Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk tanggung derita

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian penghuni Pangsapuri Magna Pelangi, Kepong berkumpul semalam bagi menggesa Syarikat Bekalan Air selangor Sdn. Bhd. (Syabas) segera melaksanakan proses migrasi meter air daripada pukal kepada individu bagi mengelakkan masalah pemotongan bekalan air berlaku di pangsapuri mereka.

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kira-kira 2,000 penduduk di Pangsapuri Pelangi Magna, Kepong di sini hari ini berkumpul bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang didakwa sering memotong bekalan air mereka biarpun bayaran telah dibuat.

Penduduk mendakwa sepanjang tahun ini sahaja, bekalan air mereka telah dipotong sebanyak tiga kali .

Tindakan tersebut, dakwa penduduk sekaligus menjejaskan aktiviti seharian dan memberi tekanan kepada mereka.

Seorang penduduk, Chong Yow Leong, 60 berkata, tindakan memotong bekalan air penghuni di pangsapuri berkenaan sebagai tidak adil.

Menurutnya, ini kerana sebahagian besar penghuni sudah melangsaikan bil air mereka.

"Kami telah meminta Syabas supaya menukar meter pukal kepada individu namun mereka memberi alasan perlu mendapat persetujuan semua penghuni.

"Jika itu alasannya adalah mustihal kerana penghuni di sini merupakan penyewa yang terdiri daripada warga asing,"katanya ketika ditemui menyertai sesi bantahan aman di pekarangan pangsapuri berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka yang menyewakan rumah kepada orang luar atau warga asing tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku di pangsapuri berkenaan termasuk tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan.

Sementara itu, Norazirah Othman, 38 berkata, disebabkan bekalan air sering dipotong, dia dan dua lagi anaknya terpaksa menumpang mandi di masjid berdekatan.

"Pihak Syabas juga tidak memberi sebarang notis jika membuat pemotongan air.

"Minggu lalu kami terputus bekalan air selama seminggu. Keadaan itu benar-benar menyusahkan kami terutama yang mempunyai ahli keluarga ramai," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, Syabas perlu mengkaji semula syarat-syarat pelaksanaan penukaran meter pukal kepada individu.

"Jika penukaran meter hanya boleh dibuat setelah semua pemilik rumah bersetuju dan tiada hutang tertunggak, ia adalah mustahil.

"Saya dimaklumkan jumlah tunggakan bil air adalah RM80,000. Syabas perlu melonggarkan sedikit syarat penukaran tersebut dan beri tempoh masa untuk selesaikan tunggakan.

"Ini kerana hanya segelintir pemilik atau penyewa yang mempunyai tunggakan," katanya.

Kerja-kerja pembersihan kolam akan dilaksana-JPS

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat akan menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah di dalam kolam di kawasan perumahan Taman Tasik Bangi 3, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dekat sini.

JPS memaklumkan, kerja-kerja tersebut bagi melancarkan aliran keluar kolam ke Sungai Langat.

''Kolam yang terlibat di kawasan itu adalah kolam tadahan jenis 'wet pond' yang menyalurkan air tadahan ke Sungai Langat. Ia mempunyai empat saluran masuk parit ke kolam.

"Kolam tadahan ini berfungsi sebagai kawalan tadahan air daripada sistem perparitan taman perumahan ini sebelum mengalir keluar ke Sungai Langat,"menurut JPS dalam kenyataannya di sini hari ini.

Tambah JPS, punca pencemaran kolam adalah disebabkan sampah sarap daripada tiga parit utama yang memasukki kolam yang tidak terkawal daripada memasukki kolam tadahan.

"Pihak JPS juga akan merujuk kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar pelaksanaan dan pemantauan kerja-kerja pembersihan parit utama secara berkala dilaksanakan.

"Ini berikutan parit-parit berkenaan di bawah penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan itu,"kata kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, pihak MPKj turut dicadangkan supaya memasang perangkap sampah di tiga saluran masuk parit ke kolam tadahan supaya tiada lagi sampah memasukki kolam.

Pada 12 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kebimbangan penduduk Taman Tasik Bangi 3, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi mengenai masalah sebuah tasik di kawasan perumahan mereka yang didakwa mengeluarkan bau memualkan.

Mangsa kebakaran ditawar pindah ke PPR Bukit Jalil

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa rumah terbakar di Jalan Air Panas Setapak, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kesemua mangsa kebakaran termasuk 186 penghuni di Perumahan Awam Sementara Air Panas A di sini akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil dalam tempoh terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini berikutan kawasan perumahan kayu itu sudah tidak lagi sesuai didiami kerana terlalu usang dan berisiko tinggi terbakar.

"Saya telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera memindahkan mangsa di PPR Bukit Jalil dan kita akan menyediakan kemudahan logistik semasa proses pemindahan mereka nanti.

"Kita mahu rakyat Wilayah Persekutuan menjalani kehidupan lebih lestari dan sentiasa gembira,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa kebakaran di Dewan Masyarakat, Sungai Bonus, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Sebanyak empat buah keluarga terlibat dalam kebakaran melibatkan dua rumah papan di Jalan Air Panas, Setapak kira-kira 9.30 pagi semalam itu.

Dalam majlis tersebut, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran selain bantuan daripada pihak DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi meringankan bebanan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved