Khamis, 14 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kedah manfaat peruntukan jalan

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 13 Nov. - Kerajaan Kedah menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) memanfaatkan sepenuhnya peruntukan sebanyak RM128 juta yang diberikan Kerajaan Pusat tahun ini untuk menyelenggara jalan raya di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 93.77 peratus telah selesai dilaksana sepanjang 11 bulan pertama tahun ini dan bakinya dijangka dapat dibelanjakan sepenuhnya untuk tujuan berkenaan menjelang hujung tahun ini.

Katanya, sehingga kini sepanjang 337.29 kilometer jalan negeri di 12 buah daerah di Kedah selesai diselenggara secara rutin dan berkala.

"Ada dakwaan yang dibuat kononnya projek ini diluluskan di peringkat negeri sebelum ini dan ini cuma pelaksanaan tetapi sebenarnya ia adalah peruntukan Kerajaan Pusat.

"Kita mengambil masa sejak Jun lepas untuk betul-betul memastikan peruntukan yang disediakan itu dibelanjakan untuk tujuan asal iaitu penyelengaraan jalan raya peringkat negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi kerja yang dilakukan oleh JKR setakat ini yang melibatkan 311 kontraktor bagi seluruh negeri.

Kata beliau, projek itu memberi impak besar kepada rakyat termasuk di beberapa kawasan yang menyatakan rasa puas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang berjalan lancar di kawasan masing-masing.

Tambah beliau, keadaan tersebut berbeza berbanding sebelum ini apabila peruntukan menyelenggara jalan raya negeri yang disediakan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan itu.

"Malah, sebahagian daripada peruntukan tersebut dimasukkan ke dalam yayasan dan ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Setelah mengambil alih, kami memastikan peruntukan itu digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan seperti dituntut rakyat," ujar beliau.

Sementara itu, Mukhriz berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai keupayaan dana hasil kutipan daripada pelbagai perkhidmatan diberikan mereka, disaran membelanjakannya untuk kerja-kerja landskap dan membaiki jalan rosak termasuk di kawasan taman.

"Dalam kita mengamalkan urusan kewangan berhemah bermaksud tidak perlu mempunyai lebihan terlalu banyak, jadi belanjakannya untuk rakyat," katanya.

MAHA Pulau Pinang Januari 2014

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Mohd. Zaidi Mohd. Said (kanan) bertukar pendapat dengan para pegawai kerajaan dalam Majlis Suai Kenal dan Makan Tengah Hari Kepimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh Bersama 18 Agensi Kerajaan di Bukit Mertajam, semalam.

BUKIT MERTAJAM 13 Nov. - Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2014) peringkat negeri akan diadakan di Permatang Pauh di sini Januari tahun depan.

Pegawai Khas Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, program Road To MAHA 2014 itu diadakan selama tiga hari membabitkan peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,000.

Beliau berkata, MAHA diadakan bertujuan mempamer dan menjual pelbagai produk industri asas tani yang terdapat di negeri ini selain pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang akan mengadakan pameran.

"Ini program kedua diadakan di negeri ini selepas program pertama yang akan diadakan di Bera, Pahang pada Disember tahun ini.

"Kita menyasarkan 30,000 orang pengunjung pada Road To MAHA di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Suai Kenal dan Makan Tengah Hari Kepimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh Bersama 18 Agensi-Agensi Kerajaan di sini hari ini.

Mohd. Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, ini merupakan program pertemuan yang pertama diadakan dengan agensi kerajaan di Parlimen Permatang Pauh sejak dipilih mengetuai UMNO Bahagian itu.

"Sambutan program ini menggalakkan dalam usaha UMNO merapatkan hubungan silaturahim dengan agensi kerajaan di Daerah Seberang Perai Tengah di sini," ujarnya.

Penduduk rayu SUK bertimbang rasa

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
pengarang@utusan.com.my

Zainab Husain (tiga dari kiri) bersama sekumpulan ibu tunggal menunjukkan surat perjanjian sewa rumah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka di Flat Paya Nahu, Merbok, semalam.

MERBOK 13 Nov. - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu, Jalan Taman Ria Jaya di sini, meminta kerajaan negeri khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan bertolak ansur dalam usaha menangani masalah sewa bulanan rumah bagi mengelak sebarang kesusahan kepada penduduk.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal PPR 2 Flat Paya Nahu, Zainab Husain berkata, kebanyakan mereka yang tinggal di situ termasuk 200 ibu tunggal, bukan daripada kategori senang hingga mampu menjelaskan sewa bulanan rumah dengan mudah.

"Lagipun jika tunggakan sewa rumah penduduk telah mencecah RM10,000, mereka tidak perlu dikeluarkan sebagai penghuni, pihak berkenaan boleh berbincang dengan cara berhemah.

"Hendak suruh bayar beribu-ribu ringgit, mana penduduk ada duit dalam keadaan tergesa-gesa," katanya kepada pemberita setelah pihak berkenaan melancar Program Menandatangani Surat Perjanjian Sewa Rumah Kos Rendah Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Blok A14 PPR Paya Nahu di sini selama dua hari mulai hari ini.

Menurutnya, penghuni tidak akan membuat sebarang bantahan jika kes-kes tunggakan sewa rumah dikendalikan dengan cara baik.

Penduduk, Roslina Ahmad, 42, berkata, sebagai ibu tunggal dia tidak mempunyai wang bagi menjelaskan tunggakan.

"Kami tidak mendapat layanan sewajarnya, sebagai penghuni saya merasa kecewa dan janji pihak-pihak berkenaan sebelum ini, tidak dapat ditunaikan," katanya.

Menurutnya, pihak atasan di negeri Kedah pelu segera membuat pemantauan terhadap apa yang berlaku di kawasan perumahan itu.

Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan PPR Paya Nahu, Sobri Man, 46, berkata, jika kes-kes itu tidak dapat dipantau dengan baik, banyak masalah pasti timbul selepas ini.

"Sebagai penghuni, kami mahu duduk di tempat yang selesa, lagi pun pendapatan bulanan saya hasil dari kerja memotong rumput, tidaklah seberapa," katanya.

Penghuni, Md. Saad Md. Isa, 60, pula berkata, dia sendiri mempunyai tunggakan RM11,000 sewa rumah itu.

"Saya harap masalah sewa rumah di PPR Paya Nahu ini dapat diselesaikan dengan baik, sekarang penduduk dipaksa pula ikut arahan, tindakan begini adalah tidak wajar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved