Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM suarakan kebimbangan terhadap TPPA

Posted: 07 Oct 2013 02:28 AM PDT

NUSA DUA (BALI) 7 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyuarakan kebimbangan beliau mengenai beberapa bidang dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), pada dialog Sidang Kemuncak CEO Apec mengenai 'Pelaburan dalam Infrastruktur dan Modal Insan - Melabur untuk Daya Tahan Ekonomi' di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa 'fleksibiliti' merupakan kunci utama kejayaan rundingan perjanjian itu.

"Kami mempunyai beberapa kebimbangan utama memandangkan TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang berbeza," kata Perdana Menteri yang juga anggota panel dialog itu bersama Presiden Mexico Enrique Pena Nieto, sebagai respons kepada pertanyaan moderator, Diane Brady, editor kanan Bloomberg mengenai kebimbangan beliau terhadap TPPA.

Najib berkata TPPA melepasi perdagangan dan pelaburan biasa Perjanjian Perdagangan Bebas yang Malaysia laksanakan bersama banyak negara.

"Apabila melihat lebih mendalam, dalam bidang harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, anda mencerobohi hak kedaulatan sesebuah negara dalam membuat peraturan dan dasar.

"Ini merupakan bahagian yang sukar, dan itu sebab kami minta ia lebih fleksibel," katanya.

Semalam, Najib berkata, perjanjian TPP dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk dimuktamadkan berbanding tarikh awalnya hujung tahun ini.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan oleh negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik - Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri hari ini memberitahu Dewan Negara, kerajaan akan memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak di kompromi dalam rundingan pakatan perdagangan yang sedang berjalan.

Sementara itu, beliau yang ditanya mengenai kepentingan Bumiputera atau dasar tindakan affirmatif untuk daya tahan negara, Najib berkata:

"Dasar Bumiputera perlu dilihat dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama memandangkan Bumiputera membabitkan 67 peratus penduduk, termasuk Islam dan Bumiputera bukan Islam selain di Sabah dan Sarawak."

Beliau berkata, jika Bumiputera ketinggalan atau dipinggirkan, ia tidak akan dapat mewujudkan kestabilan jangka panjang dalam negara.

Untuk masa depan, Najib berkata dasar itu akan dilaksanakan secara mesra pasaran dan berbeza daripada masa lampau yang mengundang kritikal.

"Jika ia dilaksanakan secara lebih adil dan mesra pasaran, saya yakin ia membawa kebaikan kepada negara," katanya dan menambah walaupun dasar itu dilaksanakan, bukan Bumiputera masih mendapat manfaat daripada dasar yang sama. - BERNAMA

Bekas Pengarah Pendidikan NS meninggal dunia

Posted: 07 Oct 2013 02:25 AM PDT

SEREMBAN 7 Okt. - Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Rohani Sharif meninggal dunia di kediamannya di Taman Senawang Jaya, di sini hari ini.

Rohani, 64, meninggal dunia kira-kira 8.45 pagi akibat kanser prostat.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Allahyarham meneraju Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dari 2003 hingga 2005.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang selepas solat Zohor.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata institusi tersebut kehilangan seorang tokoh yang banyak menyumbang idea dan kepakaran dalam memajukan sektor pendidikan di negeri berkenaan.

"Arwah merupakan individu yang mencadangkan pelaksanaan sekolah agama petang di negeri ini. Arwah sangat rajin dan sentiasa memikirkan usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini bersama-sama Menteri Besar bagi menjayakan hasrat Kerajaan Negeri," katanya ketika dihubungi.

Kalsom berkata, walaupun arwah sudah bersara namun beliau tetap bergiat aktif dalam aktiviti membabitkan Jabatan Pendidikan negeri dan warga pendidik. - BERNAMA

Kerajaan Pas Kelantan terus khayalkan rakyat dengan royalti

Posted: 07 Oct 2013 02:18 AM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan MOHD. HAFIZ MUTALIB

KOTA BHARU 7 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan terus menggunakan isu royalti minyak untuk mengkhayalkan rakyat negeri ini.

Ia jelas apabila Mereka sekali lagi mengulangi apa yang dilakukan pada tahun lepas iaitu memasukkan hasil royalti minyak sebanyak kira-kira RM200 juta atau 36.41 peratus daripada RM549.26 juta anggaran hasil negeri untuk bajet 2014 biarpun ia masih dalam proses perundangan.

Kemasukkan hasil royalti itu melonjakkan hasil pendapatan kerajaan negeri yang meliputi hasil cukai sebanyak RM311.12 juta, hasil bukan cukai (RM133.05 juta) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM105.08 juta.

Bajet bertemakan 'Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri' dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved