Isnin, 6 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pusat penjaja lebih baik, selesa

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Ayob Rahmat (dua dari kanan) meninjau kawasan baharu di hadapan Kolej Komuniti Segamat yang akan menempatkan 25 penjaja makanan di sekitar Bandar Putra, Segamat, Johor, semalam.

SEGAMAT 5 Jan. - Seramai 25 penjaja di sekitar Bandar Putra di sini yang menjalankan peniagaan mereka secara tidak tersusun akan dipindahkan di kawasan berhampiran Kolej Komuniti tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayob Rahmat berkata, tapak dan kos membersih serta menurap kawasan tersebut sebanyak RM450,000 dibiayai oleh Kementerian Pendidikan dan peniaga dijangka boleh mula menggunakan kawasan itu mulai Mac ini.

"Para peniaga seharusnya faham tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan sebaliknya memudahkan mereka menjalankan perniagaan di kawasan yang lebih sempurna dan teratur.

"Selama ini mereka menjalankan perniagaan di tapak yang akan dibangunkan dan daripada 25 peniaga, hanya empat orang mempunyai lesen, manakala selebihnya tidak memilikinya," katanya semasa meninjau tapak perniagaan itu di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang enggan berpindah kerana selama ini pihak berkuasa telah memberi peluang dan masa yang lama serta bertolak ansur walaupun mereka berniaga tanpa lesen.

Menurutnya, pada peringkat awal, peniaga hanya dibenarkan menjalankan perniagaan berkereta sorong dan tidak dibenarkan mendirikan bangunan kekal kerana pihak berkuasa bercadang untuk membina bangunan tetap pada masa akan datang sebaik permohonan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan sebanyak RM1.5 juta diperoleh.

"Mungkin dalam kalangan mereka berasa kurang selesa dengan suasana dan kawasan baharu pada peringkat awal, namun saya percaya perkara itu bersifat sementara dan dapat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat.

"Saya fikir mereka tidak akan kehilangan pelanggan walaupun berpindah ke lokasi baharu kerana tapak ini terletak tidak jauh dari tempat lama. Malah, suasana di tempat baharu lebih selesa," katanya.

Kampung Tembioh bakal jadi medan ikan bakar

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

KOTA TINGGI 5 Jan. - Kampung Tembioh iaitu perkampungan tradisional Melayu di pinggir bandar di sini bakal dimajukan sebagai pusat tumpuan ekonomi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman berkata, perkampungan yang kini didiami kira-kira 20 keluarga itu perlu 'keluar' daripada stigma banjir yang sering melanda kawasan tersebut.

Menurutnya, perkampungan tersebut perlu dibangunkan kerana mempunyai potensi sebagai medan ikan bakar seperti di Muar.

"Saya juga telah berbincang dengan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan wakil rakyat untuk mencari peruntukan atau cara pembiayaan mahupun menerusi penswastaan bagi menjadikan perancangan ini sebagai realiti," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Amal Al-Insan Kota Tinggi, Mohd. Zain Arif.

Noorazam berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina jambatan gantung bagi menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan bandar.

Beliau berkata, dengan pembinaan jambatan gantung itu juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk terutamanya nelayan untuk meningkatkan ekonomi mereka.

"Kita juga mahu melaksanakan perkara sama di Kampung Makam agar selain menjadi tempat tumpuan sejarah, kawasan itu juga akan menjadi lokasi pembangunan ekonomi.

"Usaha tersebut bagaimanapun bukan dapat dilakukan dalam sekelip mata. Justeru, saya telah meminta pihak MDKT untuk membuat satu pelan bagi merealisasikan usaha itu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved