan Tunku Azizah menggunakan kain Tenun Pahang Diraja dengan teknik ikat, teknik benang lurex dengan bermotifkan bunga cengkih, bunga pekan, tampuk manggis dan bunga tanjung.

"Persalinan tersebut direka khas oleh pereka tersohor negara, Rizalman Ibrahim yang menampilkan rekaan baju kurung moden kontemporari dengan tambahan manik, labuci dan jemeki.

"Kita amat berbangga apabila Tunku Azizah sudi berkongsi koleksi baginda termasuk yang masih belum dipakai," jelasnya.

Tambahnya, pameran ini turut diadakan bagi menghargai usaha Tunku Azizah dalam menjaga dan mengekalkan tradisi Tenun Pahang Diraja sehingga tercetusnya Institut Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Afzan.

Sementara itu seorang penduduk tempatan, Norsahila Wahi, 36, berkata, usaha pihak muzium mempamerkan tenun tersebut wajar wajar dipuji untuk tatapan generasi muda dan masyarakat terutama pengunjung dari luar negeri ini.

"Dalam era globalisasi dengan pelbagai jenis rekaan pakaian terkini, Tenun Pahang Diraja mempunyai keunikan tersendiri dan sesuai untuk pelbagai jenis majlis serta rekaan.

"Saya harap Tenun Pahang Diraja akan terus kekal dan menjadi pilihan ramai kerana rekaan eksklusifnya," katanya sambil memberitahu harga sepasang kain tenun antara RM600 hingga RM2,000.

Katanya, sebagai anak tempatan dia amat kagum dan berbangga apabila Tenun Pahang DiRaja 'diangkat' kerana keunikannya terutama penghasilan dilakukan secara manual dan sepasang kain dapat disiapkan kira-kira dua minggu.

Bagi seorang pengunjung, Eddy Mohd. Sahlan Osman, 31, beliau bertuah kerana ketika kunjungan kali ini ke muzium berkenaan dapat melihat koleksi Tengku Puan Pahang dengan begitu dekat.

"Melihat sendiri deretan koleksi Tengku Puan Pahang amat mengujakan dan rekaan yang dicipta khas untuk baginda begitu menarik.

"Saya harap pihak muzium dapat menarik lebih ramai pengunjung terutama pelajar-pelajar sekolah untuk melihat sendiri koleksi yang dipamerkan," jelasnya.

Heret terus ke mahkamah

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

SHAHIRUDDIN Ab. Moin (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peniaga sayur ketika mengadakan Ops Harga 2 di Pasar Besar Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 20 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang tidak lagi memberi notis dan kompaun kepada peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebaliknya terus mendakwa mereka di mahkamah.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan peniaga yang melanggar peraturan di bawah akta ini.

"Dalam Ops Harga 2 yang diadakan mulai hari ini kesemua peniaga yang didapati melanggar peraturan, kita akan heret mereka ke mahkamah, tiada lagi kompaun yang akan dikenakan.

"Kita tidak mahu pengguna teraniaya apabila terpaksa membeli barangan dengan harga terlampau tinggi. Ini adalah hasrat kita untuk melihat semua pihak mendapat manfaatnya," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Ops Harga 2 di Pasar Besar Kuantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PPDNKK negeri, A. Aruwan Abdul Aziz dan timbalannya, Abdul Kadir Aljailani Mohd. Sharriff.

Menurut beliau, antara kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah adalah seperti menaikkan harga barangan, tiada tanda harga dan alat penimbang tidak menepati syarat ditetapkan.

"Kita akan laksanakan Ops Harga 2 ini sepanjang masa dan mungkin setiap hari. Kita juga akan letakkan penguat kuasa PPDNKK berpakaian biasa di tempat-tempat tertentu," katanya.

Selain itu kata beliau, pihaknya melantik seorang Pembantu Hal Ehwal Pengguna di setiap daerah bagi memantau harga di kawasan mereka.

Sementara itu dalam operasi ini, sebanyak dua peniaga diberikan notis tunjuk sebab kerana menjual cili merah dan bendi pada harga yang melebihi pasaran.

"Salah seorang peniaga itu telah menjual cili merah dengan harga RM18 sekilogram berbanding dengan harga pasaran RM14 sekilogram.

"Seorang lagi menjual bendi dengan harga RM8 sekilogram dan harga sepatutnya adalah RM6 sekilogram. Kita telah beri notis supaya memberikan sebab kenapa naikkan harga dalam masa tujuh hari," katanya.

Dalam pada itu katanya, pengguna juga boleh melaporkan kepada pihaknya jika ada sebarang maklumat mengenai kenaikan harga barang dengan menghantarnya ke e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghubungi talian hotline 1800-886-800.

148 keluarga terlibat banjir terima bantuan KP1M

Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST

KHAIRUDDIN Mahmud (tengah) menyampaikan bantuan banjir kepada sebahagian keluarga di Taman Impian Perdana dan Taman Desa Bestari, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 20 Jan. - Sebanyak 148 keluarga di Taman Impian Perdana dan Taman Desa Bestari di sini yang terlibat dalam kejadian banjir awal bulan lalu menerima bantuan barangan keperluan sumbangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di sini kelmarin.

Majlis penyampaian bantuan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Menurut Khairuddin, antara bantuan yang diberikan kepada mangsa terbabit adalah tilam, bantal, minyak masak dan dapur.

"Bantuan tersebut diagihkan kepada penduduk terlibat bagi meringankan beban mereka berikutan hampir keseluruhan peralatan mereka rosak akibat bencana itu.

"Memandangkan tilam dan bantal rosak akibat banjir, sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka.

"Apa yang penting adalah kita mahu memastikan semua rakyat yang terjejas akibat banjir menerima bantuan berkenaan tanpa mengira fahaman politik," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman tersebut, Mohd. Radhillah Abdul Rahman berkata, banjir yang berlaku itu menyebabkan hampir kesemua kawasan taman tersebut ditenggelami air.

"Terima kasih kepada KP1M kerana memberikan sumbangan ini yang sangat membantu penduduk di sini yang terjejas akibat bencana tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved