Ahad, 1 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tindakan baca khutbah sendiri

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

MARAN 1 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan mengambil tindakan tegas terhadap khatib di negeri ini jika membaca teks khutbah sendiri atau pihak berkepentingan bagi mengelak mimbar disalahgunakan untuk tujuan tertentu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Muip proaktif menyelaraskan khutbah Jumaat di setiap masjid bagi memastikan syiar Islam terus berkembang dan masyarakat menerima maklumat tepat daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, usaha itu dibuat bagi memastikan maklumat pembangunan dan perkembangan Islam disampaikan secara tepat tanpa diselewengkan bagi tujuan tertentu.

"Bagaimanapun jawatankuasa masjid dibenarkan merangka teks khutbah mengikut tema tertentu tetapi perlu mematuhi prosedur seperti mendapatkan kebenaran daripada jabatan agama Islam daerah dengan menunjukkan rangka khutbah yang hendak dibacakan.

"Muip tidak menggalakkan masjid menulis dan membaca khutbah sendiri kerana bimbang ada maklumat tidak tepat sehingga boleh merosakkan perpaduan umat Islam" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Peningkatan Profesionalisme Bilal dan Siak masjid kariah peringkat negeri dan penyampaian sagu hati untuk pegawai masjid di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Roslan Harun.

Wan Abdul Wahid berkata, ada kalangan petugas masjid yang ingin menyediakan khutbah sendiri seperti sambutan Hari Guru, Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Pekerja dan sebagainya bagi mengenangkan jasa mereka.

Katanya, usaha itu memang baik tetapi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada JAIP supaya maklumat berkenaan seimbang dan menepati kehendak masyarakat.

Menurutnya, usaha menyelaraskan teks khutbah adalah wajar dan sesuai dengan perkembangan masyarakat masa kini yang inginkan maklumat tepat dan mutakhir.

Mengenai segelintir ahli politik yang meminta kebenaran membaca khutbah Jumaat, beliau berkata, pihaknya mengharapkan imam yang dilantik boleh menjalankan tugas mereka.

"Ahli politik boleh berperanan sebagai jentera membangunkan negara dan tugas membaca khutbah diserahkan kepada pegawai masjid yang sudah dipertanggungjawabkan," ujarnya.

Masyarakat luar bandar perlu kreatif

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

MUHYIDDIN Yassin (lima, kiri) menyampaikan Anugerah Ilham Desa kepada wakil dari Kampung Peruas yang dipilih sebagai juara sempena Pertandingan Anugerah Ilham Desa di Kampung Gali Tengah di Raub, kelmarin. Turut hadir, Mohd. Shafie Apdal (lima, kanan), Adnan Yaakob (empat, kiri).

RAUB 1 Dis. - Masyarakat luar bandar perlu lebih kreatif serta inovatif dalam menghasilkan produk berkualiti serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan kepada mereka menceburi bidang berkenaan seperti bantuan pembiayaan perniagaan, ruang niaga dan kursus intensif kepada usahawan desa.

"Penghasilan produk berkualiti daripada masyarakat desa memberi impak kepada kerajaan dalam usaha merealisasikan impian negara berpendapatan tinggi.

"Inovasi dan kreativiti dalam penghasilan produk makanan, pertanian dan perusahaan berjaya meningkatkan sumber pendapatan kepada penduduk luar bandar," katanya ketika berucap dalam pertandingan Anugerah Ilham Desa peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menurut Adnan, masyarakat luar bandar juga digalakkan mencipta pelbagai produk khusus untuk memenuhi pasaran semasa.

"Mereka perlu berfikir dengan kreatif untuk menghasilkan produk yang dapat memenuhi permintaan semasa.

"Gunakan segala kemudahan yang disediakan kerajaan seperti pinjaman dalam usaha untuk menghasilkan produk berkualiti," ujarnya.

Konvoi KSDP perlu diadakan setiap tahun

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

TUNKU Hassan Mohammed Archibald (dua, kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis menandatangani Watikah Taat Setia bagi daerah Bera sempena konvoi Kembara Setia Diraja Pahang (KSDP) sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Sultan Ahmad Shah di Bera, semalam. Turut hadir, Norul Azali Sulaiman (tengah berbaju batik).

BERA 1 Dis. - Konvoi Kembara Setia Diraja Pahang (KSDP) yang melibatkan penyertaan kira-kira 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi perlu diadakan setiap tahun berikutan sambutan menggalakkan diterima setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, beliau begitu kagum dengan penganjuran kembara tersebut yang mendapat sambutan daripada penduduk di setiap laluan dilalui oleh peserta.

"Saya berharap kembara ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dan berdasarkan sambutan hangat peserta dijangka menarik lebih ramai pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara.

"Konvoi ini agak berlainan kerana bukan sahaja dilihat dari segi pameran motosikal besar semata-mata tetapi adalah kepentingan menyatakan taat setia kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah," katanya ketika berucap dalam majlis Menandatangani Watikah Taat Setia KSDP Daerah Bera di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Penasihat Kehormat Johor Bikers, Tunku Hassan Mohammed Archibald, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman dan Pengarah KSDP, Halim Din.

Menurut beliau, institusi raja merupakan benteng pertahanan kepada kemakmuran negara dan perlu dipertahankan oleh semua rakyat.

"Justeru, dengan adanya program seperti ini dapat memberi kesedaran kepada golongan belia khususnya mengenai kepentingan institusi raja.

"Saya juga harapkan setiap peserta berhati-hati ketika mengikuti konvoi. Harap semua berjalan lancar dan Watikah Taat Setia dapat dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Ahmad Shah," katanya.

Dalam majlis itu, Norol Azali dan Mohd. Fadil mewakili penduduk daerah Bera menandatangani Watikah Taat Setia yang dibawa oleh konvoi KSDP di Hotel Zenith Kuantan pada malam esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved