Ahad, 1 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kesedaran kitar semula masih rendah

Posted: 30 Nov 2013 10:03 AM PST

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Badrul Hisham Hashim (kanan) diberi penerangan mengenai lori yang digunakan untuk mengangkat sisa buanga bagi dikitar semula semasa program kitar semula anjuran Enviroment Idaman di Tesco Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 30 Nov. - Kesedaran rakyat negeri ini terhadap budaya kitar semula barangan seperti plastik, tin aluminium, kertas dan kaca masih berada di tahap rendah.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, mengikut kajian yang dijalankan Enviroment Idaman (Envi) hanya 25 peratus daripada dua juta rakyat negeri ini yang mengitar semula barangan yang digunakan mereka.

Katanya, jumlah itu terlalu rendah jika dibandingkan dengan penduduk di negeri ini dan kerajaan menyasar meningkatkan kadar kitar semula sehingga 50 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

"Pelbagai program telah diambil kerajaan dan Envi sendiri mengatur pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk mengitar semula barang-barang.

"Kita bermula dengan melancarkan Kempen Kebersihan Kedah (3K) di Taman Wira Mergong pada 16 September lalu dan kempen-kempen sebegini kemudiannya akan diteruskan sepanjang masa," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program kitar semula di Tesco Mergong, di sini hari ini.

Menurut Badrul Hisham, untuk membudayakan serta meningkatkan lagi amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat negeri ini, Envi dan Tesco Mergong mengorak langkah menganjurkan program yang menyasarkan pelanggan-pelanggan Tesco bagi mengurangkan jumlah sisa untuk dilupuskan di tapak pelupusan.

"Pelanggan Tesco kini berpeluang menyertai permainan yang dicipta Envi dengan menukarkan barangan kitar semula kepada pasukan kitar semula Envi yang akan membelinya dengan harga yang menarik.

"Orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti televisyen LCD, telefon pintar, hamper dan baucar Tesco dengan menyumbangkan barangan kitar semula yang terbanyak," jelasnya.

Tambahnya, antara barangan yang diterima adalah kertas, botol plastik, tin aluminium, kotak minuman, sisa elektronik dan barangan itu perlu berada dalam keadaan bersih.

"Usaha ini dijangka dapat mengumpul sekurang-kurangnya satu tan barangan kitar semula setiap hari program dijalankan dengan sasaran 2,000 pengunjung," ujarnya.

Jelas beliau, program kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan Envi itu akan diadakan setiap Jumaat dan Sabtu bertempat di tempat letak kereta bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Penggiat seni antara penerima ijazah di UUM

Posted: 30 Nov 2013 10:03 AM PST

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bergambar bersama Ahli Perarakan Besar UUM ketika Majlis Konvokesyen Ke-26 UUM di Dewan Mu'adzam Shah UUM, Sintok, Kedah, semalam.

KUBANG PASU 30 Nov. - Seramai 12 penggiat seni antara 7,445 graduan menerima ijazah pada Konvokesyen Ke-26 Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula hari ini hingga Selasa ini.

Kesemua mereka yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) itu ialah Zehra Zamri (penyanyi), Syamsul Hirdi Muhid (penyanyi), Rozaidi Abdul Jamil (pelakon) dan Emelda Rosmila Abd. Hamid (pelakon).

Lapan yang lain, Raizan Zainal Abidin, Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, Nor Shazana Abd. Talib, Mohamad Suffian Amrin, Mohamad Naim Hashim, Nor Zamshuri Ramli, Nursheila Abdullah dan Muhamad Hidhir Hamin.

Turut menerima ijazah ialah bekas personaliti televisyen, Yusanani Yushak.

Yusanani yang memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja berkata, kejayaan itu merupakan satu kenangan yang paling manis dalam hidupnya.

"Saya bersyukur kerana berjaya memperoleh anugerah ini selepas menghadapi banyak cabaran sepanjang 13 semester melanjutkan pengajian di UUM ini.

"Saya tak sangka akan diberi satu pengiktirafan tinggi sebegini dan bukan mudah untuk para pelajar mendapatkannya kerana terdapat banyak proses perlu dilalui selain mengekalkan CGPA," katanya ketika ditemui di UUM di sini.

Menurutnya, proses pembelajaran merupakan satu maraton yang panjang dan proses itu tidak akan terhenti selepas beliau berjaya memperoleh ijazah berkenaan.

"Saya akan terus belajar kerana bidang pengajian tiada titik noktahnya, saya akan meneruskan semula maraton di UUM dengan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana pula.

"Nasib saya cukup baik kerana pengalaman bekerja sebagai seorang wartawan banyak membantu saya dalam menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar," katanya.

Dalam pada itu, pemberita sambilan Utusan Malaysia, Norlia Ramli juga menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Dengan Kepujian dalam sesi kedua majlis konvokesyen berkenaan.

Masyarakat perlu faham misi, visi PDRM

Posted: 30 Nov 2013 10:03 AM PST

NIBONG TEBAL 30 Nov. - Anggota masyarakat harus memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, jika tidak, anggota masyarakat akan mudah terpengaruh dengan tanggapan negatif dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan pasukan keselamatan itu.

Katanya, ini termasuk percaya dengan label tertentu yang boleh mencalarkan imej PDRM.

"Anggota masyarakat perlu faham apa visi dan misi PDRM agar mereka tahu betapa beratnya amanah diberikan kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara.

"Saya yakin sekiranya mereka faham dua perkara itu, mereka bukan sahaja menyanjung pasukan polis, tetapi bersama- sama membantu memerangi jenayah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri aktiviti gotong-royong program Polis Bersama Masyarakat di Masjid Jamek Al-Huda Sungai Bakau di sini semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved