Sabtu, 12 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Budayakan teknologi hijau - Mohd. Khalil

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Khalil Yaakob menyematkan pingat Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Naim Abu Bakar pada Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 11 Okt. - Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yakin usaha kerajaan negeri untuk membudayakan teknologi hijau akan dapat dilaksanakan oleh seluruh rakyat di negeri ini.

Menurutnya, seluruh masyarakat termasuk pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memberikan kerjasama kepada usaha untuk membudayakan teknologi hijau dengan mengindahkan kelestarian alam sekitar.

Berucap sempena sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-75 di Seri Negeri, beliau berkata, usaha yang sedang dilaksanakan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri bandar teknologi hijau bakal memberi faedah kepada seluruh rakyat.

"Kita sepatutnya merasa bangga ke atas usaha kerajaan negeri itu. Diharap setiap rakyat dapat menghayati objektif setiap program teknologi hijau yang dibuat untuk faedah mereka.

"Justeru, semua pihak perlu memberi sokongan ke arah membudayakan teknologi hijau di negeri ini, sesuai dengan status warisannya," katanya sebelum istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Seramai 22 individu pada sesi pertama menerima darjah kebesaran masing-masing, diketuai Ketua Menteri, Datuk Idris Haron yang dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri.

Antara kenamaan yang menerima darjah kebesaran ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira.

Pada sesi kedua esok pula, seramai 447 individu akan menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran di Seri Negeri.

Dalam pada itu Mohd. Khalil berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan kedudukan Melaka sebagai negeri warisan termasyhur di dunia.

Justeru katanya, pihak Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) dan Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) perlu bekerjasama dengan Pusat Bandar Warisan dan Seni Bina Asia yang dipelopori University of Singapore (NUS) serta Universiti Malaya.

"Melalui kerjasama ini, Melaka akan mendapat pembiayaan kewangan dan kepakaran dari seluruh dunia dalam membuat kajian pemuliharaan bangunan lama di sekitar Banda Hilir," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Mohd. Khalil mendoakan agar semua dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah teraju Idris dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Martabatkan bahasa kebangsaan tanggungjawab semua pihak

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

MOHAMAD Razi Kail (tengah) membaca buku bersama para jemputan yang menghadiri Program Kembara Bahasa 2013 di Juaseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA PILAH 11 Okt. - Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya meletakkan peranan itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Mohamad Razi Kail berkata, semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama wajar turut serta memartabatkan bahasa kebangsaan dengan menggunakan ejaan yang betul, menyokong usaha DBP menghasilkan pelbagai karya dan menyertai kursus anjuran badan itu.

Beliau berkata, DBP telah berusaha melalui pelbagai program seperti menganjurkan Kembara Bahasa 2013 melibatkan pergerakan kenderaan berkonvoi dari seluruh negara menuju ke Kangar, Perlis, sambil menjalankan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan kemasyarakatan apabila mereka singgah di sesuatu tempat.

"Pihak DBP telah memberi dua kotak berisi buku terbitan mereka khusus kepada Sekolah Kebangsaan Tapak untuk digunakan oleh pelajar agar sebagai bacaan seharian dan rujukan mereka,"katanya.

Jelasnya, ia contoh baik usaha DBP yang tidak lupa tanggungjawab mereka dalam membantu sekolah kecil di luar bandar menyediakan kemudahan bahan bacaan di samping usaha seorang bekas pelajar sekolah ini, Bahasa Othman, 62, yang memberikan buku karyanya kepada pihak sekolah untuk digunakan oleh pelajar.

Mohamad Razi berkata demikian dalam ucapan pada program melepaskan sembilan buah kenderaan konvoi Kembara Bahasa di Sekolah Kebangsaan Tapak, di sini dan turut merasmikan Galeri Buku Bahasa di sekolah berkenaan, semalam.

Konvoi Kembara Bahasa yang diadakan setiap tahun itu bertema Jelajah Negara, Semarakkan Bahasa yang melibatkan seramai 40 peserta bergerak dari Kangar, Perlis, kelmarin dan menjelajah seluruh negeri di samping mengadakan pelbagai aktiviti di lebih 50 destinasi persinggahan sebelum dijangka tiba semula di Kangar, esok.

Kerajaan negeri cadang tubuh Universiti Za'aba

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

MAT Ali Hassan menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri sambil diperhatikan oleh Shamsulkahar Mohd. Deli (kanan) di Dewan Za'aba, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL 11 Okt. - Kerajaan negeri sentiasa memikirkan pelbagai cara untuk meningkatkan taraf pendidikan dan bersedia untuk membina lebih banyak pusat pengajian tinggi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, pihaknya telah memikirkan pelbagai cara untuk menambah baik sistem pendidikan termasuk bercadang membuka sebuah universiti di daerah ini.

"Daerah Jempol terkenal dengan tokoh bahasa iaitu Pendeta Za'aba. Malah, sumbangan Za'aba juga menyebabkan kerajaan bukan sahaja membuat Teratak Za'aba tetapi baru sahaja membina sebuah dewan yang turut diberi nama Dewan Za'aba.

"Kini saya memikirkan adalah baik sekiranya kita dapat membuka sebuah universiti (mengambil sempena nama Za'aba) di daerah ini sebagai satu penghargaan terhadap tokoh pejuang bahasa tersebut," katanya dalam majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Za'aba, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pegawai Daerah Jempol, Wan Razali Wan Awang.

Shamsulkahar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting memberitahu, pihaknya sedar usaha membuka sebuah pusat pengajian tinggi bukan mudah, namun tetap bertekad untuk merealisasikannya sama ada sebuah universiti induk atau cawangan sahaja.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu. Kita juga yakin kewujudan pusat pengajian tinggi tersebut mampu merancakkan perkembangan pendidikan di daerah ini.

"Za'aba bukan sahaja menjadi tokoh pendidik tetapi tokoh perjuang kemerdekaan. Oleh itu, kita akan usahakan agar sebuah universiti dibina di daerah ini, sekali gus dapat menghargai sumbangan beliau," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved