Ahad, 1 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Annuar tak boleh terlibat

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Hamidin Mohd. Amin (kiri) dan Afandi Hamzah (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita selepas Majlis Taklimat Liga Malaysia Musim 2014 di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa Tan Sri Annuar Musa tidak boleh berada dalam Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara kerana statusnya yang masih dalam penggantungan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam selepas menerima surat balas daripada badan bola sepak Asia itu, baru-baru ini.

Menurut AFC, Timbalan Presiden FAM itu tidak boleh berada dalam jawatankuasa tersebut kerana masih dalam tempoh penggantungan dan ia hanya akan berakhir pada 4 Oktober tahun depan.

Dalam surat itu menjelaskan bahawa wakil FAM iaitu Annuar tidak boleh duduk dalam senarai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana beliau adalah pegawai FAM yang digantung.

"Namun, sebaik sahaja penggantungannya tamat, beliau boleh menyertai jawatankuasa itu semula, kami tiada masalah tentang perkara tersebut," kata Hamidin dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Liga Malaysia Musim 2014 semalam.

Jelasnya, jika Annuar menarik diri, maka akan ada wakil FAM lain yang mengisi kekosongan jawatankuasa tersebut.

Namun, selepas penggantungannya selesai Ahli Parlimen Ketereh itu boleh kembali berada dalam jawatankuasa itu.

Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada menteri dan juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dengan menghantar surat secara rasmi pada Jumaat petang tempoh lalu.

Benda ini sangat berprofil tinggi dan ia perlu diselesaikan dengan cepat," katanya.

Melihat kembali kepada kronologi isu ini, pada 23 November lalu, Khairy menjelaskan bahawa pelantikan Annuar sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara tidak bercanggah dengan peraturan penggantungan yang dikenakan terhadap tokoh itu oleh FAM sebelum ini.

Khairy berkata, Annuar dilantik sebagai penasihat dan menjalankan tugas untuk memberi pandangan terhadap pelaksanaan yang diperlukan untuk program pembangunan bola sepak negara dan bukan melibatkan diri secara langsung dalam operasi sukan berkenaan.

Zolkples yang mewakili MSN selaku sekretariat jawatankuasa tersebut turut mengakui, pelantikan Annuar adalah sah selepas merujuk perkara itu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan

Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Annuar telah menyatakan kesediaannya untuk menarik diri sekiranya tindakan itu dapat memastikan FAM meneruskan penglibatan mereka dalam jawatankuasa tersebut.

Annuar menganggap kerajaan wajar menjadikan bola sepak sebagai agenda nasional dengan merangka pelan pembangunannya antara 30 hingga 50 tahun seperti Jepun.

Katanya, agenda berkenaan turut penting dalam proses pembinaan negara terutama sekarang, seperti mana sukan yang pernah dijadikan sebagai agenda negara Afrika Selatan oleh bekas pemimpinnya, Nelson Mandela selepas zaman aparteid.

FAM juga dalam masa yang sama menjelaskan bahawa mereka boleh digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya terdapat bukti campur tangan kerajaan dalam apa perkara sekali pun dan jika berlaku ia adalah penamat kepada bola sepak Malaysia.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan ketika merujuk kepada kuasa FIFA seperti yang terkandung di dalam Artikel 17 Statut FIFA.

Kelantan, Selangor boleh bernafas

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

SHAH ALAM - Kelantan dan Selangor akhirnya mendapat sedikit ruang untuk bernafas selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia memberi kelonggaran kepada mereka kerana terlibat dalam saingan Piala AFC buat musim kedua berturut-turut, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan persatuan, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, berikutan penglibatan kedua-dua pasukan tersebut di Piala AFC maka FAM bersedia untuk menyesuaikan jadual pertandingan tempatan kerana Kelantan dan Selangor boleh diibaratkan sebagai mewakili negara bertanding di peringkat Asia.

"Kita akan beri ruang untuk bertanding di Piala AFC tetapi tidak boleh sampai satu bulan tidak ada perlawanan, negara Asia Barat dan Asia Tenggara lain yang bertanding di saingan tersebut serta Liga Juara-Juara Asia juga menghadapi masalah yang sama," katanya dalam sidang media selepas Taklimat Liga Malaysia (Liga M) Musim 2014 semalam.

Jelasnya, setiap pasukan yang bertanding di Piala AFC harus menerima hakikat bahawa mereka akan berdepan lebihan perlawanan berbanding pasukan lain yang bertanding di Liga M tetapi dalam masa yang sama akan memberi ruang untuk pemain berehat sebaik mungkin.

"Kita tidak boleh beri ruang sewenang-wenangnya, FAM juga sama seperti badan bola sepak negara lain, tetapi saya rasa mungkin tidak ada masalah buat pemain kedua-dua pasukan memandangkan tahun depan juga tidak banyak tugas buat skuad kebangsaan," katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Ditanya adakah FAM tidak bercadang untuk memberi hadiah berbentuk wang tunai kepada pasukan yang muncul juara Piala FA dan Liga Super untuk mengurangkan beban kepada pasukan yang beraksi di Piala AFC, Afandi berkata, setiap pasukan hanya mendapat imbuhan hasil kutipan tiket sahaja.

"Memang pasukan yang beraksi di Piala AFC berhasrat untuk mara lebih jauh tetapi mereka sebenarnya sudah menerima insentif daripada FAM sebanyak RM20,000 untuk perlawanan di gelanggang sendiri, manakala jika beraksi di tempat lawan pula Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi wang tunai sebanyak AS$20,000 (RM64,000)," katanya.

Dalam pada itu FAM juga masih lagi berbincang dan akan memutuskan dalam masa terdekat sekurang-kurangnya sehingga 17 Disember ini tentang stadium yang bakal digunakan oleh pasukan yang berada di Lembah Klang berikutan penutupan beberapa stadium seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Shah Alam dan Stadium Bola Sepak Cheras.

"Selangor ada memohon untuk beraksi di sebelah petang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, tetapi kita banyak menerima tempahan untuk stadium berkenaan kalau tidak salah saya pasukan Felda United dan PKNS," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Ujarnya, perbincangan akan dilakukan bersama Afandi dan akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pada 17 Disember.

Stadium Bola Sepak Cheras ditutup selama dua tahun kerana menjalankan proses penambahbaikan begitu juga dengan Stadium Shah Alam yang hanya akan dibuka pada Mac depan manakala Stadium Nasional Bukit Jalil pula dijangka boleh digunakan pada April atau Mei depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved