Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


RM1.09j bantuan yuran tadika swasta

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Nov. - Bahagian Pendidikan Swasta (BPS) Jabatan Pelajaran negeri telah menyalurkan sebanyak RM1.09 juta bagi bantuan yuran kepada kanak-kanak tadika swasta di negeri ini.

Penyelia Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Zubaidah Baba berkata, jumlah berkenaan telah diagihkan kepada seramai 750 murid yang layak di 346 buah tadika swasta pada tahun ini.

Menurutnya, selain bantuan itu di bawah program kerajaan, jabatan turut memberikan bantuan geran kepada 19 buah tadika swasta bagi tahun pertama dibuka yang berjumlah RM330,000.

"Jumlah ini diagihkan mengikut bilangan murid iaitu RM20,000 diberikan kepada 14 buah tadika yang mempunyai murid melebihi 20 orang manakala RM10,000 kepada tadika yang mempunyai murid kurang daripada sepuluh orang.

"Bantuan yang diperkenalkan sejak tahun 2010 ini merupakan inisiatif oleh kerajaan bagi membantu pengusaha-pengusaha tadika swasta dan jumlah ini dijangka meningkat pada setiap tahun berikutan lebih banyak tadika yang dibuka.

"Beberapa penambahbaikan tadika swasta akan dilakukan memandangkan banyak sekolah tadika dibuka setiap tahun dan setakat ini berjumlah 12,845 kanak-kanak di seluruh Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Tadika Swasta peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Tadika Swasta negeri, Siti Fahizan Abd. Rahman.

Dalam majlis itu, seramai 143 penerima graduasi melibatkan 13 tadika swasta yang menyertai majlis konvokesyen kali ke-2 anjuran persatuan berkenaan.

Sementara itu, Zubaidah berkata pihaknya sentiasa mengadakan kerjasama dengan ahli persatuan itu supaya dapat menarik lebih ramai pengusaha tadika swasta untuk berdaftar sebagai ahli.

"Antara faedah yang diterima adalah latihan dan kursus yang diadakan melalui persatuan terbabit yang disediakan oleh JPM untuk tambah baik ilmu sedia selain aktiviti-aktiviti di bawah jabatan seperti Hari Guru, Hari Kanak-Kanak, Hari Sukan dan sebagainya," katanya.

IBM gariskan blueprint ekonomi NS

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

SEREMBAN 16 Nov. - Sepasukan pakar dari syarikat teknologi IBM telah membangunkan secara komprehensif blue print berkaitan transformasi ekonomi negeri ini sehingga tahun 2020 di bawah geran 'Cabaran Bandar Raya Pintar IBM' yang diperoleh negeri ini, tahun lalu.

Pasukan IBM itu yang terdiri daripada pakar teknologi dan perunding antarabangsa telah berada selama tiga minggu di negeri ini dan dibiayai sepenuhnya oleh program keperkasaan teknologi di bawah IBM, selepas Negeri Sembilan terpilih daripada 30 bandar dan negeri di dunia untuk menerima geran pembangunan berjumlah USD400,000 (RM1,280,000) dari syarikat tersebut.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, perubahan landskap ekonomi telah mendorong kerajaan mencari peluang yang lebih baik dalam memperbanyakkan kemasukan pelabur ke dalam negeri ini.

''Cadangan daripada pasukan pakar IBM ini dilihat dapat membantu kerajaan negeri untuk menggariskan pelbagai kerangka dan peluang serta menumpukan kepada usaha mendekati skop yang dapat membawa kejayaan lebih besar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan IBM di sini semalam.

Tambah beliau, pasukan pakar ini telah bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam mencari dan mengumpulkan maklumat dari pelbagai sumber, bersama Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd.

''Segala input itu akan membantu meningkatkan lagi sumber negeri melalui apa juga yang diperoleh dan perkhidmatan berteraskan ekonomi serta tidak hanya tertumpu dalam bidang pertanian sebagai sumber asas," katanya.

IBM dalam program yang dilaksanakan ini telah menghasilkan garis panduan untuk membolehkan agensi kerajaan di negeri ini mampu bekerjasama untuk menarik kehadiran pelabur baharu.

Pada masa yang sama pasukan pakar IBM ini juga mengemukakan beberapa cadangan dalam pembentukan badan pemantau bagi memastikan harapan terhadap pembangunan ekonomi negeri ini mencapai sasarannya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Malaysia, Paul Moung berkata, pihaknya dapat melihat skop yang lebih berjaya dengan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, termasuklah sokongan kuat yang ditunjukkan oleh rakyat.

''Dengan gabungan inisiatif tersebut, sepatutnya dapat membantu negeri ini mengekalkan mahupun meningkatkan lonjakan ekonominya," katanya.

''Menjadi harapan IBM, melalui kepakaran yang dikongsi bersama kerajaan negeri ini, selain pengalaman yang diberikan oleh pasukan pakar, dapat membantu negeri ini mencapai kemajuan melalui teknologi pintar dalam peningkatan ekonomi semasanya," jelasnya.

Ketika ini, menjadi harapan kerajaan ini untuk melihat peningkatan paras Keluaran Dalam Negara Kasan (KDNK) negeri kepada 37 peratus iaitu daripada RM27.7 bilion kepada RM38 bilion, selain memastikan juga penambahan dalam paras pendapatan perkapita kepada 23 peratus, iaitu daripada RM32,500 kepada RM40,000.

Buat masa ini, sumber ekonomi dipertingkatkan melalui sektor pembuatan, namun pada masa sama, dapat dilihat usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mempelbagaikan sumbernya supaya kesannya tidak membosankan dalam kehendak pasaran.

Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama terpilih dalam program 'Cabaran Bandar raya Pintar IBM' di negara ini, sekali gus membuka ruang pertukaran pengetahuan yang bakal menyaksikan pembikinan sebuah 'negeri pintar' menjelang 2020.

Antara perkara yang dibangunkan secara bersama itu meliputi pembangunan ekonomi, air, tenaga dan persekitaran, kesihatan dan perkhidmatan sosial, pengangkutan serta keselamatan awam.

Di akhir kerjasama itu kelak, IBM akan mengemukakan secara komprehensif beberapa cadangan untuk penyelesaian masalah, diikuti beberapa minggu kemudian dengan perinciannya, sebelum menggariskan secara bertulis pelan tindakannya.

Usah bimbang hantar anak kecil ke tadika

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

Bibi Sharliza Mohd. Khalid (belakang, lima dari kanan) serta Hamzah Alias (dua dari kiri) bersama warga Tadika IPD Jempol selepas majlis penyampaian sijil tadika Kemas di dewan IPD Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

JEMPOL 16 Nov. - Ibu bapa tidak perlu berasa bimbang untuk menghantar anak mereka mengenali alam pembelajaran dan berkawan di tadika atau taska seawal usia dua tahun.

Isteri kepada Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, langkah awal itu mampu memberikan pendedahan dan melahirkan anak yang berani.

"Memang anak yang berusia dua tahun masih kecil tetapi mereka mudah untuk mempelajari sesuatu yang baharu ketika di awal usia tersebut.

"Kalau hanya menghantar mereka di pusat jagaan biasa, kita bimbang mereka cuma dijaga tetapi tidak diberikan didikan ilmu. Sebab itulah kerajaan menggalakkan penyediaan pusat didikan untuk kanak-kanak usia kecil sebagaimana wujudnya Pusat Permata Negara," katanya.

Bibi Sharliza berucap dalam majlis penyampaian sijil Tadika Kemas Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol di dewan IPD Jempol, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Polis daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias serta Pengerusi Tadika IPD, Asisten Supritendan Md. Khairuddin Hussin.

Katanya, corak pembelajaran di tadika hari ini sudah jauh berbeza, malah kurikulumnya juga terbukti mampu melahirkan kanak-kanak yang cekap membaca, berdikari, mengeja, mengira malah ada yang mampu membaca al-Quran dengan baik, selain didikan kerohanian.

''Cuba perhatikan kana-kanak yang dihantar ke tadika pada usia muda, mereka mudah menghafal doa, tahu mengerjakan solat dan paling utama dapat diserap ilmu keagamaan dengan lebih berkesan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved