Isnin, 6 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Jalan berlubang, tidak rata

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

WALAUPUN telah diturap beberapa kali jalan raya masih rosak sehingga menyebabkan air bertakung.

KLANG 6 Jan. - Kualiti jalan raya di sekitar pekan Pelabuhan Klang di sini amat mengecewakan ekoran permukaan jalannya yang berlopak dan tidak rata sehingga membahayakan orang ramai.

Masalah itu berlaku disebabkan jalan tidak diturap dengan baik dan diburukkan lagi dengan ratusan kontena yang melalui jalan di sekitar pekan tersebut setiap hari.

Situasi itu berlaku memandangkan Pelabuhan Klang sememangnya terkenal sebagai pintu masuk kapal-kapal dagang selain merupakan kawasan perindustrian utama di negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Kem dan Persiaran Raja Muda Musa mendapati, keadaan jalan di kawasan itu berlubang dan beralun.

Jalan yang telah diturap beberapa kali itu juga didapati rosak semula tidak sampai beberapa bulan kemudian.

Sehubungan itu, kualiti turapan dan penyelengaraan jalan raya perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Masalah sama juga dilihat di laluan di bawah jejambat yang menghubungkan jalan ke Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan dekat sini.

Selain berdepan masalah jalan rosak, trafik di jejambat tersebut kerap kali sesak kerana beberapa laluan di persimpangan berkenaan ditutup sementara waktu.

Disebabkan penutupan tersebut, penunggang motosikal terpaksa melintas di atas pembahagi jalan raya yang boleh mengundang bahaya.

Keadaan tersebut juga memaksa para pemandu kenderaan membuat pusingan U di bawah jejambat untuk ke persimpangan menuju ke Persiaran Raja Muda Musa dan kawasan sekitarnya sebagai laluan alternatif.

Difahamkan penutupan tersebut adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja meroboh dan menaik taraf jejambat berkenaan.

Penduduk minta MPK baiki segera jalan rosak

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

KLANG 6 Jan. - Orang ramai di sekitar Pelabuhan Klang di sini meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) membaiki jalan-jalan yang rosak di sekitar kawasan tersebut dengan segera.

Mereka mendakwa, jalan yang telah diturap beberapa kali sebelum ini tidak bertahan lama kerana mudah pecah akibat dilalui kenderaan berat.

Pihak berkuasa juga digesa mengambil tindakan jangka panjang bagi memastikan perkara sama tidak berulang sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

Seorang pemandu teksi, Basaruddin Mohd. Akhar, 64, berkata, masalah tersebut telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

"Biasanya selepas tiga hari jalan diturap pihak kontraktor MPK, ia rosak semula akibat dilalui oleh kenderaan berat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang penduduk, V. Selvam, 50, berkata, pihak berkuasa perlu menurap keseluruhan jalan dan bukannya dengan menampal permukaan jalan raya yang berlopak sahaja.

"Jika jalan raya terbabit diselenggara dengan baik dan diturap sepenuhnya sudah tentu akan memberi keselesaan kepada pengguna," ujarnya.

Bagi Isa Yahya, 65, kesesakan jalan raya di pekan tersebut berlaku ekoran kerja-kerja menaik taraf jejambat.

"Kesesakan berlaku tidak kira waktu selain ada segelintir pengguna meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan," katanya.

Peniaga makanan, Salmah Awang, 55, menyifatkan penutupan laluan di persimpangan tersebut juga menjejaskan para pengguna jalan raya untuk memasuki kawasan tersebut.

"Mereka terpaksa berdepan kesesakan yang teruk setiap masa untuk membuat pusingan U yang agak jauh di bawah jejambat berkenaan. Saya juga berharap supaya kerja-kerja menaik taraf itu disiapkan dengan segera," katanya.

Bersihkan kawasan sekitar 10 minit seminggu mampu basmi aedes

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

SHAH ALAM 6 Jan. - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai mengambil tindakan proaktif untuk membersihkan kawasan persekitaran premis sekurang-kurangnya 10 minit seminggu.

Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, amalan tersebut mampu memastikan tiada bekas kosong yang boleh menakung air seperti kolah mandi, tayar, tin kosong dan pasu bunga yang berpotensi menjadi tempat pembaikan nyamuk aedes.

"Punca berlakunya pembiakan nyamuk aedes adalah kerana sikap masyarakat yang alpa dan tidak menjaga kebersihan serta tidak membuat pemeriksaan di tangki simpanan, kolah air, koridor dan talang di premis mereka.

"MBSA amat serius dalam menangani masalah nyamuk aedes dan berharap mendapat kerjasama daripada warga Shah Alam untuk memastikan bandar raya ini bebas daripada ancaman demam denggi," katanya di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya memaklumkan, Selangor mencatat jumlah tertinggi kes demam denggi iaitu 23,852 kes.

Shahrin memberitahu, pihaknya akan membuat pemeriksaan secara berkala di premis-premis termasuk kediaman, rumah kedai, restoran, kilang dan projek perumahan bagi memastikan demam denggi dapat dikawal.

"Sekiranya semasa pemeriksaan terdapat premis yang mempunyai bekas atau takungan air yang membiak nyamuk aedes, MBSA akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan kompaun.

"Langkah ini diambil bagi mendidik masyarakat agar peka dengan masalah tersebut. Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai yang mengalami tanda atau simptom demam denggi diminta membuat pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan dengan segera," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved