Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Sektor francais disasar raih RM24.3 bilion 2014

Posted: 17 Nov 2013 03:26 AM PST

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sektor francais disasar menyumbang RM24.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Untuk tahun ini, katanya, sektor itu menyumbang RM23.6 bilion.

"Industri francais kini semakin berkembang dan setakat 13 Nov lalu sebanyak 684 syarikat francais dari pelbagai sektor sudah didaftar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Francais Komuniti Zon Tengah, di sini Ahad.

Menurut Hasan, Program Francais Komuniti yang dilancar pada 2011 juga menampakkan kejayaan dengan 280 francaisi mikro diwujudkan setakat ini.

Program Francais Komuniti Zon Tengah selama dua hari sejak semalam itu disertai oleh 23 syarikat francais, agensi berkaitan dan Persatuan Francais Malaysia yang menawarkan peluang perniagaan francais kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa kementerian, Mohd. Roslan Mahayudin yang turut hadir memberitahu pemberita, pihaknya tidak bercadang membenarkan anggotanya membawa pulang senjata api atau menambah bilangan senjata api yang diguna ketika operasi.

"Setakat ini dengan bilangan (senjata api) yang kementerian ada mencukupi kerana kita bukan menggunakan senjata api sepanjang masa.

Beliau ditanya sama ada pihaknya akan membenarkan anggota penguat kuasanya membawa senjata api sepanjang masa susulan kes ketua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang ditembak mati 10 November lepas. - BERNAMA

TPM hadir rumah terbuka Deepavali Kamalanathan

Posted: 17 Nov 2013 03:24 AM PST

RAWANG 17 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan di Bukit Beruntung di sini, Ahad.

Muhyiddin turut beramah mesra dengan pengunjung ke rumah terbuka anggota Parlimen Hulu Selangor itu.

Beliau turut menikmati hidangan tradisi masyarakat India. Hidangan tradisi masyarakat India yang dihidangkan termasuk roti canai, tosai, putu mayam dan muruku.

Selain menikmati hidangan, para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat India.

Kira-kira 5,000 tetamu terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum turut sama memeriahkan majlis rumah terbuka Kamalanathan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching. - BERNAMA

Kes bocor dokumen rasmi Kerajaan Johor diserah kepada polis

Posted: 17 Nov 2013 03:23 AM PST

PASIR GUDANG 17 Nov. - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat tindakan membocorkan kandungan dan menyebarkan Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung cadangan mengubah cuti mingguan negeri ini.

"Perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan belum diputuskan lagi. Perbuatan yang dilakukan ini menggambarkan sikap tidak amanah dalam merahsiakan hal sulit kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pernikahan beramai-ramai di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini Ahad.

Seramai 30 pasangan bernikah pada majlis yang dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Hospital Penawar Pasir Gudang.

"Walaupun laporan polis sudah dibuat tetapi setakat ini beliau masih belum mendapat sebarang perkembangan mengenai siasatan itu," kata Mohamed Khaled.

Tanpa menolak kemungkinan kejadian yang sama akan berulang disebabkan sifat tidak amanah itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak menubuhkan sebarang pasukan khas di peringkat jabatan ataupun negeri untuk melakukan siasatan.

Sejak awal minggu lalu, berita tentang pertukaran hujung minggu negeri Johor daripada hari Ahad kepada hari Jumaat berkuat kuasa pada Januari tahun depan mula tersebar di laman sosial tanpa ada sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu oleh kerajaan negeri.

Lebih memeranjatkan apabila gambar dokumen sulit mengenai perkara itu yang dialamatkan kepada SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 turut dimuat naik dalam laman sosial itu bagi menyokong berita berkenaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved