Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


JKKK, JKKB terima elaun RM2.6j

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Hasan Rahman (dua dari kanan) menerima replika cek bernilai RM2.6 juta dari Mohd. Shafie Apdal pada majlis Bersama JKKK Melaka di Dewan Tun Razak, INFRA, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

MELAKA 6 Okt. - Sebanyak RM2.6 juta bayaran elaun bagi setengah bulan kedua tahun ini diterima oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu akan mula diagih-agihkan kepada 293 JKKK dan JKKB negeri.

Menurutnya, pembayaran elaun tersebut secara keseluruhan dibayar kepada pengerusi, setiausaha, elaun pengendalian mesyuarat, elaun menghadiri mesyuarat dan elaun ahli jawatankuasa JKKK serta JKKKB.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang mempercepatkan pembayaran elaun untuk diagih-agihkan kepada semua 293 JKKK dan JKKB di seluruh negeri ini.

''Pembayaran elaun ini akan diberikan selewat-lewatnya minggu hadapan secara berperingkat-peringkat bagi melegakan semua yang terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Hasan mewakili kerajaan negeri menerima cek bernilai RM2.6 juta itu daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam Majlis Bersama JKKK Melaka di Dewan Tun Razak, INFRA, Bangi di Selangor kelmarin.

Menurut Hasan, bayaran elaun itu melibatkan pengerusi menerima RM800, setiausaha (RM200), elaun menghadiri mesyuarat (RM100), elaun pengendalian mesyuarat (RM100) dan Ahli Jawatankuasa (RM50).

Dalam pada itu Hasan berkata, pihak kementerian akan menimbangkan cadangan agar elaun Ahli Jawatankuasa dinaikkan daripada RM50 kepada RM100.

''Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mohd. Shafie pada pertemuan singkat dan beliau bersedia membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi," katanya.

Sikap masyarakat antara faktor denggi meningkat

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

MELAKA 6 Okt. - Sikap dan tingkah laku masyarakat yang tidak meluangkan masa untuk memeriksa rumah serta kawasan sekitar antara faktor penyumbang pembiakan aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, kegagalan masyarakat mengambil berat tentang tempat-tempat yang berpotensi membiakkan aedes menyukarkan matlamat menjadikan Melaka bebas daripada denggi.

"Setiap anggota keluarga diminta meluangkan masa selama lebih kurang 10 minit setiap minggu bagi memastikan rumah dan kawasan sekitar mereka tiada tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Menerusi program di bawah Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi), kita mahu mendidik dan menganjurkan masyarakat supaya meluangkan masa memeriksa kawasan sekitar sekolah, rumah atau premis masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pencegahan Denggi Menerusi Combi peringkat negeri anjuran Pejabat Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri serta Jabatan Kesihatan negeri yang menghimpunkan lebih 20 peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri.

Hadir sama pada program itu ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Vektor) Cawangan Penyakit Bawaan Vektor negeri, Dr. Nur Aishah Buang dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rosdi Abd. Rahman.

Menurutnya, sejak dua bulan lalu, statistik demam denggi di negeri ini menunjukkan angka yang tinggi dengan peningkatan lebih 82 peratus atau 692 kes sejak Januari lalu serta enam kematian termasuk seorang bayi berusia lapan bulan.

Katanya, sehingga 4 Oktober lalu, Melaka Tengah mencatat 582 kes, Alor Gajah (69 kes) dan Jasin (41 kes) berbanding 380 kes yang dicatatkan antara Januari hingga Oktober tahun lalu.

Menurut Ab. Rahaman, satu seminar khas bagi mengekang penularan penyakit itu akan diadakan tidak lama lagi bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat tentang bahaya denggi.

"Seminar yang akan dinamakan Seminar Gempur Aedes itu akan diadakan secara besar-besaran di negeri ini dan pada minggu depan saya akan kemukakan cadangan ini dalam mesyuarat exco," katanya.

Tenaga ramai anak muda amat diperlukan dalam PDRM, ATM

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Mohamad Hasan mendengar penerangan ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan Hari Sambutan Terbuka Kolaborasi PDRM dan ATM di Padang Majlis Perbandaran Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 6 Okt. - Generasi muda khususnya belia di negeri ini disaran menabur bakti dengan menyertai pasukan keselamatan bagi memastikan kelangsungan dan kedaulatan negara dapat dikekalkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, khidmat mereka dalam menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat ditagih bagi memastikan kesinambungan perjuangan mereka dalam keamanan negara dapat terus dinikmati.

''Memang hasrat kerajaan terutamanya PDRM dan ATM untuk menarik ramai anak-anak muda untuk menganggotai kedua-dua agensi ini kerana tenaga anak muda amat diperlukan.

''Khidmat mereka ini amat kita tagih agar kedua-dua agensi ini dapat diremajakan selain setiap tahun kita lihat beribu anggota pasukan yang berpencen dan tempat mereka itu perlu diisi dengan segera," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Kolaborasi PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan Kelapan (NBOS 8) di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini semalam.

Yang turut hadir, Panglima 1 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Adanan Abu Bakar dan Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd. Manan Mhd. Hassan.

Mohamad juga menjelaskan, menerusi jelajah oleh pihak PDRM dan ATM ke seluruh negeri setiap tahun, ramai anak muda berbilang kaum berminat menganggotai pasukan itu.

"Dahulu hanya satu kaum yang berminat untuk menyertai tentera dan polis tetapi sekarang ramai daripada bukan bumiputera yang berminat menganggotai angkatan tentera dan polis

''Kita harap penyertaan mereka dalam kedua-dua pasukan keselamatan bukan sahaja dapat mendidik mereka membina jati diri serta disiplin malahan bersedia untuk berkhidmat bagi mempertahankan negara," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved