Khamis, 14 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


12 lagi pasar nelayan dibina

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
pengarang@utusan.com.my

NUSAJAYA 13 Nov. - Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM600,000 bagi membina 12 buah lagi pasar nelayan di seluruh negeri ini pada tahun depan dan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, sehingga kini terdapat empat buah pasar nelayan iaitu di Batu Pahat, Pontian, Mersing dan Muar.

Menurutnya, empat pasar nelayan berkenaan telah menerima peruntukan sebanyak RM140,000 bagi tujuan penambahbaikan prasarana sedia ada.

"Kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggalakkan pembukaan pasar-pasar nelayan yang baharu dan berdekatan dengan pangkalan pendaratan ikan.

"LKIM juga akan menyediakan kemudahan prasarana dan nelayan akan menjual hasil tangkapan mereka di pasar tersebut tanpa perlu melalui orang tengah," katanya menjawab soalan Datuk Saipolbahari Suib (BN-Bukit Naning) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Ismail berkata, antara lokasi pasar baharu berkenaan ialah di Sungai Rengit, Pengerang, Pasir Gudang, Taman Tampoi Utama, Parit Botak, Teluk Buih, Sarang Buaya dan Jeti Pendas Laut.

Beliau berkata, pembukaan lebih banyak pasar baharu itu akan membolehkan harga jualan setiap hasil tangkapan ditentukan sendiri oleh nelayan, manakala LKIM bertindak sebagai pemantau.

"Dengan adanya pasar berdekatan pusat pendaratan ikan ini, saya yakin golongan nelayan akan berusaha menambah pengeluaran ikan pada masa depan.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap golongan nelayan dan pelbagai insentif telah dan akan disalurkan kepada mereka," katanya.

Hasil Kajian Indeks Sosial Iskandar Malaysia diumum 2014

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

NUSAJAYA 13 Nov. - Hasil Kajian Indeks Sosial Iskandar Malaysia yang merupakan kaedah untuk mengukur pencapaian pembangunan sosial di kawasan wilayah pembangunan itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, indikator yang digunakan dalam kajian berkenaan akan dapat memberi gambaran sebenar tentang tahap kualiti hidup penduduk di Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, dapatan kajian berkenaan juga akan dipantau dan digunakan sebagai sebahagian alat untuk membuat perancangan dan pelan tindakan.

"Indeks sosial ini turut memberi penekanan kepada perancangan pembangunan manusia serta modal insan dan bukan sebagai kajian kesan pembangunan fizikal kepada masyarakat semata-mata.

"Kajian itu turut melihat peningkatan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan termasuk aspek keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan, kemudahan riadah serta kawalan kos hidup menerusi kawalan kos perumahan, pengangkutan awam, kesihatan dan lain-lain," katanya semasa menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Menteri Besar memberitahu, skop kajian berkenaan meliputi pemilihan indikator paling relevan bagi Iskandar Malaysia, membangunkan mekanisma pengumpulan data, verifikasi data, penetapan sasaran dan asas pencapaian, carta aliran kerja dan pembangunan formula serta pengiraan indeks berkenaan.

Beliau berkata, dalam proses pemilihan petunjuk yang sesuai bagi Iskandar Malaysia, pendapat dan maklum balas penduduk diambil kira menerusi proses perbincangan kumpulan sasaran dan soal selidik masyarakat bagi mengetahui aspek keutamaan masyarakat tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved