Khamis, 14 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


LPG: Rezeki 350 nelayan terjejas

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

HASAN Rahman (kiri) mendengar masalah yang disampaikan oleh Samsudin Abu Bakar (kanan) semasa meninjau perairan Selat Melaka dekat Kuala Sungai Baru, Melaka, semalam. - utusan/azli ahad

ALOR GAJAH 13 Nov. - Kegagalan pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah kapal-kapal membawa gas petroleum cecair (LPG) berlabuh di merata-rata tempat sekitar perairan Selat Melaka dekat Kuala Sungai Baru di sini, menjejaskan pendapatan kira-kira 350 nelayan pantai di situ.

Walaupun telah dimaklumkan beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab namun masalah yang membelenggu nelayan pantai di kawasan berkenaan masih belum dapat diselesaikan sejak 2006.

Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka Barat, Samsudin Abu Bakar berkata, tindakan kapal-kapal kargo berlabuh di merata-rata tempat menyebabkan banyak jaring dan pukat menangkap ikan milik nelayan rosak teruk.

Menurutnya, keadaan yang kerap berlaku itu menyebabkan kebanyakan nelayan hilang mata pencarian apabila jaring atau pukat tidak boleh digunakan.

"Kebelakangan ini banyak kapal LPG dan kapal dagang sesuka hati berlabuh di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan pantai.

"Kapal-kapal tersebut mengganggu malah ada yang terlanggar jaring atau pukat yang dipasang nelayan hingga rosak teruk.

"Keadaan menjadi parah apabila bot penunda pula lalu-lalang tidak kira pada waktu siang atau malam menyebabkan jaring atau pukat tersangkut dikipas bot tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membawa wartawan meninjau keadaan kapal-kapal LPG berlabuh tidak tersusun di perairan Selat Melaka dekat Kuala Sungai Baru di sini semalam.

Yang turut hadir meninjau kawasan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman; Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka /Negeri Sembilan, Baharin Omar.

Samsudin berkata, satu memorandum telah dikemukakan Persatuan Nelayan Melaka Barat kepada Jabatan Laut bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi tetapi tidak ada jalan penyelesaian.

Sementera itu, Hasan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TAG Marine yang menguruskan kapal-kapal LPG bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, pertemuan yang akan turut disertai beberapa agensi lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kawasan Melaka/Negeri Sembilan akan diadakan secepat mungkin.

"Perlu ada rundingan antara nelayan dan pihak yang menguruskan kapal-kapal LPG berlabuh di perairan dekat Kuala Sungai Baru.

"Masalah nelayan mengadu jaring atau pukat mereka rosak akibat dilanggar kapal terbabit dan bot tunda tidak boleh diabaikan kerana punca pendapatan nelayan ialah menangkap ikan," katanya.

Hasan berkata, antara perkara utama yang akan diberikan tumpuan ialah meminta Jabatan Laut menetapkan lokasi untuk kapal berlabuh.

Di samping itu, katanya, beliau juga akan mencadangkan syarikat terbabit menyumbang kepada tabung Persatuan Nelayan Melaka Barat yang membantu nelayan yang jaring atau pukat mereka rosak akibat dilanggar kapal serta bot tunda.

"Saya yakin persetujuan boleh dicapai antara kedua-dua pihak, apa yang saya harapkan pertemuan ini dapat menyelesaikan sebarang kemelut yang melanda," katanya.

RM20 juta tabung selesai masalah rakyat

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

SEREMBAN 13 Nov. - Sebanyak RM20 juta daripada rizab kerajaan negeri akan diperuntukkan kepada tabung khas dikenali sebagai Tabung Amanah Penyelesaian Masalah Rakyat tahun hadapan bertujuan memudahkan bantuan segera disalurkan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tabung berkenaan yang ditubuhkan tahun ini dengan jumlah wang sama kini hampir habis selepas digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat seperti bencana alam dan kerosakan infrastruktur.

Beliau berkata, tabung itu ditubuhkan bagi mengelak kerajaan negeri terlalu bergantung kepada belanjawan yang dibentangkan setiap tahun bagi menyelesaikan masalah rakyat.

"Dahulu banyak isu dan masalah rakyat tidak dapat diselesaikan kerana tidak ada satu tabung yang boleh dikeluarkan belanja dengan cepat dan perlu menunggu sehingga bajet dibentangkan oleh kerajaan.

"Hinggakan kadang-kadang rakyat mula merasai isu dan masalah mereka tidak ada siapa yang mahu selesaikan. Bila ada tabung seperti ini, ia boleh digunakan tanpa perlu menunggu kelulusan dewan atau pihak-pihak lain.

"Selain itu, kejadian seperti bencana alam, jalan berlubang atau rumah terbakar adalah perkara yang tidak boleh dianggarkan dalam bajet," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berupaya menubuhkan tabung seperti itu memandangkan terdapat lebihan pendapatan setiap tahun hasil daripada bukan cukai seperti bayaran premium tukar syarat tanah dan premium meluluskan kebenaran merancang.

Katanya, pada masa ini, rizab kerajaan negeri adalah sebanyak RM438 juta dan sebahagian daripada wang itu dipulangkan kepada rakyat terutamanya untuk tujuan menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, Mohamad menarik perhatian, Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada 13 Disember ini akan terus melaksanakan program dan projek yang dapat mensejahterakan rakyat.

"Bajet ini masih lagi bajet berimbang yang telah berjaya kita bentangkan sejak 2009," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri kini sedang mengkaji kaedah paling berkesan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Ujong antara persimpangan Taman Permai hingga ke Plaza Tol Seremban.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri juga meluluskan cadangan membina susur keluar baharu ke Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur bagi kenderaan yang datang dari arah Seremban 2.

Rumah baharu dipasang panel solar

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

MOHAMAD Hasan melihat panel solar yang digunakan oleh Kilang EXT Technologies Sdn. Bhd. ketika menghadiri Majlis Perasmian Kilang EXT Technologies Sdn. Bhd., di Sendayan Techvalley, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.

SEREMBAN 13 Nov. - Setiap rumah baharu di negeri ini perlu dipasang dengan panel solar yang memberi tenaga sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bekalan elektrik sedia ada.

Cadangan itu kini sedang diteliti oleh kerajaan negeri dalam usaha menyemarakkan penggunaan teknologi hijau yang menjadi dasar kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa ini, kerajaan negeri sudah pun melaksanakan dasar 30 peratus kandungan teknologi hijau sebagai syarat kelulusan untuk sebarang jenis pembangunan baharu di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menetapkan jenis kandungan teknologi hijau itu memandangkan ia adalah subjek yang sangat luas dan terpulang kepada pemaju untuk menentukan aplikasi yang hendak diguna pakai.

"Pelbagai aspek boleh ditakrifkan sebagai teknologi hijau namun penjanaan tenaga solar dan menakung air hujan adalah popular di kalangan orang ramai dan industri," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kilang EXT Technologies Sdn. Bhd., di Sendayan Techvalley di sini semalam.

Bangunan kilang seluas 1,951 meter persegi itu dibina dengan kos RM8 juta manakala peralatan bagi menghasilkan panel solar itu menelan belanja RM15 juta.

Kilang itu bakal mengeluarkan sebanyak 280,000 panel solar setahun dalam fasa pertama operasinya mulai pertengahan Mac 2014.

Mohamad menarik perhatian, permintaan terhadap panel solar amat tinggi di dalam dan luar negara berikutan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan teknologi hijau terhadap alam sekitar.

Bagaimanapun, jelasnya, harga panel solar masih mahal.

"Saya harap pembukaan kilang EXT Technologies ini atau syarikat tempatan yang lain akan membolehkan harga tersebut dikurangkan dan lebih ramai orang boleh mendapat manfaatnya," ujarnya.

Dalam majlis itu, Mohamad turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Stellar Dents Sdn. Bhd., dan Negeri Roadstone Sdn. Bhd., bagi pembinaan kilang mengeluarkan kerusi pergigian yang akan terletak bersebelahan dengan Kilang EXT Technologies.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved