Khamis, 14 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Zulfahmi dapat kuasa Honda

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

Zulfahmi Khairuddin

KUALA LUMPUR - Lebih laju dan lebih berkuasa, itu janji Honda, syarikat pengeluar motosikal terkemuka dunia kepada pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bagi menghadapi musim baru Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.

Zulfahmi bakal membuka lembaran baharu bersama pasukan Ongetta Air Asia (CBC Corse) dan tidak lagi memacu jentera KTM, musim depan.

Sebaliknya dia akan menunggang motosikal Honda setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Red Bull KTM Ajo.

Perkhabaran tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Faktor utama Zulfahmi beralih angin adalah disebabkan kami telah menerima tawaran yang cukup baik daripada pasukan pengeluar motosikal, Honda. Mereka amat berminat untuk menjadikan Zulfahmi sebagai pelumba mereka," kata Razlan.

Menurut Razlan, Zulfahmi, 22, mula dirisik oleh pasukan pengeluar dari Jepun sejak dari Grand Prix Malaysia, Oktober lalu. Rundingan awal juga telah dilakukan bersama pihak SIC dan Zulfahmi sendiri.

Jelasnya lagi, Honda mempunyai impian besar untuk mencipta kejayaan dalam perlumbaan Moto3 bersama-sama Zulfahmi, yang mana sasaran mereka adalah untuk menjadi pencabar utama kejuaraan dunia.

Honda sebenarnya agak kecewa dengan pencapaian mereka dalam saingan kelas Moto3 sejak dua tahun lalu dan mereka mempunyai cita-cita yang cukup besar untuk musim 2014 dengan menjadikan Zulfahmi sebagai sebahagian daripada perancangan mereka untuk bergelar juara.

Untuk tahun depan, mereka akan memperkenalkan sebuah motosikal baru. Honda hanya akan mengeluarkan enam jentera yang hanya digunakan oleh tiga buah pasukan, dan salah sebuah pasukan itu adalah Ongetta Air Asia," kata Razlan lagi.

Razlan memberitahu, Honda sememangnya berhasrat untuk membangunkan jentera mereka bersama-sama Zulfahmi dan latar belakang anak muda kelahiran Banting, Selangor itu sebagai pelumba Asia merupakan antara faktor mengapa pasukan pengeluar dari negara matahari terbit itu berminat dengannya.

Mengulas mengenai Ajo Motorsport, beliau berkata, Zulfahmi sebenarnya masih memiliki kontrak dengan pasukan berkenaan, tetapi setelah berunding dari hati ke hati, pihaknya berjaya mengeluarkan anak muda itu daripada perjanjian.

Sebagai ganti, Amirul Hafiq Azmi akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulfahmi untuk beraksi dalam saingan Moto3, tahun depan.

Razlan mendedahkan, selain tawaran menyertai Ongetta Air Asia, Zulfahmi turut menerima beberapa lamaran daripada pasukan ternama dalam saingan Moto3.

Namun, dia memilih Ongetta setelah mendapat jaminan daripada Honda sendiri untuk menyediakan jentera terbaik bagi menghadapi musim 2014.

Ongetta sebenarnya bukan sebuah pasukan yang asing buat Zulfahmi kerana pada awal kariernya dulu, dia bersama pasukan Ongetta sebelum menyertai Ajo Motorsport. Cuma pada kali ini penyertaannya bersama penaja yang berbeza," ujarnya.

Malah, keputusan Air Asia untuk terus setia bersama Zulfahmi, menurut Razlan, merupakan satu perkhabaran yang amat menggembirakan, walaupun prestasi pelumba tersebut tidak begitu memberangsangkan sepanjang musim 2013.

Tempang jumpa Bahrain

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Melihat kepada rekod buruk dalam aksi persahabatan mahu pun perlawanan di tempat lawan sepanjang tahun ini, Harimau Malaya jelas bukan pasukan pilihan apabila menentang pendahulu Kumpulan D, Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Riffa, hari ini.

Selepas nyaris tersungkur sebelum seri 1-1 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas sukar untuk mengekang skuad bimbingan Anthony Hudson.

Masih kecewa dengan kekalahan 3-0 kepada Kuwait dalam aksi persahabatan minggu lalu, Malaysia juga mengharapkan tuah jika mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Nasional itu.

Tambah mencemaskan keadaan, Harimau Malaya mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan dan bintang tengah Safiq Rahim (gambar) yang tidak berada di tahap 100 peratus cergas bagi menghadapi skuad Al Ahmar atau Si Merah itu.

Turut menyertai senarai kecederaan itu ialah empat benteng, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, Amiridzwan Taj Tajuddin, Razman Roslan dan Fadhli Shas serta sayap kanan, S. Kunanlan.

Namun berita bahawa tuan rumah turut kehilangan tonggak utama seperti Hussain Baba, Sayed Dhiya Saeed, Abdulwahab Al Malood dan Ali Ghaleb, mungkin sedikit melegakan Rajagobal mahupun menjadikan keadaan seimbang semula.

Bagi Hudson, hanya meraih tiga mata di Riffa kali ini mampu menebus kekecewaannya selepas gagal membawa pulang tiga mata dari Shah Alam, bulan lalu.

Pada perlawanan itu, bintang penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha berjaya meledakkan gol penyamaan pasukan negara.

Media Bahrain pula dikatakan memperlekehkan kemampuan anak-anak buah Rajagobal tanpa menyedari pasukan pelawat kali ini bakal tampil dengan beberapa muka baharu yang dianggap lebih baik dari di Shah Alam.

Namun jika berjaya mencuri satu mata di Riffa dan dibantu dengan kejutan Yemen ke atas Qatar di Al Ain, Malaysia bakal mencerahkan kemaraan ke pusingan akhir di Australia biarpun dari tempat ketiga Kumpulan D.

Berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata bakal menjadi penyuntik semangat buat skuad Harimau Malaya sebelum menerima kunjungan Qatar di Shah Alam, Selasa depan.

Anak-anak buah Rajagobal itu tewas 2-0 kepada Qatar pada perlawanan pertama mereka di Doha, Februari lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved