Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bantu jana ekonomi penduduk

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIRKRI
utusanjohor@utusan.com.my

TEE Siew Kiong (kiri) menyaksikan penyampaian cendermata kepada Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Mah dalam Majlis Makan Malam di Pekan Parit Sikom, Pontian, malam kelmarin.

PONTIAN 16 Nov. - Jawatankuasa Pelancongan Daerah perlu merangka Pelan Induk Pelancongan (PIP) masing-masing bagi memastikan sektor tersebut mampu menjana ekonomi penduduk setempat bagi jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, PIP penting bagi menyusun aktiviti pelancongan dengan lebih teratur dan berkesan serta menjadi pengukur sejauh mana produk-produk pelancongan yang ada mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, maklumat atau data setiap produk pelancongan sama ada melibatkan tempat penginapan, makanan, tempat rekreasi, pengeluar cenderahati serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) perlu dijadikan teras utama penyediaannya.

"Kita juga meminta Jawatankuasa Pelancongan Daerah mengenal pasti ikon atau tarikan utama di setiap daerah bagi memudahkan Jabatan Pelancongan negeri membantu mempromosikan tarikan tersebut.

"Sebagai contoh, bagi daerah Pontian terkenal dengan lokasi Penghujung Benua Asia dan Kukup Laut, Kota Tinggi dengan warisan sejarah, Mersing dengan pantai dan pulau-pulau, Batu Pahat terkenal dengan produk seramik serta IKS," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Mah, Parit Sikom, di sini malam tadi.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, walaupun telah ada perancangan bagi meningkatkan sektor pelancongan tempatan, penubuhan PIP dapat memperkasakan lagi sektor berkenaan.

"Usaha ini bukan sahaja bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014, tetapi sebagai perancangan jangka panjang dengan semua pihak yang perlu mengambil peluang dengan setiap kelebihan yang ada," katanya.

Beliau turut meminta agensi pelancongan membawa pelancong asing yang melawat Taman Tema Legoland dan Hello Kitty memperkenalkan lokasi dan produk pelancongan yang ada di kawasan berhampiran seperti Gelang Patah, Pekan Nanas dan Johor Bahru.

Menurutnya, para pelancong boleh dibawa menikmati suasana kampung terutama pada musim buah-buahan serta merasai keenakan makanan tradisional seperti nasi ambeng, burasak, otak-otak, mi bandung, mi rebus, rojak dan asam pedas.

Sehubungan itu beliau berharap kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014 turut meningkatkan pendapatan para pengusaha IKS, mahupun mereka yang menjayakan perniagaan secara kecil-kecilan di kampung-kampung.

Rakan murid perlu pelbagai kaum

Posted: 16 Nov 2013 10:15 AM PST

MOHD. Azahar Ibrahim menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar Tabika Perpaduan sambil diperhatikan oleh Mohd. Madrisham Mokhtar (kiri) di Dewan Majlis Daerah Labis, baru-baru ini.

LABIS 16 Nov. - Golongan ibu bapa diminta mendedah dan menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan rakan sebaya daripada kaum lain untuk menyemai dan mengukuhkan semangat perpaduan di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, walaupun Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Perpaduan sebagai usaha memberi pendedahan dan pemahaman tentang konsep masyarakat majmuk kepada kanak-kanak, namun peranan ibu bapa di rumah amat penting bagi membantu meningkatkan perpaduan antara kaum kepada anak mereka.

"Bagi mencapai tujuan tersebut, ibu bapa harus meningkatkan kreativiti mereka dengan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di sekolah agar kebolehan anak-anak mereka dapat berkembang dan sentiasa menggalakkan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan sebaya daripada kaum lain," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Tabikarama dan Hari Graduasi Tabika Perpaduan Daerah Segamat di Dewan Majlis Daerah Labis, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pegawai Perpaduan Daerah Segamat, Mohd. Madrisham Mokhtar dan Pengerusi JPTP Tabika Perpaduan Daerah Segamat, Tahir Abdullah.

Dalam majlis tersebut, seramai 554 kanak-kanak prasekolah dari 26 Tabika Perpaduan di daerah ini diraikan dan diberi peluang menonjolkan bakat dengan membuat persembahan tarian dan nyanyian.

Mohd. Azahar berkata, bidang pendidikan pada hari ini berbeza dan lebih mencabar berbanding dahulu kerana banyak dipengaruhi oleh ledakan teknologi maklumat (IT) dan ibu bapa seharusnya bergerak seiring dengan keperluan semasa, di samping sentiasa memantau aktiviti anak-anak.

"Oleh itu, ibu bapa dan guru di peringkat prasekolah tiada pilihan melainkan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang IT kerana aspek itu merupakan satu keperluan dan tuntutan semasa.

"Dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan seperti program kampung tanpa wayar yang membolehkan kemampuan mengakses internet dengan lebih meluas, kita tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak berusaha memajukan diri," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved