JANGAN berumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak adalah ungkapan paling sesuai ditujukan kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
Bukan satu urusan yang mudah untuk memperkasa rumah tangga yang dibina jika tidak punya kekuatan diri dan semangat untuk membahagiakan pasangan masing-masing.
Namun, dalam era masa kini, kebanyakan rumah tangga dibina berasaskan cinta semata-mata, tanpa kasih dan sayang, tanpa rasa saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Penghujungnya membawa kepada selisih faham kepada pasangan sehingga membawa keruntuhan rumah tangga.
Tidak mustahil di peringkat awal, kasih bersemi di penghujungnya, benci pula yang muncul. Itu yang sering terjadi seperti mana yang dilalui oleh Tina (bukan nama sebenar) yang didera mental dan fizikal oleh suaminya, Zami (bukan nama sebenar) akibat orang ketiga.
Hingga kini Tina masih lagi terumbang ambing menanggung derita, digantung tidak bertali dan diperlakukan seperti sampah oleh suami yang tidak bertanggungjawab.
Nafkah zahir dan batin entah di mana, anak-anak terabai dan dirinya kini dihalau keluar oleh suami kerana rumah itu atas nama suami.
Untuk mengetahui kisah lanjut, kita ikuti cerita Tina yang diluahkan kepada saya dalam pertemuan kami baru-baru ini.
Inilah kisahnya:
"Saya berusia lewat 30-an, berkahwin dalam usia yang agak muda. Suami seorang penjawat awam. Kami dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan yang masih bersekolah.
"Di peringkat awal, rumah tangga kami aman bahagia. Suami seorang yang bertanggungjawab dan prihatin dengan masa depan anak-anak dan saya.
"Awal tahun 2008, suami mula buat hal. Dia ada perempuan lain, seorang wanita pendatang yang dikenalinya di sebuah restoran tempat wanita itu bekerja.
"Sejak itu, hidupnya menjadi tidak terurus. Siang malam dia bertandang ke restoran tersebut untuk bertemu buah hati barunya itu, sementara di hujung minggu dia selalu menghabiskan masa dengan perempuan itu.
"Saya mendapat khabar tentang hubungan sulitnya dengan perempuan itu setelah diberitahu oleh seorang kenalan suami yang rapat dengan saya.
"Tidak cukup dengan itu, saya juga mengadakan intipan dan melihat sendiri kemesraan suami dengan perempuan itu. Hati mana yang tidak sakit dengan perbuatan suami, tetapi demi rumah tangga dan anak-anak, saya sabar.
"Walau usaha macam mana sekalipun saya lakukan untuk mengembalikan keharmonian dalam hubungan kami, akhirnya saya dapat khabar yang mereka telah bernikah.
"Untuk seketika, saya menjadi keliru dan sedih. Saya menangis mengenangkan apa yang dia buat kepada saya. Segala janjinya untuk bersusah senang dengan saya sepanjang hayat musnah dalam sekelip mata.
"Anak-anak selalu dimarahi tanpa sebab, saya dipukul dan dicaci sesuka hati kononnya tidak pandai melayan dia. Wang gajinya habis diberikan kepada perempuan itu tanpa satu sen pun diberi kepada saya dan anak-anak.
"Alasannya, sebab saya tidak taat kepadanya, melawan cakap dia dan tidak pandai mengurus rumah tangga.
"Setahun saya menderita, masuk tahun kedua saya mula memberontak. Saya keluar rumah kerana tidak tahan dipukul dan disepak terajang setiap hari. Saya juga mencari kerja untuk menyambung hidup saya dan anak-anak.
"Setelah mendapat tahu saya keluar rumah dan mencari kerja, dia datang ganggu saya di tempat kerja, maki hamun dan menyumpah saya kerana bekerja tanpa izinnya.
"Kerana tidak tahan didera mental dan fizikal, saya membawa diri ke Kuala Lumpur setelah mendapat kebenaran ibu bapa dan keluarga.
"Anak-anak saya tinggalkan bersama mak di kampung buat sementara kerana saya masih belum tahu hidup saya di sana bagaimana nanti.
"Walaupun keluarga cuba membantu tetapi saya tidak mahu membebankan mereka, cukup dengan apa yang telah saya lakukan selama ini. Keluarga cuba membantu tetapi saya tidak mahu kami pula menjadi beban kepada mereka.
"Akhirnya saya nekad lari ke Kuala Lumpur mencari kerja. Alhamdulillah saya dapat kerja sebagai guru sementara di sebuah pusat tuisyen. Majikan saya sangat baik orangnya. Dia juga memiliki sebuah pusat kecantikan di mana pada hujung minggu saya boleh bekerja di situ bagi menambah pendapatan.
"Entah dari mana suami dapat tahu, dia datang cari saya. Sekali lagi saya dihina dan dihamun. Malunya saya kepada orang ramai, Allah yang tahu. Tapi saya nekad untuk menyelesaikan masalah dengan suami.
"Dengan bantuan majikan, saya membuat laporan polis dan ke mahkamah syariah memfailkan kes. Saya ceritakan semua apa yang telah suami buat kepada saya dan anak-anak.
"Saya mohon untuk berpisah kerana tidak tahan lagi dengan perangai baran suami, lagipun dia sudah ada orang lain, tentu saya tidak akan dihargai lagi.
"Setelah mendapat tahu apa yang telah saya buat, kemarahannya semakin bertambah. Dia mengugut akan memukul dan meminta saya menarik balik laporan saya.
"Tetapi saya bertegas, tidak akan berpatah balik lagi. Keputusan saya muktamad demi masa depan saya dan anak-anak. Saya tidak lagi mahu diperbodohkan oleh suami yang tidak berhati perut dan tidak ada belas kasihan.
"Tidak cukup dengan mengganggu saya, suami mengganggu anak-anak saya pula. Dia ke sekolah berjumpa mereka dan memberitahu anak-anak, saya ibu yang tidak berguna dan jangan dengar cakap saya.
"Dia mengugut akan mengambil anak-anak daripada ibu saya di kampung jika saya terus dengan hajat untuk berpisah dengannya.
"Saya tidak kisah dengan apa yang suami hendak lakukan. Saya berpegang kepada kata-kata majikan saya, jika saya tidak mulakan langkah untuk merubah diri, saya sendiri yang akan susah sebab tidak ada orang yang akan membantu saya mengubah hidup saya.
"Kini dengan pendapatan yang mencecah RM1,500 sebulan, saya mampu hidup dan membesarkan anak-anak di kampung. Saya juga telah mendapatkan nasihat peguam dan menerima kaunseling daripada mereka yang pakar dalam hal ini untuk mencari kekuatan dan semangat.
"Alhamdulillah sekarang saya sudah dapat kekuatan dan saya akan berusaha untuk membebaskan diri saya mengikut lunas undang-undang. Saya akan bangkit menuntut hak saya agar saya tidak lagi diperlakukan sesuka hati oleh lelaki yang tidak layak dipanggil suami.
"Biarlah dia bahagia dengan isteri barunya. Saya nak tengok sejauh mana dia boleh bahagia dengan isteri barunya itu jika itulah perangainya.
"Anak-anak, sepakat mahu mengikut saya. Saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak-anak walaupun mereka sudah besar dan faham apa yang berlaku kepada saya dan bapa mereka.
"Syukur saya telah mendapat surat perintah mahkamah agar suami menjauhkan diri daripada saya. Saya pasti dia tidak akan berani berbuat sesuka hati setelah kes ini dibawa ke pihak berkuasa.
"Walaupun perjuangan saya mendapatkan hak masih panjang, saya berharap ia akan berjaya. Saya mahu menikmati hidup gembira seperti ibu-ibu lain bersama anak-anak walaupun tanpa suami.
"Suami bukanlah segala-galanya bagi saya. Tanpa suami juga saya boleh hidup seperti mana yang telah berlaku kepada saya tiga tahun kebelakangan ini.
"Saya mohon Allah murahkan rezeki saya, pelihara keselamatan saya dan anak-anak serta memberkati hidup saya di dunia dan akhirat. Saya tidak minta apa-apa daripada suami tetapi saya mahukan keadilan dan hak saya yang telah dia musnahkan.
"Doa saya semoga Allah makbulkan segala permintaan saya ini. Terima kasih saya kepada majikan yang memahami dan menyokong saya baik dalam waktu senang atau susah.
"Jika suami terbaca catatan ini, saya minta dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Ingatlah Allah memerhati dan melihat apa yang dia lakukan kepada amanah yang telah Allah kurniakan kepadanya," begitu syahdu Tina menutup ceritanya dengan suara sebak.
Saya terdiam beberapa minit mendengar cerita Tina. Begitu berat beban yang dia pikul selama tiga tahun ini.
Sudahlah didera fizikal dan mental, Tina juga diugut oleh suami untuk tidak membuat laporan tentang perlakuannya kepada pihak berkuasa.
Tahniah dan syabas Tina kerana anda telah membuat keputusan wajar dalam mencari keadilan terhadap hak anda sebagai isteri. Inilah tindakan yang harus dilakukan oleh setiap wanita apabila berdepan dengan masalah suami tidak bertanggungjawab seperti ini.
Mudah-mudahan kes ini selesai dengan baik dan Tina boleh meneruskan hidup dalam keadaan selamat dan tenang.
Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, mendirikan rumah tangga bukan satu perkara mudah tetapi memerlukan komitmen dan rasa tanggungjawab yang cukup besar.
Menjadi lumrah, manusia mudah lupa pada janji, pada kesetiaan dan pada tanggungjawab khususnya pasangan suami isteri.
Apa pun semuanya adalah ketentuan Allah. Saya berdoa agar Tina akan diberi petunjuk dan hidayah untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri dan masa depannya.
Mengundur diri, jika anda ada cerita yang ingin dikongsi bersama pembaca sila e-mel kepada saya untuk siaran.
Saya akhiri catatan minggu ini dengan pesanan, "cinta dan kata-kata manis daripada seorang teruna kepada seorang gadis di alam percintaan tidak sama dengan ikrar dan akad yang dilafaz kala sah bergelar suami isteri. Ia satu amanah yang perlu dipikul sehingga ke akhir hayat dengan rasa insaf dan penuh tanggungjawab atas persetujuan berkongsi satu kehidupan".
Salam