Ahad, 17 November 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Golf GTI Mk7 mengkagumkan

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Ciri-ciri rekaan VW masih diterapkan dalam kenderaan yang menjadi idaman ramai ini.

GARISAN merah yang merentasi jeriji hadapan terputus di tengah oleh logo bulat dengan huruf VW sudah cukup memberikan keghairahan kepada peminat kereta sport kompak apabila melihat kenderaan ini.

Kereta yang dimaksudkan adalah Golf GTI Mk7 yang baru sahaja menjengah pasaran tempatan dengan rekaan lebih lebar, panjang dan rendah dari model standard.

Perubahan rekaan luar sangat mudah dikesan apabila memandang model ini dan tidak perlu diceritakan terlalu panjang. Yang utama adalah garisan merah telah dipanjangkan sehingga ke hujung lampu hadapan berbanding hanya pada jeriji sebelum ini.

Tidak puas jika tidak bercerita tentang enjinnya, kerana telah ditingkatkan sebanyak 10PS kepada 220PS pada 4,500 hingga 6,200 rpm dan kuasa kilasan maksimum ditingkatkan kepada 280Nm pada 1,500 hingga 4,400 rpm berbanding model sebelum ini.

Gabungan dua penambahbaikan dan pengurangan berat kereta sebanyak 42 kilogram, Golf GTI mampu memecut sehingga 244 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.5 saat, 0.4 saat lebih baik dari model Mk6.

Kepantasan memecut kereta baharu ini cukup memberi keyakinan semasa pemanduan agresif, selain dibantu respons stereng yang dipertingkat kepada lebih ringan dan kurang kadar pusingan ketika membelok.

Dari dalam kabin, bunyi ekzos berkembar yang dihasilkan masih seronok didengar ketika memecut walaupun masih dilaras mengikut piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pembeli kereta ini pasti membuat ubah suai untuk lebih kepuasan.

RUANG kabin yang selesa dan memudahkan pemandu.

Sepanjang tiga hari menguji kenderaan ini melalui corak pemanduan bandar dan lebuh raya, Golf GTI sangat selesa dipandu dengan ruang kabin yang agak senyap, sistem penyerap hentak yang tidak terlalu keras, kerusi 'bucket' yang selesa, ruang kaki penumpang belakang yang luas dan respons brek yang cukup lancar.

Secara keseluruhan prestasi pemanduan Golf GTI memang tidak ada cacat cela dan sebab itu model ini sentiasa dinantikan peminatnya.

Mengulas di luar sudut sport pula, Golf GTI ini menawarkan lima mod pemanduan yang boleh dilaraskan melalui skrin sesentuh LCD iaitu comfort/normal/sport/eco/personal dengan setiap mod, pergerakan gear dilaras secara automatik.

Sebagai contoh, apabila mod eco dipilih, pertukaran gear akan berlaku lebih pantas dengan mencapai gear terakhir pada kelajuan 80 km/j. Ini satu keseronokan tambahan kepada kereta sport kerana di Malaysia anda pasti berdepan dengan kesesakan jalan raya dan mod seperti ini pasti memanjangkan tempoh kekerapan mengisi semula minyak.

Turut dilengkapi dengan sistem henti enjin secara automatik ketika kereta berhenti dan hidup semula apabila pedal minyak ditekan.

Keunikan lain sistem eco Golf GTI adalah sistem eco tips bagi membantu pemandu mencapai pemanduan ekonomi. Sebagai contoh, apabila tingkap terbuka semasa memandu, eco tips akan terpapar pada bawah meter kelajuan supaya tingkap ditutup semula.

Pemanduan juga terasa sangat santai pada mod eco dan dibantu pula dengan panel rehat tangan di tengah yang membantu menambah keselesaan pemanduan.

Apabila mod sport dilaras semula, sedikit henjutan dapat dirasai apabila tambahan sebanyak 1,500 rpm berbanding mod eco. Kini Golf GTI sesuai untuk pelbagai corak pemanduan dan bukan hanya untuk kelajuan semata-mata.

Penulis juga sangat berpuas hati dengan mod pencahayaan kabin Golf GTI kerana menawarkan identiti sendiri dengan garisan lampu lED merah pada pintu hadapan dan bahagian 'door step'. Paling penting pemandu tidak 'buta' pada waktu malam untuk mengesan setiap butang kawalan kerana semuanya bercahaya.

Trak Quester kini di pasaran Malaysia

Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST

TAN Keng Meng (empat dari kiri) dan Joachim Rosenberg (dua dari kanan) bersama pengurusan kanan Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd., Tan Chong Holdings Berhad, Volvo Group Malaysia dan UD Trucks bergambar pada majlis pelancaran trak Quester di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd. (TCIE), telah memperkenalkan trak Quester untuk pasaran Malaysia.

Quester diimport menerusi pengeluar trak dari Jepun, UD Trucks Corporation.

Trak itu dicipta bagi menjalankan tugas berat yang baharu dan moden serta telah direka untuk memenuhi pelbagai fungsi dan aplikasi di dalam industri perlombongan, pembinaan, pengedaran dan pengangkutan jarak jauh.

Pengarah Eksekutif TCIE, Tan Keng Meng berkata, trak tersebut amat bersesuaian di pasaran Asia yang sedang pesat berkembang dan ia akan melangkah lebih jauh lagi.

Katanya, pelancaran itu melambangkan komitmen dan dedikasi UD Trucks untuk memperkukuhkan lagi kehadiran mereka dan bersaing di dalam pasaran di Malaysia.

"TCIE telah menjadi pembekal tunggal bagi UD Trucks di Malaysia selama lebih daripada 35 tahun dan produk serta jenama UD Trucks telah dikaitkan sebagai peneraju pasaran di Malaysia semenjak sekian lama.

"Kami mengalu-alukan pelancaran Quester yang baru ini di pasaran,'' katanya pada majlis pelancaran trak baharu itu di sini baru-baru ini.

Tambah Keng Meng, memandangkan trak terbaharu daripada UD Trucks ini menampilkan teknologi canggih yang telah dibangunkan khas untuk dunia pengangkutan berat, pihaknya yakin bahawa trak ini telah direka khusus untuk para pelanggan yang berada di dalam industri bertepatan.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Kumpulan Volvo dan Pengerusi UD Trucks, Joachim Rosenberg berkata, dengan Quester, UD Trucks kini memasuki era baru dengan memperkenalkan siri trak tambahan yang direka khas untuk pasaran yang sedang pesat berkembang.

Terkini, TCIE telah menjadikan UD Trucks sebagai salah satu jenama pengeluar yang menerajui pasaran di Malaysia.

"Sejumlah 42,000 kenderaan yang dikeluarkan oleh UD Trucks kini berada di jalan raya di Malaysia," ujarnya.

TCIE mempamerkan Quester di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) yang bermula 14 November lepas hingga 24 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. - ZIININE. AM

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved