Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Wanita didakwa ubah wang haram RM1.1 juta

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

PENGARAH syarikat Ng Advantage Sdn. Bhd, Ng Wan Yean di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 7 Okt. - Seorang pengarah syarikat wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah RM1.1 juta yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB), dua tahun lalu.

Pengarah syarikat Ng Advantage Sdn. Bhd., Ng Wan Yean, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Wan Yean didakwa menerima hasil aktiviti haram yang dimasukkan daripada cek GMSB ke dalam akaun syarikatnya di CIMB Bank Bhd., Jalan PJU 1/3F Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya, di sini antara 18 Julai 2011 dan 28 Ogos 2012.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Wan Yean adalah saudara perempuan kepada dua tertuduh kes pengubahan wang haram yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lalu iaitu Ng Wan Yee, 34, dan Yee Yaw, 32.

Wan Yee dan Yee Yaw, kedua-duanya juga pengarah syarikat Ng Advantages, masing-masing berdepan 82 pertuduhan yang sama pada 30 September lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahmadul Kaber yang mengendalikan pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak menawarkan jaminan tetapi sekiranya mahkamah cenderung berbuat demikian, beliau mencadangkan jaminan RM1 juta dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam AS Dhaliwal yang mewakili tertuduh pula berkata, Wan Yean yang masih bujang ditanggung keluarganya sejak syarikat berkenaan dibubarkan.

Ujarnya, tertuduh juga telah bekerjasama dengan pihak polis sepanjang siasatan dijalankan dan memohon anak guamnya diikat jamin RM50,000.

Noradidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin sementara pasport wanita itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan sebutan kes pada 25 Oktober ini.

Dua didakwa rasuah anggota APMM

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menawar dan memberi suapan wang tunai berjumlah RM198,000 untuk melindungi bot nelayan Vietnam dan melepaskan bot yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua bulan lalu.

Pengusaha bot, Law Chark Huat, 42, dan kontraktor, Muhamad Nooraizuddin Mohammed Yusoff, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Ini bermakna empat tertuduh telah didakwa di mahkamah setakat ini berhubung kes rasuah nelayan asing membabitkan penggunaan pukat tunda secara haram di perairan negara.

Pada 2 Oktober lalu, dua beradik yang merupakan pengusaha dua buah syarikat perikanan didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM220,000 bagi melepaskan tiga buah bot milik syarikat mereka yang ditahan pihak APMM.

Choh Chaw Khiang, 41, pengarah syarikat Gabungan Mesra Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini manakala abangnya, Choh Chew Boon, 46, pengurus operasi Gelombang Utama Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bahru, Kelantan.

Pada prosiding hari ini, Chark Huat dan Muhamad Nooraizuddin didakwa dengan niat bersama menawarkan suapan wang berjumlah RM18,000 kepada anggota APMM, Wan Burhanuddin Jusoh, 54, sebagai dorongan untuk melindungi bot nelayan Vietnam yang masuk ke perairan Kelantan bagi menjalankan kegiatan menangkap ikan.

Mereka juga didakwa menawarkan suapan wang berjumlah RM150,000 kepada individu sama bagi melepaskan bot KNF 7884 yang ditahan APMM Tok Bali, Kelantan yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Hotel Grand Season, Restoran Papa Rich dan Hotel Concorde di sini, antara pukul 8 malam, 14 Ogos lalu dan 6 petang, 15 September lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Kedua-duanya turut didakwa memberi suapan wang tunai RM30,000 kepada anggota APMM, Izman Alies sebagai deposit kepada jumlah RM150,000 untuk melepaskan bot KNF 7884 yang ditahan APMM, Tok Bali, Kelantan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lobby Lounge, Hotel Grand Season di sini pada pukul 6.45 petang, 28 September lalu.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) akta sama yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Nur Lokman Samingan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kes tersebut tidak boleh dijamin.

Walau bagaimanapun, peguam bela, Alfred Egim memohon mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 untuk setiap anak guamnya bagi semua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM600,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu sebutan kes pada 8 November ini.

Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia pada 2 Oktober lalu, SPRM berjaya menumpaskan sindiket nelayan asing yang aktif merasuah penguat kuasa tempatan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana menangkap ikan di perairan negara setelah memberkas lapan lelaki termasuk seorang warga Vietnam.

Hasil tangkapan menerusi operasi khas yang dijalankan di ibu negara, Kelantan, Pahang dan Johor itu berjaya merampas wang tunai RM1.2 juta yang digunakan sebagai bayaran rasuah sejak Mac lalu dan empat buah bot pukat ganding milik syarikat nelayan Vietnam bernilai kira-kira RM5 juta.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved