Ahad, 1 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ubati segera ‘penyakit kalbu’

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

DALAM tempoh lima tahun menjadi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bersungguh-sungguh membangunkan negeri itu dan mensejahterakan rakyatnya. Walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengecewakan beliau, tetapi beliau tetap bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) masih mampu menguasai kerajaan negeri.

Dalam pertemuan sejam dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di kediaman rasmi Menteri Besar di Kuala Terengganu, Ahmad berkata, suatu ketika beliau tertanya-tanya apa lagi rakyat Terengganu inginkan selepas pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri. Beliau turut mengupas mengenai masalah dalaman UMNO Terengganu dan usaha bagi mempertingkatkan ekonomi negeri tersebut.

Utusan: Bagaimanakah kedudukan kerajaan negeri selepas PRU-13?

AHMAD: Alhamdulillah, BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri, walaupun kita menghadapi ujian paling getir pada kali ini memandangkan ia dikatakan ibu kepada segala pilihan raya. Kita berhadapan dengan pelbagai asakan pakatan pembangkang melalui fitnah, tohmahan dan persepsi dengan menggunakan media baru berkaitan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Keadaan itu menyebabkan ramai golongan muda terpengaruh, walaupun begitu saya bersyukur kepada Allah SWT kita mampu bertahan di Terengganu dalam keadaan gelombang begitu kuat.

Seperti mana kita tahu Terengganu meradalah salah satu negeri yang menunjukkan kekuatan UMNO dan Pas hampir seimbang. Dalam PRU13 lalu terdapat tiga faktor utama yang mendorong berlakunya kemerosotan sokongan rakyat kepada BN di negeri ini.

Pertamanya, faktor pengundi luar iaitu yang terdiri anak Terengganu yang berhijrah ke Lembah Klang untuk bekerja. Mereka ini banyak terpengaruh dengan media baru seperti Facebook dan Twitter, mereka tidak merasai apa yang dirasai di Terengganu.

Contohnya, ibu bapa mereka mendapat peluang pekerjaan dan merasai bantuan kerajaan negeri, tetapi anak mereka yang merantau mencari rezeki apabila pulang mengundi tidak kira semua itu. Sebaliknya mereka terpengaruh dengan slogan pembangkang, ini kalilah yang mahu mengubah kerajaan. Bagaimanapun kita bersyukur kerana sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi dalaman (yang berada di Terengganu) hatta pengundi muda masih memihak kepada kita.

Di Terengganu, kesemua kerusi DUN mempunyai sekitar 3,000 hingga 4,000 pengundi luar, keadaan itu menyebabkan kita kehilangan 15 kerusi. Faktor kedua sudah tentulah pengundi Cina, walaupun jumlah tidak ramai tetapi mereka boleh menjadi undi penentu. Contohnya di Parlimen Kuala Terengganu, kita peruntukan satu kerusi exco untuk masyarakat Cina, tetapi kita kalah di ketiga-tiga peti undi pengundi Cina. Maknanya, walaupun BN meletakkan calon Cina, mereka sendiri tidak mengundi calon daripada masyarakat itu.

Keadaan ini ditambah dengan faktor seterusnya iaitu isu dalaman. Kita perlu akui bahawa apabila berlaku perubahan bagi kerusi Menteri Besar, ada wakil rakyat BN yang tidak berpuas hati sehingga mereka meninggalkan kawasan yang diwakili bagi tempoh dua hingga tiga tahun. Apabila diadakan pilihan raya baru kita hendak memperbetulkan keadaan, tetapi sudah tentulah ia mendatangkan masalah kepada kita.

Adakah Datuk Seri bersetuju bahawa gelombang pengundi luar yang pulang pada ketika itu bertujuan untuk menumbangkan kerajaan negeri?

Saya bersetuju dengan pandangan itu jika kita mengkaji pendekatan yang mereka gunakan termasuklah dari segi slogan, poster dan sticker kenderaan masing-masing . Malah kita lihat sendiri bagaimana masyarakat Cina kalau dahulunya mereka keluar mengundi selepas waktu tengah hari tetapi kali ini pukul 7.30 pagi mereka sudah beratur di pusat-pusat mengundi.

Matlamat mereka ialah untuk mengubah kerajaan dan ini ditambah dengan kepulangan pengundi luar yang ternyata tidak mengundi kita. Ia juga membuktikan bahawa kajian sikap kita sama sekali tidak betul. Dulu kita buat andaian apabila ibu bapa itu orang UMNO, anaknya juga akan menyokong UMNO tetapi kali ini keadaan itu tidak berlaku. Malah ada antara mereka yang terdiri daripada pelajar universiti pulang untuk mempengaruhi ibu bapa masing-masing mengundi pakatan pembangkang dengan alasan, kalau parti itu menang mereka tidak perlu membayar kembali PTPTN.

Ketika soal perpaduan dalam kalangan pemimpin UMNO Terengganu dikatakan menjadi punca prestasi buruk BN, ia kemudiannya diteruskan pula dengan pemilihan dalam parti, apakah situasi menjadi bertambah parah sekarang?

Sesetengah bahagian nampak stabil tetapi ada sebahagian lagi ada masalah. Ini juga berpunca dari dulu, apabila selepas saya dilantik menjadi Menteri Besar yang mana kemudiannya ada pemilihan. Saya cuba nasihatkan kalau boleh jangan ada pertandingan tetapi ada orang yang minta bertanding, akhirnya seorang dua sahaja tidak bertanding. Hasilnya kesan daripada pertandingan yang berlaku adalah berpanjangan. Kita bukan seperti Amerika Syarikat, apabila calon Presiden bersedia menerima kekalahan dan memberi sokongan kepada calon yang menang.

Ini berkaitan dengan masalah hati, berilah nasihat dan pandangan macam mana pun. Depan dia terima tetapi di belakang kita lain pula sikapnya. Ini saya sifatkan sebagai penyakit kalbu susah untuk diubati. Mereka sepatutnya rasional memandangkan kita bertanding dalam semangat kekeluargaan, kalah menang perkara biasa, kalau kita berasa tidak boleh menerima kekalahan lebih baik jangan bertanding.

Bagaimana Datuk Seri melihat pakatan pembangkang dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang?

Sekarang pun kita lihat pakatan pembangkang sudah terlalu banyak masalah termasuk Pas. Dulu kita kata, Pas menjadi kuda tunggangan DAP dan mereka kata kita kuda tunggangan MCA tetapi cuba kaji apa nasib Pas dalam pakatan.

Pada 2008, mereka membantu DAP menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, Pas berharap akan dilantik sebagai exco , tetapi wakil parti itu tidak dilantik sehingga menimbulkan polemik. Pada 2013, apabila pakatan menang lagi di negeri itu, orang harap DAP akan berubah dengan memastikan Pas diletakkan pada tempat sepatutnya dalam exco tetapi mereka tidak dilantik juga. Pas diperkudakan oleh DAP di Pulai Pinang dan di negeri lain.

Di Selangor, selama ini DAP tiada peluang untuk menjadi wakil rakyat dan exco tetapi melalui kerjasama dengan Pas dan PKR akhirnya BN tumbang DAP dapat jadi exco. Pas menang 14 kerusi PKR menang 13 kerusi DAP pun 14 kerusi, kalaulah PKR jujur kenapakah parti itu tidak memberikan kerusi Menteri Besar kepada Pas? DAP pula menyokong PKR untuk jawatan itu sepatutnya mereka menyokong Pas. Jawatan exco-exco kanan pun dibolot oleh PKR dan DAP.

Dengan adanya perkembangan ini, saya yakin rakyat Terengganu akan kembali memberi sokongan yang lebih menyeluruh kepada kerajaan BN.

Dalam soal melaksanakan pembangunan apakah ini melibatkan kawasan BN sahaja?

Apa yang dilaksanakan berdasarkan akujanji kita kepada rakyat. Kita ada track record. Dalam tempoh 35 tahun pemerintahan BN sebelum ini, kita hanya dapat menyediakan lebih kurang 8,000 buah rumah tetapi dalam tempoh lima tahun saya menjadi Menteri Besar hampir 10,000 buah rumah dapat kita siapkan atau dalam pembinaan , kita juga memberikan tanah lebih 12,000 lot kepada rakyat untuk tapak rumah dan pertanian.

Dari segi pembangunan biarpun dulu, di bawah Datuk Seri Idris Jusoh ada dana khas, apabila saya ambil alih, saya masukkan dalam bajet, apa yang kita janjikan pertamanya, kita sudah jalankan. Tanah apabila kita bagi hak milik, ia melibatkan tempoh pajakan 60 tahun berbanding 30 tahun sebelum ini, keduanya kita janjikan setiap daerah kita bina satu imtiaz secara berperingkat, sekarang ini kita laksanakan di Kemaman, tahun depan kita hendak masukkan dalam bajet, kita buat pula di Setiu dan Marang, ini merupakan sekolah elit Terengganu yang pelajarnya boleh menghafaz al-Quran dan mencapai kejayaan baik dalam peperiksaan utama, cita-cita kita antara lain melahirkan doktor yang boleh hafaz al-Quran.

Dalam usaha untuk menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri maju, apa yang dilakukan dari segi pelaburan?

Kita menyediakan peruntukan untuk semua kawasan tetapi kita tidak boleh melaksanakan pembangunan tanpa melihat apa hasilnya. Sebab itulah kita tetapkan syarat dalam pemberian lesen bijih besi kepada pelabur, mereka mesti membina kilang.

Contohnya, kita bagi kawasan industri 1,200 ekar untuk tapak kilang dan 600 ekar kawasan bijih besi bagi sebuah syarikat. Kilang ini dijangka siap pada April atau Jun tahun depan. Ada 2,000 pekerja, insya-Allah kita akan luluskan pula satu lagi projek melibatkan syarikat Malaysia dan Hyundai dari Korea yang akan melabur RM6.6 bilion juga dengan lebih kurang 2,000 pekerja untuk kilang besi. Kita juga sedang berunding dengan sebuah syarikat dari China yang akan melabur AS$5 bilion dan akan melibatkan 5,000 pekerja dan dalam masa sama, kita akan tandatangani MoU atau letter of intent dengan sebuah syarikat dari China yang akan melabur AS$500 juta.

Bagaimana pula dari segi meningkat industri pelancongan?

Kita sudah sampai sasaran jumlah kedatangan pelancong iaitu 4 juta sejak Oktober lalu, tahun depan kita sasarkan jumlah kehadiran pelancong ialah 5 juta orang.

Justeru, kita akan melakukan promosi secara berterusan. Ini termasuklah membangunkan kawasan-kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir dan pulau-pulau.

Bagaimanapun kita harus akui, kita ada kelemahan dari segi pengangkutan, kita tidak ada kereta api. Bagaimanapun kita berharap apabila lebuh raya siap sepenuhnya jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur mungkin hanya akan mengambil masa empat jam sahaja.

Selain itu saya minta kepada Perdana Menteri supaya laluan kereta api laju yang peringkat awalnya dari Kuantan ke Kerteh dilanjutkan ke Dungun. Perdana Menteri sudah bersetuju. Kita juga berusaha menaik taraf jalan pantai dan saya jangkakan menjelang 2018, walaupun secara berperingkat akan dapat disiapkan laluan empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu.

Apakah pesanan kepada rakyat Terengganu dan pemimpin UMNO?

Kita perlu melihat kepada sejarah, semasa kita mencapai kemerdekaan kadar kemiskinan di Terengganu ialah 89.9 peratus, negeri yang paling terakhir yang orang lawati, tetapi sekarang kita sudah berubah.

Malah sejak lima tahun lalu pelbagai usaha kita lakukan di Terengganu sehinggakan di satu peringkat saya bertanya apa lagi kerajaan Terengganu tidak buat untuk kesejahteraan rakyat. Sebagai contoh dari segi perubatan, kita hendak pastikan rakyat Terengganu mendapat rawatan terbaik, ini termasuklah bagi sakit kronik, buah pinggang , sakit jantung dan sebagainya.

Di Hospital Terengganu kita tahu kita ketinggalan, sepatutnya kerajaan beri keutamaan kepada hospital kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang penduduknya majoritinya orang Melayu mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Pada masa ini kerajaan Terengganu membelanjakan RM80 juta bagi menyediakan peralatan mesin-mesin di Hospital Kuala Terengganu, ini memungkinkan ia menjadi satu daripada hospital yang mempunyai peralatan tercanggih. Kita belanja wang melalui peruntukan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Terengganu mendapat perkhidmatan perubatan terbaik.

Dalam bidang perubatan kini ada lebih 300 pelajar anak Terengganu di Rusia. Kita juga ada pelajar di Mesir, Jordan, Indonesia. Kita hantar 150 orang setahun untuk kuota kita untuk pelajar perubatan. Kalau mahu diambil kira, ini tugas kerajaan persekutuan dalam soal pendidikan, tetapi kalau hendak mengharapkan prosedur biasa berapa banyak sangat yang boleh masuk universiti memandangkan banyak yang layak.

Semua ini dilakukan kerana cita-cita saya ingin melihat sekurang-kurangnya satu ketika nanti ada hospital khususnya di Terengganu, pesakit lelaki dirawat doktor lelaki, pesakit perempuan dirawat oleh doktor perempuan. Ini fardu kifayah.

Kepada pemimpin UMNO, saya berharap kita bermuhasabahlah, masalah kita ialah hendak mahu kepuasan hati sendiri tanpa mengambil kira perasaan orang. Biarlah kalah asalkan aku puas hati" tidak bolehlah bersikap macam itu. Sepatutnya apa pun kita lakukan kita perlu berpegang kepada qada dan qadar tuhan seperti terpilih menjadi calon atau tidak, tetapi malangnya apabila tidak menjadi calon ada yang mengamuk, ini masalahnya.

Pas pun ada masalah dalam soal memilih calon pilihan raya tetapi istiqamah mereka kuat. Mereka pun bergaduh juga tetapi tidak akan mengambil tindakan yang boleh menyebabkan parti kalah seperti mana dilakukan oleh sesetengah orang UMNO. Oleh itu sikap tersebut perlu diubah demi masa depan parti, orang Melayu dan umat Islam.

Tak lagak 'gading baru'

Posted: 01 Dec 2013 10:05 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

TIADA pemimpin dahulu, tiada pemimpin sekarang. Sebab itulah sifat gemar memperlekeh atau memperkecil seseorang pemimpin yang digantikan itu sering berhadapan sengketa.

Perbaiki hubungan dan kemesraan. Pengerusi Perhubungan UMNO negeri atau Menteri Besar yang kini jangan tak mengendahkan pengerusi perhubungan atau MB yang digantikan. Seterusnya, peringkat-peringkat pimpinan lain termasuklah ketua-ketua bahagian, timbalan-timbalan ketua bahagian dan lain-lain.

Dahulu kala masyarakat Melayu berdepan dengan penjawat-penjawat awam seperti Wazir, Bendahara, Laksamana, Datuk Bandar dan sebagainya.

Para bijaksana dalam kalangan penglipur lara memantunkan:

Bila dijerat kambing di hulu

Pelanduk jangan dilepaskan

Bila dapat gading baru

Tanduk jangan dilupakan

Hakikatnya, takdir dan perjuangan kadangkala saling berperanan bagi seseorang. Seperti yang pernah disimpulkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn "Yes, I happen to be prime minister but I am not the best person for the job..." (Ya, saya secara kebetulan menjadi PM tapi saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengisi jawatan itu).

Kemunculan pemimpin bukan sekadar hasil usaha kemanusiaan. Ada unsur yang 'tak tampak' memainkan peranan. Namun, kita tetap berpegang teguh kepada falsafah - jangan dihiraukan sangat bagaimana dan kenapa seseorang itu berjaya dalam sesuatu perjuangannya. Ada yang berjaya, ada yang gagal.

Pokoknya, jangan berdendam dalam perjuangan, lantaran lumrah alam bahawa tiada yang kekal dalam politik. Kawan boleh jadi musuh, musuh pula boleh jadi kawan. Yang kekal adalah perjuangan, yakni perjuangan positif menolong rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

Sebagai ketua bahagian, ahli Majlis Tertinggi ataupun Naib Presiden UMNO yang dipilih ahli oleh akar umbi parti pada 19 Oktober lalu, seseorang itu sentiasa berdepan dengan rakyat.

Gerak-geri sentiasa diperhatikan rakyat. Ia berupa pemegang amanah kuasa untuk rakyat dan ahli parti akar umbi.

Kalau bengispun atau setidak-tidaknya kepenatan ketika berurusan dengan rakyat, zahirkan sahaja sifat tenang. Petua orang tua-tua ada merangkapkan.

Walaupun dalam limau purut

Keluarkan sahaja buah belimbing

Walau harimau di dalam perut

Luahkan sahaja sikap kambing

Bagi ketua-ketua bahagian dan semua peringkat kepimpinan sayap-sayap UMNO yang kini sedang menyusul hendak naik atau yang sedang naik jenjang kepimpinan harus sedar - perjuangan mesti berasas kepada niat murni dan bertapak untuk kesejahteraan rakyat.

Pernah seorang ahli Parlimen di Negeri Sembilan bercerita kepada penulis, dengan gaji bulanannya 1,750 ringgit serta elaun pelbagai 275 ringgit pada sekitar tahun 1974, beliau senang dengan perjuangan. Ini walaupun pendapatan sebagai peguam purata jauh melebihi amaun yang diterima dalam bentuk gaji bulanan sebagai Setiausaha Parlimen dan Ahli Parlimen, tetapi hal tersebut tidak dihiraukan sangat kerana panggilan khidmat begitu kuat dan mengatasi risauan yang lain.

Pokoknya, sebagai ketua bahagian parti dan ahli Parlimen, seseorang itu dapat membawa kebaikan, kemudahan serta isi perjuangan itu kepada rakyat yang diwakili di kawasan Parlimen dan bahagian masing-masing. Dan di sebalik perjuangan ada pemimpin, yakni pemimpin atasan dan pemimpin pertengahan serta pemimpin akar umbi.

Kita umat Melayu tak akan lupa pahit jerih dan cabaran UMNO membangunkan negara ini. Antaranya yang tidak luput dari ingatan bagaimana mulai 1974, parti Perikatan tidak lagi digunakan bagi tujuan pilihan raya. Pada tahun itulah, Barisan Nasional dimunculkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, susulan suasana politik muram cetusan malapetaka perkauman 13 Mei 1969. Walaupun tanggal 11 Mei tahun itu tidak dapat dirayakan oleh UMNO secara meluas, ada semacam obor baharu dalam perjuangan baik di peringkat bahagian mahupun di peringkat nasional.

Pengundi yang sudah berumur memang agak sukar untuk memahami apa itu Barisan Nasional yang berlambangkan neraca kerana mereka sudah sekian lamanya berjinak-jinak dengan lambang kapal layar Perikatan yang disekutu UMNO, MCA dan MIC. Mesej BN yang dibawa Tun Razak yang berlunaskan perpaduan, keamanan dan kemajuan dapat diterima rakyat tetapi hanya selepas sesi penerangan yang meluas dan rumit.

Perjuangan dalam parti politik kait-mengait antara satu era dengan era yang lain, antara kumpulan pemimpin kini dengan yang terdahulu. Mungkin tidak semua yang dilakukan pemimpin terdahulu bertaraf hebat, barang sudah tentu terdapat peninggalan yang kurang disenangi. Tetapi sekurang-kurangnya mereka juga bersama berjuang dan meninggalkan jasa dan khidmat. Tiada mereka tiada kita.

Pemimpin UMNO di segenap peringkat, apalagi di akar umbi bukan sahaja mesti pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah tetapi juga harus bersifat elok dan bijak.

Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya, bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah tetapi ketika tengkujuh dia menghilang? Dan oleh kerana Perlembagaan UMNO itu adalah undang-undang dan peraturan parti yang tertinggi dan paling afdal, Fasal 3 mesti dilaksanakan sepenuhnya.

Jika tidak, Melayu tidak akan bertahan dalam mengharungi lautan konflik dan pancaroba zaman.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved