Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Program SDSI disusun semula

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) melihat produk yang dipamerkan sempena majlis penutupan Showcase Satu Daerah Satu Industri di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 6 Okt. - Kerajaan negeri akan menyusun semula pelaksanaan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi memastikan matlamatnya mengetengah dan mencipta identiti sesebuah daerah dengan satu industri dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi tujuan tersebut, setiap pegawai daerah perlu mengenal pasti industri yang sesuai untuk diketengahkan sekali gus menjadi identiti kepada daerah masing-masing.

"Pegawai daerah akan bertanggungjawab dalam pelbagai aspek daripada mengenal pasti industri yang sesuai, membuat perancangan dan pelan tindakan termasuk memastikan penglibatan masyarakat bagi menjayakan program SDSI ini.

"Sebagai contoh, bila sebut daerah Pontian, orang akan kenalinya dengan industri nanas. Kita mahu daerah tersebut bersedia daripada peringkat penanaman, pemprosesan sehinggalah pemasaran produk di dalam dan luar negara," katanya dalam majlis perasmian penutup Showcase SDSI di Plaza Angsana, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Cemerlang negeri Johor kepada Pengarah Urusan Jalen Sdn. Bhd., Datuk Abdul Jalil Long dan melawat 50 gerai pameran yang disertai usahawan-usahawan dari seluruh daerah di negeri ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Timbalan Pengarah II (Pembangunan) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Dr. Badrul Hisham Kassim.

Menurut Mohamed Khaled, langkah terbaharu yang diambil itu bukan sahaja akan meningkatkan mutu sesebuah produk dan melonjakkan sesebuah industri, malah dapat melahirkan lebih ramai usahawan.

Bangunkan nilai sejarah pesisir Sungai Johor

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Asiah Md. Arif menyampaikan peralatan muzik kepada wakil guru SK Johor Kampung sempena Program Merakyatkan Seni Budaya Sentuhan Rakyat di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, semalam. - utusan/FARIK SALLEH

KOTA TINGGI 6 Okt. - Projek Kembara Wangsa bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk terutamanya mereka yang tinggal sekitar kawasan Sungai Johor dan kerajaan negeri dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek yang membabitkan tiga fasa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md. Ariff berkata, projek yang melibatkan kos RM50 juta itu merupakan salah satu usaha pihak kerajaan negeri untuk mengetengahkan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di sepanjang pesisiran sungai tersebut kepada orang ramai.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dalam lawatan kerjanya ke Kota Tinggi di mana dalam taklimat tersebut beliau telah dibentangkan mengenai projek tersebut oleh pegawai daerah. Ia melibatkan beberapa kampung di sepanjang pesisiran Sungai Johor dalam kawasan DUN Johor Lama dan DUN Pasir Raja.

"Malah Menteri Besar juga pada dasarnya telah bersetuju dengan program tersebut kerana ia secara tidak langsung telah mengetengahkan mengenai asal usul sejarah negeri Johor," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Merakyatkan Seni Budaya 'Sentuhan Rakyat' di Kampung Johor Lama, di sini semalam.

Yang turut hadir, wakil pegawai daerah Kota Tinggi, Wan Ismail Wan Ngah; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor, Abdul Hamid Muhamad; Penghulu Mukim Johor Lama, Muhammad Nazri Kasman dan Ketua Kampung Johor Lama, Mohd. Amin Jantan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian bungkusan keperluan asas kepada 25 penduduk kurang berkemampuan dari lima buah kampung dalam kawasan DUN Johor Lama serta pemberian cek bernilai RM30,000 sumbangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negera, Johor kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) Johor Lama.

Asiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti nilai untuk kerja-kerja pengambilan tanah berikutan terdapat tanah yang terlibat mempunyai pemiliknya.

"Bukan sahaja Johor Lama tetapi penduduk sekitar Sungai Johor akan mendapat banyak faedah dan ia turut memberi peluang meningkatkan ekonomi dan pendapatan menerusi industri kecil," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved