Khamis, 14 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pencapaian UPSR meningkat

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Seorang murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat keputusan 5A melompat kegembiraan selepas mengambil slip peperiksaan yang disampaikan oleh Guru Besar, Hazizah Ujang (kiri) di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 14 Nov. - Pahang mengekalkan prestasi cemerlang apabila gred purata mata pelajaran (GPMP) terus meningkat kepada 2.18 berbanding 2.19 pada tahun lalu dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Hashim Mohd. Zayad berkata, pencapaian tersebut mengatasi gred purata nasional (GPN) iaitu 2.27.

Bagaimanapun, pencapaian cemerlang semua mata pelajaran 5A bagi sekolah kebangsaan (SK) dan 7A bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK) adalah sebanyak 2,791 calon berbanding 3,025 calon iaitu penurunan sebanyak 0.16 peratus.

murid cemerlang UPSR yang mendapat keputusan 5A menyanyikan lagu Kami Sayang Cikgu untuk guru-guru (barisan hadapan) selepas mengambil slip peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, Hazizah Ujang, Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Daripada 425 buah sekolah yang membabitkan seramai 25,055 calon yang menduduki peperiksaan, sebanyak 34 buah sekolah sahaja mencapai keputusan 100 peratus menguasai semua mata pelajaran," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan JPN, di sini hari ini.

Menurut Hashim, pada tahun ini sebanyak empat buah sekolah yang berjaya memperoleh calon cemerlang 5A melebihi 40 orang berbanding 2012 hanya dua buah sekolah.

Sekolah tersebut ialah SK Perempuan Methodist; SK Assunta Convent (M); SK Tunku Azizah dan SK Sungai Isap di sini.

Sebanyak 27 buah sekolah pula mendapat pencapaian cemerlang melebihi 30 peratus atau menyamai tahun lepas," ujarnya.

Tambahnya, pencapaian calon dalam kalangan Orang Asli juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 11 orang mendapat 5A berbanding tahun lalu sebanyak sembilan orang.

Prestasi menguasai semua mata pelajaran di 26 buah sekolah Orang Asli di negeri ini turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.38 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 23.51 peratus kepada 23.89 peratus.

SK Chini, Pekan dekat sini masih mengekalkan pencapaian 100 peratus dan tiga orang calonnya mendapat keputusan cemerlang 5A," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pencapaian di sekolah-sekolah tanah rancangan Felda turut menunjukkan peningkatan iaitu seramai 432 calon mendapat 5A daripada 4,573 calon yang menduduki peperiksaan.

Prestasi gred purata sekolah bagi sekolah-sekolah Felda meningkat sebanyak 0.04 peratus menjadi 2.12 berbanding 2.16 pada tahun lalu," katanya.

65 peserta Program Sinar ECERDC, UMP dapat 5A

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Jebasingam Issace John (kanan) bersama Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) mengucapkan tahniah kepada Kuzailan Lauhaukiong (dua dari kanan) dan Teor Wee Hock Teo Baksong (tengah) dalam satu majlis ringkas di Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 14 Nov. - Tiga murid Orang Asli antara 65 peserta Program Sinar anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pencapaian itu merupakan yang terbaik sejak program itu diperkenalkan tiga tahun lalu melibatkan sembilan buah sekolah di daerah Pekan.

"Daripada 656 calon yang mengikuti program di bawah inisiatif UMP, 65 calon memperolehi 5A. Antara murid yang terlibat ialah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serandu, SK Sri Pekan, SK Peramu, SK Lepar, SK Nenasi, SK Indera Shahbandar, SK Runchang, SK Pekan dan SK Tanjung Batu.

"SK Runchang menunjukkan peningkatan paling ketara apabila menerima anugerah khas daripada Jabatan Pendidikan negeri berikutan peningkatan peratus kelulusan daripada 33.6 peratus pada tahun lalu kepada 68.86 peratus tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Sementara itu, menurut Jebasingam, pihaknya bukan sahaja memantau dari aspek akademik tetapi perkembangan sahsiah dan latar belakang setiap peserta program yang terlibat.

"Pencapaian peserta bagi tahun ketiga dalam UPSR kali ini amat membanggakan terutama bagi SK Runchang yang tidak pernah mempunyai murid mendapat 5A sejak 15 tahun lalu," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi murid cemerlang Orang Asli yang memperoleh 5A, Kuzailan Lauhaukiong, 12, dia berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

"Saya semakin berminat untuk ke sekolah sejak mengikuti Program Sinar ini. Saya gembira kerana bukan sahaja dapat belajar dengan selesa tetapi mempunyai ramai kawan.

"Sebelum ini saya sering bersama bapa ke hutan atau sungai bagi mencari sumber pendapatan seharian," kata murid SK Runchang itu yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Dua lagi murid Orang Asli yang mendapat keputusan 5A ialah Iszua Hafizie Semana Ujang dan Teor Wee Hock Teo Baksong juga dari SK Runchang.

Kesedaran majikan, pekerja perlu ditingkatkan

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

MARAN 14 Nov. - Pihak majikan dan pekerja perlu meningkatkan kesedaran menjaga keselamatan di tempat kerja kerana sebarang insiden kemalangan bukan sahaja menjejaskan individu terbabit malah memberi kesan dari segi kos kepada organisasi.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu memandangkan majikan perlu membayar kos rawatan, ganti rugi, dan pampasan kepada keluarga mangsa malah yang lebih penting akan kehilangan tenaga produktif.

"Sehubungan itu, setiap majikan perlu mengambil inisiatif dan langkah proaktif bagi mencegah kejadian yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing.

"Ini terbukti apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan lebih RM2 bilion bagi membayar faedah kepada 300,000 pekerja terbabit kemalangan sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis sumbangan cek bernilai lebih RM70,000 kepada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah Maran, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan yang prihatin mewujudkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-MP) 2010-2015 bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tambah beliau, OSH-MP itu secara langsung dapat meningkatkan kesedaran dan kesihatan diri individu demi keselamatan diri, keluarga dan orang ramai.

"Pelan induk yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah strategi meminimumkan kadar kemalangan di tempat kerja," katanya.

Menurutnya, sehingga Jun lalu, sebanyak RM1.032 bilion dibayar kepada kira-kira 160,000 pekerja yang terbabit dalam kemalangan di tempat kerja.

Sehubungan itu, tambahnya, Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu mencari alternatif bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved