Ahad, 1 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kematian 3 beradik: Polis kesan teman lelaki remaja

Posted: 01 Dec 2013 08:19 PM PST

Oleh SAHBULAH DARWI

MUKHRIZ Tun Mahathir mengucapkan takziah kepada ayah mangsa kematian tiga beradik, Rosdi Rani (tiga kiri) dan ibu mangsa, Siti Aisyah Ariffin (dua kiri ) semasa melawat keluarga mangsa di kediaman mereka di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar malam tadi. - UTUSAN

ALOR SETAR 2 Dis. - Polis sedang mengesan teman lelaki kepada Allahyarham Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, bagi membantu siasatan kes pembunuhan remaja itu bersama dua adiknya yang berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lelaki tersebut berusia belasan tahun dan kini dipercayai berada di Perlis.

"Kita akan siasat teman lelaki (mangsa) dan kita akan dapatkan maklumat tentang lelaki itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan Spanco kepada ketua-ketua polis daerah dari seluruh negeri di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kedah di sini hari ini.

Mayat tiga beradik itu iaitu, Nor Syafikah Nadia ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di sini pukul 3.45 petang, Sabtu lalu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih menyayat hati, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang semalam di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar di sini iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Walaupun mereka ditemui lemas, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh.

Ahmad berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil menyalurkannya di balai-balai polis berdekatan.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika melawat keluarga mangsa malam tadi yakin polis akan bertindak pantas dan menyelesaikan kes tersebut.

Mukhriz berkata, penjenayah yang melakukan perbuatan tersebut perlu segera diberkas dan dikenakan hukuman setimpal.

"Berita tersebut sangat mengejutkan serta menyayat hati, kerajaan negeri Kedah berkongsi kemarahan dan kesedihan yang dihadapi oleh ahli keluarga tiga beradik ini.

"Kalau saya dalam keadaan mereka sudah tentu saya juga susah mahu kawal perasaan dan saya yakin pihak polis akan bertindak pantas dan mampu menyelesaikan kes ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

Siti Aishah setuju pulang - Kakak

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Kamar Mahtum Abdul Wahab (dua dari kanan) disambut keluarganya sejurus tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD NOR

SEPANG 1 Dis. - Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang didakwa dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri di London, berjanji akan pulang ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani tempoh penahanan selama sembilan bulan.

Kakaknya, Kamar Mahtum, 73, berkata, Siti Aishah ketika ini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kematian Sian Davies pada 1997 yang dipercayai menjadi hamba kepada pasangan suami isteri, Aravindan Balakrishnan, 73, dan Chanda Pattni, 67, di Lambeth, London sejak 30 tahun lalu.

Siti Aishah bersetuju untuk pulang selepas dipujuk Kamar Mahtum dalam satu pertemuan di lokasi rahsia di negara itu yang dikawal ketat bagi mengelak sebarang maklumat bocor sehingga boleh mengganggu siasatan.

Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah mulanya enggan pulang ke tanah air kerana mendakwa banyak urusan yang perlu diselesaikan di London terutamanya kerja kemasyarakatan.

"Setelah dipujuk dan menyatakan keluarga di Malaysia begitu rindukan dia, akhirnya Siti Aishah akur dan bersetuju pulang, namun perlu menunggu sehingga siasatan selesai yang memakan masa sembilan bulan.

"Saya gembira selepas Siti Aishah berjanji untuk pulang, kami sekeluarga amat merinduinya selepas hampir 40 tahun berpisah. Dia ada menulis satu nota ringkas kepada keluarga di Malaysia, namun saya tidak dapat kongsi kandungannya kerana terlalu peribadi.

"Dia juga sihat fizikal dan lebih gemuk daripada saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 7.30 pagi ini.

Siti Aishah merupakan salah seorang daripada tiga individu yang diselamatkan polis Britain pada 22 November lalu kerana dipercayai dijadikan hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan ibu negara itu.

Aravindan dan Chanda yang memimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis pada 1970-an dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Kamar Mahtum mendakwa sepanjang pertemuan itu, Siti Aishah begitu gembira dan menyatakan menerima layanan baik daripada rakan-rakan sekali gus menafikan dia dijadikan hamba sepanjang berada di London.

"Siti Aishah tidak sedikit pun menunjukkan situasi dia menghadapi sebarang masalah, apabila saya bertanya situasinya sekarang, dia beritahu tidak menjadi hamba kepada mana-mana pihak dan gembira berada di London bersama rakan-rakannya.

"Saya ada bertanya mengenai pekerjaannya, namun dia tidak menyatakan lebih lanjut tentang perkara tersebut dan hanya memberitahu dia melakukan kerja kemasyarakatan kerana masyarakat di London mahukan pertolongan dia," katanya.

Mengulas mengenai pegangan agama adiknya ketika ini, Kamar Mahtum berkata, perkara tersebut telah ditanyakan kepada kepada Siti Aishah semasa sesi pertemuan yang dilakukan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini, memang saya ada bertanya, namun tiada jawapan, perkara ini biarlah antara dia dan Allah," katanya.

Dalam pada itu, Kamar Mahtum meminta pihak media terutamanya di negara ini menyiarkan perkembangan sahih mengenai situasi adiknya di London.

"Ada sesetengah media melaporkan berita yang tidak tepat, perkara ini mengeruhkan lagi keadaan. Kami berharap segalanya diselesaikan dengan segera bagi membolehkan Siti Aishah pulang ke kampung halaman secepat mungkin," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved