Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perak kaji tambah bilangan Tadika Islam

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 6 Okt. - Kerajaan negeri sedia menambah jumlah Tadika Islam Perak di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di seluruh negeri bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria (gambar) berkata, langkah itu berikutan peningkatan tahap kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendidikan agama di peringkat prasekolah.

Beliau berkata, walaupun beberapa agensi kerajaan, organisasi persendirian serta pihak swasta turut menawarkan pendidikan prasekolah berteraskan agama, Tadika Islam Perak masih menjadi pilihan.

"Harapan kerajaan negeri cukup tinggi untuk melihat lebih ramai kanak-kanak di seluruh negeri mendapat tempat di Tadika Islam Perak kelolaan JAIPK ini.

"Oleh itu, kerajaan negeri melalui JAIPk akan membuat kajian keperluan, namun penambahan tadika-tadika baharu ini juga akan bersandarkan pada kemampuan tenaga pengajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ihtifal Tadika Islam Perak di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan bilangan Tadika Islam Perak turut diperlukan terutama di kawasan-kawasan perumahan dan penempatan baharu khususnya di sekitar bandar.

Menurut beliau, ketika ini, terdapat sebanyak 74 buah Tadika Islam Perak beroperasi di seluruh negeri melibatkan 2,350 orang murid.

"Kita berharap 149 tenaga pengajar yang berkhidmat ketika ini dapat mempertingkat kualiti pengajaran dari semasa ke semasa.

"Langkah ini sekali gus mampu menarik minat lebih ramai masyarakat untuk memilih Tadika Islam Perak sebagai tempat prasekolah untuk anak-anak mereka," katanya.

Perkasa Kedah lancar program Melayu Bantu Melayu

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Syed Osman Mansor

SUNGAI PETANI 6 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah memperkenal program Melayu Bantu Melayu (MBM) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu supaya mengutamakan kaum itu dalam kegiatan dan urusan ekonomi.

Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Mansor berkata, program itu merupakan satu slogan ke arah 'Beli Barangan Melayu' bagi membantu mereka bersaing dan berjaya dalam bidang berkenaan.

"Sudah tiba masanya orang Melayu menanam semangat untuk bersatu, saling membantu dan sedar mereka sahaja yang dapat membantu kaum sendiri," katanya dalam majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Khas Perkasa Kedah di Institut Kemahiran Mara di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang turut melancarkan secara rasmi program MBM tersebut.

Syed Osman berkata, bagi tujuan itu, pihak sekretariat program berkenaan mewujudkan sebuah portal niaga khas yang memberi maklumat sebanyak mungkin mengenai hasil produk orang Melayu.

Katanya, portal berkenaan yang mula beroperasi sejak dua minggu lalu turut memaparkan maklumat tentang premis perniagaan orang Melayu dan perkhidmatan ditawarkan mereka.

"Selain mempromosikan barangan, premis perniagaan dan perkhidmatan milik orang Melayu, MBM secara tidak langsung dapat memperkasakan ekonomi peniaga-peniaga Melayu.

"Portal niaga MBM ini menggunakan alamat www.melayuniaga.com.my yang turut mempunyai pautan kepada carian-carian lain secara lebih terperinci," katanya.

Tambahnya, ahli Perkasa khususnya dan orang Melayu amnya digalak memberi sumbangan ke arah menjayakan program ekonomi Melayu dengan menyampaikan sebarang maklumat yang ditawarkan oleh kaum itu di sekitar tempat tinggal masing-masing.

Katanya, maklumat berkenaan boleh disampaikan kepada sekretariat MBM menerusi e-mel perkasaniaga@gmail.com.

Gerakan Kedah tubuh Jawatankuasa PRK DUN Sg. Limau

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

ALOR SETAR 6 Okt. - Parti Gerakan Kedah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN itu.

Pengerusi Gerakan Kedah, Dr. Cheah Soon Hai berkata, jawatankuasa itu yang dianggotai pemimpin Gerakan dari Pulau Pinang, Perak, Johor Bahru, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan ditubuhkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Limau.

"Bilik gerakan juga akan dibuka di pekan Sungai Limau Dalam dan ahli-ahli Gerakan kini sudah bergerak mendekati pengundi-pengundi Cina seramai 1,838 orang di DUN Sungai Limau.

"Kami juga sedang berusaha mengesan pengundi Cina yang tidak lagi tinggal di Sungai Limau dan mereka kini tinggal di Pulau Pinang, Alor Setar dan Sungai Petani.

"Kami mengambil pendekatan untuk mendekati pengundi secara dari rumah ke rumah bagi menerangkan kepada mereka mengapa BN perlu menang di DUN Sungai Limau," katanya kepada pemberita di Pejabat Gerakan Kedah di sini hari ini.

Menurut Soon Hai, sebanyak 40 peratus pengundi merupakan pengundi muda dan pihaknya akan berusaha menarik kembali sokongan mereka terhadap BN.

"Banyak pengundi Cina bekerja sebagai peniaga dan petani, kami tidak lagi akan menggunakan kempen berceramah secara besar-besaran.

"Kami akan adakan ceramah dalam bentuk kekeluargaan sahaja, kumpul mereka di dalam kelompok kecil dan bercakap dengan mereka," katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya PRK Sungai Limau bukan tugas mudah namun dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, harapan bagi BN merampas kerusi tersebut daripada Pas cerah.

"Saya yakin penduduk di Sungai Limau akan membuat pilihan yang tepat setelah mereka melihat cara Mukhriz mentadbir negeri ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved