Isnin, 6 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jalan mendap semakin serius

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Tanah runtuh di laluan utama Pekan Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, perlu dibaiki segera bagi mengelak kemalangan kepada pengguna lalu lintas.

MARAN 6 Jan. - Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diminta segera membaiki keadaan jalan di pekan Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini yang rosak dan mendap akibat kejadian tanah runtuh bulan lalu.

Lebih meresahkan orang ramai apabila mendapan tanah di bahagian kiri jalan tersebut semakin serius dan membesar sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut hari ini mendapati, mendapan jalan akibat banjir itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa sebelum merebak ke kanan jalan.

Ketua Kampung Felda Kampung Awah, Asri Mat Dahan berkata, pengguna perlu berhati-hati ketika melalui lokasi itu kerana laluan kanan sudah semakin mendap dan boleh mengundang bahaya jika tidak berwaspada.

"Berdasarkan rekod, laluan sebelah kanan itu pernah runtuh suatu ketika dahulu dan telah dibaiki manakala runtuhan sebelah kiri kali pertama berlaku.

"Kami memuji keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail yang melawat lokasi berkenaan dan meminta JKR segera membaiki kawasan itu," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Asri, laluan pekan Kampung Awah-Bandar Tun Abdul Razak Jengka dianggap nadi ekonomi di situ kerana menjadi laluan penduduk menjual hasil getah dan kelapa sawit di samping laluan kakitangan kerajaan ke tempat kerja di sekitar Jengka.

Tambahnya, kos untuk membaiki kawasan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 yang memerlukan beberapa prosedur mungkin antara faktor kelambatan untuk mengatasi masalah itu.

Mangsa banjir Cheka Satu terima bantuan

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

KUALA LIPIS 6 Jan. - Sebanyak 18 mangsa banjir di Mukim Cheka Satu, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka menerima bantuan barangan bernilai RM11,000 yang diselenggarakan oleh pasukan sukarelawan UMNO Bahagian Lipis di Kampung Lentang dekat sini semalam.

Penyampaian bantuan barang keperluan iaitu tilam, bantal dan dapur gas masing-masing bernilai RM600 kepada setiap ketua keluarga mangsa berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Mangsa banjir yang menerima bantuan berkenaan terdiri daripada penduduk Kampung Lentang, Kampung Samak Jani, Kampung Tanjong Bungor dan Kampung Pasu.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Mohd. Farid Mohd. Noor dan Ketua Puteri UMNO Lipis, Wan Normarina Wan Kamarudzaman.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Rahman berkata, sumbangan berkenaan adalah daripada Kelab Putera 1Malaysia untuk diagihkan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Mukim Cheka Satu ketika musibah banjir bulan lalu.

"Sukarelawan UMNO Lipis menyelenggarakan misi bantuan ini berasaskan keprihatinan dengan melestarikan tanggungjawab untuk memastikan keluarga berkenaan menerima bantuan ini bagi memulakan kehidupan dengan lebih selesa.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa setelah rumah mereka ditenggelami banjir yang menyaksikan banyak perabot dan peralatan persekolahan rosak," katanya.

Menurut Abdul Rahman, UMNO Lipis pada masa sama turut menyumbangkan wang tunai kepada mangsa untuk berbelanja menyediakan keperluan harian termasuk peralatan untuk sesi persekolahan tahun baharu 2014.

"Mangsa yang kembali ke kediaman terus dipantau oleh ketua kampung masing-masing mengenai kebajikan termasuk keselamatan mereka yang dikhuatiri akan berlaku gelombang kedua musibah berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Wan Normarina berkata, sebanyak 20 ahli Puteri UMNO Lipis telah 'berkampung' bersama-sama mangsa banjir di pusat pemindahan kampung berkenaan untuk membantu menyediakan makanan dan menyelenggarakan aspek kebajikan lain.

Tambahnya, Puteri dan Pemuda UMNO bersama-sama pemimpin setempat turut turun padang mengagihkan bantuan Kelab Putera 1Malaysia di samping sumbangan lain semasa dan selepas musibah banjir.

Angkasa serah RM46,772 kepada balu kakitangan

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

JERANTUT 6 Jan. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyumbangkan wang insurans bernilai RM46,772 kepada balu seorang kakitangan agensi berkenaan, Norhaslin Mat Saidin, 35, di Felda Padang Piol dekat sini semalam.

Norhaslin menerima cek insurans suaminya, Mazdi Mat Daud, 34, yang meninggal dunia pada 3 Februari tahun lalu akibat komplikasi tekanan darah rendah.

Majlis penyerahan cek berkenaan disempurnakan oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah di kediaman Norhaslin yang turut dihadiri bapa Allahyarham, Mat Daud Awang, 55.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Fattah berkata, Allahyarham Mazdi yang bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pemulihan dan Pemerkasaan agensi berkenaan menerima cek Skim Insurans Kelompok Angkasa di bawah pengurusan HSBC Amanah Takaful.

"Kita mengenang jasa perkhidmatan arwah di agensi ini dan segera turun padang untuk menyerahkan wang pampasan insurans kelompok untuk mengisi kebajikan isteri dan dua orang anaknya," katanya.

Menurut Abdul Fattah, wang berkenaan sewajarnya digunakan oleh balu Mazdi dan ahli keluarganya untuk membesarkan anak, membiayai pendidikan dan segala keperluan kebajikan termasuk menabung untuk waktu kecemasan.

Sementara itu, Norhaslin yang juga seorang guru berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Angkasa kerana menyumbangkan wang insurans berkenaan untuk menampung pendapatan bulanan bagi menguruskan kehidupan keluarga pada masa akan datang.

"Saya sifatkan suami saya (Mazdi) seorang yang cukup penyayang dan bertanggungjawab. Kami juga reda dengan pemergiannya kerana itu ketentuan Allah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved