Sabtu, 12 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


UPP rampas 384 kilogram daun ketum

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

ZAKARIA Abdul Rahman menunjukkan guni-guni yang digunakan untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran yang berjaya dipatahkan oleh pihak UPP di kawasan berhampiran sempadan Thailand di Chuping, Perlis, semalam.

PADANG BESAR 11 Okt. - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping menggagalkan cubaan menyeludup 384 kilogram daun ketum bernilai hampir RM30,000 dalam dua tangkapan berasingan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada kelmarin dan hari ini.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan, Zakaria Abdul Rahman berkata, dalam kejayaan pukul 8 pagi ini, seorang suspek berusia 32 tahun ditahan di kawasan ladang tebu di Chuping ketika pasukannya yang sedang menjalankan Op Kawalan terserempak dengan lelaki itu yang sedang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, menemukan lapan guni putih berisi daun ketum di tempat duduk hadapan, belakang dan but kereta.

"Turut ditahan seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penunjuk jalan untuk menyeludup daun ketum itu ke sempadan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, suspek ketiga pula ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di hadapan Kilang Gula Chuping, dekat sini pada pukul 7.30 pagi kelmarin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lelaki berusia 34 tahun itu didapati membawa dua guni putih dipercayai mengandungi 60 kilogram daun ketum yang diletakkan di hadapan dan belakang motosikal tersebut.

Zakaria berkata, ketiga-tiga suspek itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, katanya, pasukan UPP Chuping menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang berusia antara tujuh hingga 41 tahun kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

"PATI terdiri daripada enam lelaki dewasa, enam wanita dan enam kanak-kanak itu ditahan oleh pasukan yang sedang melakukan Ops Kawalan di kawasan kebun sayur, Kampung Hutan Buluh, dekat sini ketika sedang berjalan dalam keadaan letih dan lesu," katanya.

Zakaria berkata, dipercayai kedatangan PATI itu ke negara ini untuk mencari ahli keluarga dan juga peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kesemua PATI itu ditahan dan dibawa ke UPP Chuping dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Penduduk di 10 kawasan risiko denggi digesa berjaga-jaga

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

KANGAR 11 Okt. - Jabatan Kesihatan Negeri menasihatkan penduduk di 10 kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes dan penularan demam denggi mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut jabatan tersebut, perkara itu perlu dipandang serius kerana jumlah kawasan pembiakan nyamuk aedes telah meningkat secara mendadak pada minggu ke-40 (29 September hingga 5 Oktober) lalu berbanding pada minggu-39 (22 hingga 28 September) hanya empat kawasan terlibat.

"Pada minggu ke-40 ini pula melibatkan sembilan kawasan baharu dan satu masih di kawasan yang sama sejak minggu ke-39," kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, sembilan lokasi baharu yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi pembiakan nyamuk aedes tersebut termasuklah Taman Mutiara di Mukim Seriab, Taman Peladang Jaya di Mukim Kuala Perlis, Taman Pelangi di Mukim Sanglang dan Taman Sena Indah di Mukim Sena.

Jelas kenyataan itu, kawasan lain ialah Kampung Jawi Seratus di Mukim Sanglang, Felda Mata Ayer dan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Padang Besar di Titi Tinggi, Kampung Sungai Serai di Mukim Chuping dan Kampung Guar Ipoh di Mukim Arau.

Katanya, Pekan Simpang Empat di Mukim Sanglang pula kekal sebagai lokasi indeks pembiakan nyamuk Aedes sejak minggu ke-39 (dari 22 September hingga 28 September lalu) dan minggu ke-40 (dari 29 September hingga 5 Oktober).

"Kejadian demam denggi di negeri ini juga meningkat kepada empat kes pada minggu ke-40 (29 September hingga 5 Oktober lalu) berbanding pada minggu 39 sebelumnya dari 22 September hingga 28 September hanya satu kes sahaja," jelas beliau.

Katanya, tiada kes demam denggi berdarah dilaporkan setakat ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 178 kes denggi yang terkumpul sehingga ke minggu ke-40 pada tahun ini.

''Terdapat peningkatan sebanyak 39 kes (28.06 peratus) berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu di mana hanya melibatkan 139 kes sahaja," katanya.

Beliau berkata, sekalipun Jabatan Kesihatan sentiasa mengambil langkah kawalan tetapi ia tetap memerlukan kerjasama penduduk setempat untuk menjaga tempat tinggal masing-masing supaya bebas daripada pembiakan aedes.

15 usahawan sertai kursus selenggara mesin jahit

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

PARA peserta Kursus Selenggara Mesin Jahit Industri Zon Utara bergambar kenangan selepas selesai kursus berkenaan di Harvard Suasana Hotel di Bedong, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 11 Okt. - Seramai 15 usahawan muda di negeri ini dipilih menyertai Kursus Selenggara Mesin Jahit Industri Peringkat Zon Utara selama lima hari di Harvard Suasana Hotel (HSH) Bedong dekat sini baru-baru ini.

Kursus anjuran Pusat GiatMara Kedah dengan kerjasama syarikat swasta, Ibarat Harta Sdn. Bhd. dari Johor Baharu itu menampilkan Marlina Abdul Manan dan Fazril Jamain sebagai penceramah.

Penyelaras kursus itu, Kamal Jasni Kasim berkata, peserta diajar cara-cara mengendalikan mesin jahit dengan cara berhemah agar wujud ketahanan bagi menghasilkan produk jahitan berkualiti untuk pasaran tempatan.

Pada majlis itu seorang peserta, Mohd. Saiful Mat Isa, 32, dari Guar Cempedak dipilih sebagai peserta terbaik bahagian lelaki.

"Banyak ilmu tambahan saya perolehi semasa mengikuti program ini dan ceramah disampaikan boleh dijadi panduan untuk meningkatkan lagi kerjaya begini," katanya.

Pernah mengikuti latihan di Pusat GiatMara Jerai dalam bidang binaan pada 1999 hingga 2000, katanya, segala ilmu diperolehi tersebut akan cuba dipraktikkan dalam kerjaya yang diceburinya.

Sementara itu, Noor Faidzah Idris, 24, dari Taman Aman Jaya, Sungai Petani pula dipilih sebagai peserta terbaik bahagian wanita di kursus itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved