Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Menanti barisan baru Pemuda Pas

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KELANTANGAN dan keberanian Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendedahkan apa yang beliau tafsirkan satu pembohongan oleh Karpal Singh dalam isu kenyataan meminta supaya pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan kerana membahayakan negara menarik perhatian ramai.

Boleh dikatakan inilah kali pertama, orang ramai khususnya ahli dan penyokong Pas melihat kelantangan seorang pemimpin Pemuda parti itu yang berani menyanggah sekutu mereka iaitu DAP dalam sesuatu isu.

Dr. Raja Ahmad Iskandar yang kini menjadi Naib Pemuda Pas dan akan bertanding kerusi Timbalan Ketua Pemuda Pas seolah-olah memberi contoh inilah sepatutnya dilakukan oleh sayap Pas tersebut selama ini iaitu berani berhadapan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika mereka menyentuh kepentingan politik Pas.

Sudah pastilah, Dr. Raja Ahmad Iskandar tidak melakukan tindakan itu semata-mata untuk meraih populariti menjelang pemilihan tetapi menyatakan satu kebenaran biar pun pahit.

Semangat seperti itulah yang selama ini ditunggu-tunggu oleh ahli dan penyokong Pas yang begitu merindui satu barisan kepimpinan Pemuda parti itu yang lantang dan tegas dalam menyatakan pendirian.

Tidak kira siapa pun yang membuat kenyataan sama ada kawan mahupun lawan tetapi kalau ia menyentuh usaha yang dilihat boleh mencabar kewibawaan Pas maka Pemuda Pas seharusnya paling ke hadapan untuk membela parti itu.

Sememangnya, selama ini Dewan Pemuda Pas dilihat seolah-olah 'hidup segan mati tidak mahu', dewan itu hanya dilihat berani tidak bertempat apabila berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi seolah-olah 'kecut perut' apabila berhadapan dengan kerenah pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

Justeru tidak hairanlah tindakan Dr.Raja Ahmad Iskandar mendapat perhatian kerana selama ini wujud keraguan sama ada benar atau tidak Karpal yang juga Pengerusi DAP mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Seperti biasa, biar pun pada mula ada pemimpin-pemimpin Pas yang menyelar Karpal tetapi mereka diam seketika apabila DAP memberi hujah balas dengan menyatakan kenyataan Karpal telah diputar belitkan.

Namun Dr. Raja Ahmad Iskandar bersama rakan-rakannya dalam Pemuda Pas tidak mahu duduk diam sebaliknya muncul dengan bukti bagi mempertahankan hujah mereka bahawa Karpal sememangnya berkata demikian.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan keberanian Pemuda Pas tidak akan terhenti di situ sahaja, apatah lagi kalau difikirkan di dalam Pas masih terdapat begitu ramai pemimpin yang begitu menjaga hati PKR dan DAP.

Sebab itulah, pemilihan Pemuda Pas, Khamis ini dilihat platform terbaik untuk ahli-ahli sayap Pas tersebut membariskan satu saf kepimpinan yang mampu mengembalikan kegemilangan Pemuda Pas sebagai kumpulan pendesak.

Tidak salah untuk Pemuda Pas terus bersama-sama dengan kepimpinan induk mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi janganlah sampai Pas dilayan seolah-olah sebuah parti yang tidak mempunyai martabat dan kewibawaan.

Perwakilan ke muktamar Pemuda Pas bermula Rabu ini mempunyai pilihan sama ada untuk memilih Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda Pas Johor Suhaizan Kayat atau peguam, Zulhazmi Shariff sebagai ketua mereka.

Manakala untuk jawatan Timbalan Ketua pula, ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd. Khalil Abdul Hadi yang merupakan anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr. Raja Ahmad Iskandar. Sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz iaitu anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terserahlah gandingan mana yang mahu diwujudkan oleh perwakilan Pemuda Pas, tetapi apa yang perlu mereka pastikan ialah keputusan yang dibuat tidak akan menyebabkan sekali lagi sayap Pas itu dilihat lesu dan tidak bermaya seperti mana sebelum ini.

Hakikatnya, tidak salah untuk mana-mana calon kepimpinan Pemuda Pas mahu memperkasakan dewan itu kerana itulah hasrat ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi.

Tetapi yang mereka tidak mahu lihat ialah bagaimana Pemuda Pas bukan sahaja tidak berani menegur kepimpinan Pas tetapi paling penting 'kecut perut' untuk mengkritik kepimpinan PKR dan DAP yang dilihat acap kali memperkecilkan kewibawaan Pas.

Ketiga-tiga calon yang bertanding Ketua Pemuda Pas sudah menyampaikan misi mereka, Suhaizan sudah menyatakan komitmennya untuk memastikan Pemuda Pas lebih ke hadapan untuk menjuarai isu-isu melibatkan rakyat dan juga lebih lantang menegur pemimpin parti. Zulhazmi pula berhasrat menyusun tenaga ahli Pemuda Pas mengikut kepakaran masing-masing dan juga membentuk kerjasama dengan sayap parti lain serta pemimpin komponen dalam pakatan pembangkang.

Kamaruzaman tampil dengan azam akan meneroka ruang dan peluang baru untuk membawa sayap itu mendepani cabaran semasa dan menguasai isu serta keperluan anak muda masa kini secara kolektif.

Baguslah kerana masing-masing sudah menyampaikan misi jika terpilih tetapi ia seharusnya tidak berkisar soal memperkasakan Dewan Pemuda Pas sahaja tetapi yang patut juga diberikan keutamaan ialah bagaimana sayap Pas itu mampu bekerjasama dengan pihak lain khususnya UMNO dan gerakan Islam dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Memanglah, Dewan Pemuda Pas mempunyai tanggungjawab, misi dan visi untuk memastikan Pas menjadi parti terunggul di persada politik tanah air tetapi soal perpaduan Melayu dan umat Islam tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Sudah tiba masanya, kepimpinan baru Pemuda Pas mencari jalan bagaimana dalam menangani soal perpaduan orang Melayu dan umat Islam ada ketika mereka harus duduk semeja untuk berbincang khususnya dengan Pergerakan Pemuda UMNO.

Janganlah meneruskan amalan politik jumud yang melihat seolah-olah UMNO 'musuh kamu yang paling nyata' sehinggakan hendak berbincang soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam pun tidak boleh.

Tidak kisahlah, kalau Pemuda Pas mahu bertarung habis-habisan dalam perebutan kerusi ketika pilihan raya tetapi biarlah ia terhad pada musim pilihan raya sahaja.

Dewan Pemuda Pas tidak boleh lagi hanya tunjuk berani kepada UMNO dan memandang sinis sebarang usaha untuk bekerjasama dengan parti itu. Mewujudkan kerjasama dan bersatu dalam soal berkaitan orang Melayu dan umat Islam bukanlah satu kesalahan apatah lagi berdosa, sebaliknya, ia bertepatan dengan seruan Islam.

Jangan mengamalkan sikap bercakap soal Islam berdegar-degar tetapi apabila ada sahaja saranan supaya berbincang dengan UMNO dalam isu tertentu, Pemuda Pas terus diam seribu bahasa.

Kalau sekadar diam sahaja tidak mengapa, ini disusuli dengan kecaman dan tohmahan seolah-olah UMNO sebuah parti yang melukut tepi gantang seperti mana Pas dilayan dalam pakatan pembangkang.

Apa pun, sudah pasti penyokong dan ahli Pas ingin melihat sejauh manakah kebijaksanaan perwakilan Dewan Pemuda Pas menyusun barisan kepimpinan mereka.

Apakah barisan kepimpinan Pemuda Pas kali ini benar-benar memperkasakan parti itu dengan bersedia berhadapan dengan sesiapa termasuk sekutu parti tersebut atau sekadar menjadi pelengkap organisasi sahaja.

MIC perlu bina semula 'nambikei', atur strategi perjuangkan 'urimai'

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh Hassan Mohd. Noor

PEMILIHAN pucuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) diteruskan hujung bulan ini apabila MIC akan memilih barisan kepemimpinannya (2013-2016). Setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh G.Palanivel dan Dr. S.Subramaniam, tumpuan kini terarah kepada pemilihan naib presiden dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC). Lapan orang menawarkan diri untuk tiga jawatan naib presiden dan 88 orang untuk 23 jawatan anggota CWC. Bagi jawatan naib presiden, M.Saravanan dan S.K. Devamany mahu mempertahankan jawatan dan S.Sothinathan mahu menduduki semula kerusi yang pernah didudukinya. Lima lagi calon ialah S.A Vigneswaran, T.Mohan, Jaspal Singh, S.Balakrishnan dan C.Selvaraja. Bilangan ini meletakkan pemilihan kali ini sebagai paling ramai dalam sejarah pemilihan sejak MIC ditubuhkan pada tahun 1946. Adakah ruang untuk anggota parti menawarkan diri bertanding kini lebih terbuka berbanding pada masa lalu?

Eloklah anggota parti diberi ruang secukupnya kerana pemilihan parti merupakan proses demokrasi yang dapat menentukan hala tuju kepemimpinan parti. Cuma berhati-hati ketika menggunakan peluang itu kerana pemilihan juga boleh meruntuhkan perpaduan dan kesejahteraan sekiranya tidak dikawal lebih awal. Jika diselak kembali pemilihan pada masa lalu, tidak ramai yang menawarkan diri untuk jawatan No.3 dalam parti. Begitu juga bagi jawatan No.1 dan No.2. Detik-detik pemilihan MIC sebelum ini pada era S.Samy Vellu sebagai Presiden cukup dramatik dengan pelbagai insiden politik yang 'berwarna-warni' dan sering menjadi tumpuan. Pada setiap pemilihan, ada sahaja pemimpin yang dilahir dan digilap. Ada juga pemimpin yang 'dibunuh' karier politik mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan. Akibatnya, MIC kehilangan ramai pemimpin berpotensi yang menjauhkan diri malahan meninggalkan parti sama ada untuk menganggotai parti lain, menubuhkan parti baru, atau menyertai pihak pembangkang. Dilema tersebut turut menyebabkan, MIC hilang daya tarikan daripada kumpulan profesional yang suatu ketika dulu menjadi benteng kekuatan parti itu.

Menjelang pemilihan MIC, eloklah perwakilan melihat kembali senario pemilihan 2009. Apakah yang dijanjikan oleh calon-calon yang bertanding? Nilai semula calon-calon yang sekadar menawarkan diri untuk mengejar jawatan tetapi gagal memberi sumbangan kepada parti terutama pada pilihan raya umum (PRU).

Ingatlah nasib malang yang berlaku kepada MIC pada PRU 2008 dan 2013. Apakah kedudukan sebenar MIC ketika ini? Pada PRU 2008, MIC hanya memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRU lalu, menang empat kerusi Parlimen dan lima DUN.

Penganalisis politik, Anbumani Balan berkata, semua pemimpin MIC perlu menerima hakikat kedudukan parti itu selepas dua PRU. Bukan lagi masanya untuk anggota parti terutama peringkat pemimpin menunjukkan ego, bermain politik 'syok sendiri' ataupun bertindak seperti pemimpin 'jaguh kampung'. MIC perlu bangkit semula menggunakan seluruh kekuatan anggota parti itu, bukan sekadar meletakkan harapan kepada 1,500 perwakilan yang akan membuat pilihan hujung bulan ini.

Para perwakilan perlu membina semula nambikei ataupun keyakinan masyarakat India dengan mereka sendiri perlu bersikap jujur dan ikhlas. Dua perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan (bukan setakat MIC tetapi dalam mana-mana parti politik sekali pun) ialah menolak atau menyingkirkan pemimpin yang membeli undi kerana terlalu taksub mahu mengejar jawatan dan menolak budaya 'samseng'. MIC selepas dikecewakan pada PRU 2008 termasuk berakhirnya 'penguasaan' Samy Vellu, banyak cadangan, kritikan dan pandangan yang dilontarkan untuk memulihkan imej parti itu seiring dengan peredaran zaman yang semakin mencabar ini. Tetapi sejauh mana kejayaannya?

Proses transformasi, perubahan dan peremajaan politik hanya dapat dilaksana dan direalisasikan sekiranya semua anggota parti bersedia untuk menerimanya melalui pemikiran dan minda yang terbuka demi masa depan parti. Dalam hubungan ini, Anbumani juga berpendapat, anggota parti perlu keluar dari dilema penafian ke alam realiti dan kebenaran. Baginya, kini, bukanlah masa untuk menunjukkan kekuatan, kebolehan dan kemampuan dalam parti sendiri semata-mata mahu meraih jawatan. Gunakanlah segala hak dan kuasa sebagai anggota parti untuk memilih pasukan kepemimpinan yang bersih, cekap dan amanah yang dapat memimpin masyarakat India dan bukan sekadar mahu menjadi ketua untuk ahli-ahli parti sahaja. Jangan sampai pemilihan parti menular sehingga menjadi penyakit yang boleh merosakkan segala agenda transformasi parti itu. Masyarakat India sedang memerhatikan segala percaturan politik dalaman MIC dengan serius.

Ingatlah, permainan politik yang melampau boleh menyebabkan masyarakat India menyampah dan hilang keyakinan terhadap MIC. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengkaji dan menilai kekalahan parti di peringkat negeri secara terperinci pada PRU lalu. Masanya juga sudah tiba untuk MIC merombak semula pendekatan politik di peringkat negeri untuk memperkasakan kuasa politiknya yang ternyata kehilangan taring sejak PRU ke-12.

Setiap pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding perlu menjadi tunjang kekuatan MIC, bukan sekadar komponen 'kosmetik' dalam parti itu yang mahu bertanding untuk memuaskan proses demokrasi. MIC memerlukan kualiti bukannya kuantiti. MIC juga perlu ingat, status parti itu yang mewakili masyarakat India di negara ini semakin tergugat, terancam dan tercabar disebabkan kemunculan 'kuasa baharu' yang mahu menjadi saluran politik alternatif kepada masyarakat India. MIC perlu bersedia berdepan dengan segala cabaran, halangan dan rintangan yang mendatang dari semua arah untuk membina semula kewibawaan yang lebih menyerlah, tersusun dan terancang seperti mana yang diharapkan oleh masyarakat India di negara ini termasuk generasi muda.

Masyarakat India memerlukan kepemimpinan yang kuat untuk menangani segala permasalahan seiring dengan proses pembangunan negara. Banyak isu asas mengenai masyarakat India hanya diselesaikan secara adhoc yang turut menimbulkan pelbagai situasi yang kurang menyenangkan dari masa ke semasa. Fenomena seperti inilah yang memberikan tekanan dan cabaran kepada MIC untuk membawa suara masyarakat India ke peringkat atasan dengan lebih berani dan bertenaga untuk mencari penyelesaian yang efisien dan efektif.

MIC perlu merencanakan strategi baru untuk memperjuangkan urimai ataupun hak masyarakat India. Semuanya ini memerlukan kekuatan politik parti yang kini diterajui Palanivel.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved