Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Keselesaan OKU diutama

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
utusankota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kanan) mengiringi Raja Azureen Sultan Azlan Shah bermesra dengan sebahagian peserta OKU pada Karnival Jom Kasih, Istimewa-Untukmu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited mempertingkatkan semua prasarana bagi keperluan orang kurang upaya (OKU) di ibu kota selaras dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini termasuk mewujudkan kemudahan-kemudahan yang mesra OKU seperti laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, tempat meletak kenderaan khas dan sebagainya.

Menurutnya, sebagai bandar raya bertaraf dunia yang tersenarai sebagai "World Liveable City" selain keselesaan golongan itu turut diutamakan warga emas.

"Mengikut Pelan Strategik DBKL 2010 - 2020, kita akan memberikan penumpuan satu Reka Bentuk Sejagat atau "Universal Design" yang mengambil kira keupayaan OKU dengan menyediakan pelbagai infrastruktur dan persekitaran untuk golongan ini.

''Bagi memastikan perancangan ini terlaksana kerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi-agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dijalin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Karnival Jom Kasih "Istimewa - Untukmu" di sini, hari ini.

Majlis diadakan bersempena lawatan Penaung Pertubuhan Menunggang Kuda Bagi Orang Kurang Upaya (RDA) Malaysia, Raja Datuk Seri Azureen Ibni Sultan Azlan Shah ke RDA Cawangan DBKL Unit Rekreasi Berkuda Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Equestrian Malaysia, Datuk Othman Talib dan Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd.

Ahmad Phesal berkata, sejak RDA cawangan DBKL dibuka Jun lalu seramai 570 OKU dari seluruh Kuala Lumpur menerima manfaat melalui Program Terapi Berkuda yang diperkenalkan.

Sementara itu mengulas mengenai kebimbangan warga kota mengenai kenaikan cuki taksiran DBKL, pihaknya akan memperjelaskan secara terperinci dalam tempoh terdekat..

Katanya, apa yang berlaku adalah perkiraan mengikut kadar semasa hari ini setelah mengambil kira selama 21 tahun cukai itu tidak dinaikkan.

I&P buka perpustakaan awam pertama di Bukit Damansara Utama

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Syarikat I&P Group Sdn. Bhd. meluaskan program khidmat masyarakatnya (CSR) dengan membuka sebuah perpustakaan awam pertama milik mereka di Bukit Damansara dekat sini.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembinaan perpustakaan yang dibuka kepada orang ramai itu bertujuan memupuk minat membaca dan menambah ilmu dalam kalangan masyarakat.

"Perpustakaan ini mempunyai sebanyak 9,500 buah buku serta 768 buah buku yang dipinjamkan daripada perpustakaan peribadi saya sendiri serta dilengkapi sebuah kafeteria untuk keselesaan pengunjung.

"Pembinaan perpustakaan dua tingkat ini melibatkan kos sebanyak RM6.2 juta serta mempunyai reka bentuk berkonsepkan estetik pasca moden iaitu gabungan antara konsep moden dan tradisional," katanya ketika berucap merasmikan perpustakaan itu hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Raslin Abu Bakar, Pengarah Urusan I&P Group, Datuk Ir. Jamaluddin Osman dan wakil persatuan-persatuan penduduk Bukit Damansara.

Menurut Ahmad Sarji, bagi mewujudkan sebuah perpustakaan terbaik dan mudah diakses, perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di perpustakaan itu diuruskan sepenuhnya PNM.

Tambahnya, pengunjung hanya perlu mendaftar sebagai ahli menggunakan MyKad bagi warga Malaysia serta pasport bagi warga asing dan setakat ini perpustakaan tersebut mempunyai sebanyak 1,100 ahli.

"Perpustakaan ini beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan hanya ditutup setiap Isnin dan pada cuti umum," katanya.

Cadang SK Setapak sebagai sekolah warisan - Omardin

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Omardin Mauju ( depan kanan ) memberi kata-kata semangat kepada murid-murid selepas merasmikan majlis Hari Anugerah Cemerlang 2013 di SK Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sekolah Kebangsaan Setapak yang berusia 120 tahun dicadangkan supaya dijadikan sebuah sekolah warisan kerana merupakan sekolah tertua di kawasan Setapak.

Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, selaku bekas pelajar sekolah tersebut, beliau telah mengusulkan cadangan tersebut kepada pihak Kementerian Pendidikan tiga hari lalu kerana berpendapat sekolah itu layak untuk diangkat menjadi sekolah warisan di Wilayah Persekutuan.

"Ini adalah matlamat terakhir saya untuk sekolah yang banyak berjasa kepada saya. Tanpa warga pendidik di sini, saya tidak dapat mencapai kejayaan seperti apa yang saya peroleh sekarang.

"Saya percaya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyokong usaha untuk menaik taraf sekolah ini menjadi sekolah warisan.

"Pihak kementerian juga meminta sekolah ini menghantar surat sokongan mengenai cadangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah itu hari ini. Yang turut hadir, Pengetua sekolah berkenaan, Hasnah Daud.

Kira-kira 150 murid menerima anugerah tersebut dalam majlis itu.

Sementara itu, Hasnah berkata, beliau menyambut baik cadangan untuk menaik taraf sekolah itu sebagai sekolah warisan.

"Kami amat berbesar hati supaya sekolah ini diiktiraf kerana sebelum ini sekolah kami amat daif dari segi infrastruktur namun kini telah dibaiki sepenuhnya," jelasnya.

"Beliau (Omardin) merupakan bekas pelajar di sini dan menghargai sekolah ini. Selain beliau, sekolah ini turut melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berjaya di negara ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved